Ketika menonton berita bersama keluarga, anak-anak Cik Rasyidah Ramli sering bertanya beliau cara bertindak semasa kecemasan, seperti banjir dan kebakaran.
Kini, ibu berusia 43 tahun itu mempunyai alat untuk memulakan perbualan tersebut dengan anak-anaknya – menerusi buku cerita, Ack! Furtropolis Is Under Attack!, yang dilancarkan oleh SGSecure, sebuah inisiatif masyarakat untuk memperkukuh daya tahan Singapura terhadap ancaman pengganasan.
Buku setebal 37 muka surat itu mengisahkan watak utama, Hammie – seekor hamster yang menyaksikan serangan bom di kejiranannya – dan bagaimana watak-watak haiwan lain berganding bahu dan saling membantu selepas kejadian itu.
Buku yang dihiasi ilustrasi berwarna-warni itu turut mengandungi soalan panduan untuk guru dan ibu bapa, lapor The Straits Times (ST).
Ia turut menyelitkan mesej kepada kanak-kanak supaya memaklumkan kepada orang dewasa jika mereka melihat sesuatu yang mencurigakan, dan meminta bantuan jika rakan mereka cedera.
Buku itu dilancarkan oleh Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, di My First Skool, di Blok 208B, Punggol Place, pada 11 April, dengan mengadakan sesi bacaan untuk 20 kanak-kanak prasekolah.
Cik Rasyidah, yang mempunyai tiga anak di My First Skool, berkata:
“Buku ini cara yang baik untuk ibu bapa memulakan perbualan dengan anak-anak tentang apakah yang perlu dilakukan semasa kecemasan, kerana watak-watak dalam buku ini sangat mudah untuk mereka fahami.”
Beliau merancang membaca buku itu bersama anak-anaknya dan mengaitkan pengajarannya dengan peristiwa semasa.
Merujuk kepada kebakaran rumah kedai di River Valley yang meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun baru-baru ini, Cik Rasyidah berkata:
“Kemalangan boleh berlaku (bila-bila masa), dan saya rasa semua orang perlu tahu apakah yang patut dilakukan.
“Walaupun mereka berasa cemas, saya harap (anak-anak saya) akan bertenang dan mengamalkan apa yang telah mereka pelajari.”
Untuk menekankan konsep yang diajar dalam buku itu, kanak-kanak turut menyertai latihan pemindahan kecemasan melibatkan seorang ‘individu mencurigakan’ yang meninggalkan sebuah bungkusan di luar bilik darjah mereka.
Mematuhi arahan guru, murid-murid itu beratur dan dipindahkan ke dewan serba guna berhampiran bilik darjah.
Bagi pengetua pusat tadika itu, Cik Nur Hafidzah Hamzah, 39 tahun, buku cerita itu merupakan “sumbangan berharga” kepada program sedia ada di sekolah yang mengajar kanak-kanak prasekolah cara bertindak balas terhadap ancaman yang mungkin berlaku.
Buku cerita itu akan diedarkan ke semua prasekolah berlesen oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) dan tadika Kementerian Pendidikan (MOE) dari April hingga Jun.
Buku itu juga akan tersedia di perpustakaan awam untuk dipinjam mulai Mei.
Orang ramai juga boleh memuat turun buku itu di laman web SGSecure, di pautan, https://www.sgsecure.gov.sg/resources
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg