Sebanyak 14 kandungan dan video yang tidak berasal dari Singapura dan bersifat menghina masyarakat India telah diminta untuk diturunkan daripada platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan X.

Menurut kenyataan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 6 Jun, kandungan yang turut cuba untuk menggugat model masyarakat berbilang kaum Singapura itu dipercayai berasal daripada platform berpangkalan di China dan kemudiannya disebarkan semula melalui platform serta laman web lain.

Namun begitu, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, mengatakan tiada bukti yang menunjukkan kandungan itu telah dirancang oleh mana-mana pihak pemerintah lain.

Bercakap sewaktu ditemu bual di Kelab Masyarakat Selatan Siglap pada 6 Jun, beliau menjelaskan:

“Pada masa ini tiada bukti yang menunjukkan bahawa kandungan ini merupakan kempen yang dirancang oleh mana-mana pemerintah.

“Berdasarkan siasatan kami, kandungan tersebut berasal dari ruang maklumat, dan ia berkemungkinan dijana secara organik oleh beberapa warga asing.

“Mana-mana negara yang berusaha untuk melindungi perpaduan sosialnya pasti akan bersetuju dengan kami bahawa kandungan seperti ini tidak boleh diterima dan akan mengambil pendirian yang sama untuk melindungi masyarakat mereka sendiri.”

Kandungan tersebut telah dikenakan Arahan Memansuhkan (DD) di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha) 2023 oleh Pasukan Polis Singapura (SPF).

Pihak SPF telah mengeluarkan arahan kepada Google, Meta, dan X supaya mengambil semua langkah yang munasabah untuk menyekat akses kepada hantaran tersebut di Singapura.

Tindakan ini diambil selepas naratif mula tersebar dalam ruang maklumat berbahasa Cina sejak Mei yang mendakwa bahawa Singapura sedang berdepan dengan kebimbangan berkaitan identiti budaya dan politik etniknya.

Menurut MHA, naratif bermasalah yang tersebar termasuk:

“Dasar masyarakat berbilang kaum Singapura hanyalah satu sandiwara yang bertujuan untuk menarik perhatian dan memenuhi nilai-nilai Barat.

“Kestabilan Singapura bukan berpunca daripada dasar masyarakat berbilang kaumnya, tetapi daripada hakikat bahawa majoriti penduduknya berbangsa Cina.

“Ahli politik berketurunan India di Singapura, yang bilangannya semakin bertambah, akan bertindak memihak kepada pendatang dari India.

“Budaya Singapura pada asasnya adalah budaya Cina, dan pendekatan pemerintah yang cuba memisahkan dirinya daripada China sambil mengabaikan ancaman yang timbul daripada pertumbuhan masyarakat India akan membawa kepada kesan yang negatif.”

Mengulas tentang naratif yang telah disebarkan itu, Encik Tong berkata dengan tegas:

“Kandungan ini menyerang masyarakat berbilang kaum kita dan cuba memecahbelahkan rakyat berdasarkan kaum.

“Ini bukanlah kita.

“Kita tidak bersikap toleran terhadap sebarang naratif yang cuba untuk menjejaskan keharmonian kaum yang kita pelihara, terutamanya apabila ia disebarkan oleh warga asing.

“Banyak daripada hantaran ini berasal dari luar negara. Jadi keutamaan kami sekarang adalah untuk menurunkan hantaran-hantaran ini.”

Kandungan yang tersebar telah menggunakan gambar dan rakaman video jalan yang sesak di kawasan Little India (yang berkemungkinan diambil pada hujung minggu apabila pekerja migran meluangkan masa pada hari cuti mereka).

Video yang memaparkan para penganut agama India yang menghadiri satu perayaan keagamaan di sepanjang Pagoda Street juga digunakan bagi menyokong dakwaan Singapura ‘dipenuhi’ oleh masyarakat India.

Kandungan yang telah tular memaparkan para penganut agama India yang menghadiri satu perayaan keagamaan di sepanjang Pagoda Street juga digunakan bagi menyokong dakwaan Singapura “dipenuhi” oleh masyarakat India. Ia juga menggunakan bahasa yang menghina dan merendahkan martabat masyarakat India di Singapura.
Kandungan yang telah tular memaparkan para penganut agama India yang menghadiri satu perayaan keagamaan di sepanjang Pagoda Street juga digunakan bagi menyokong dakwaan Singapura “dipenuhi” oleh masyarakat India. Ia juga menggunakan bahasa yang menghina dan merendahkan martabat masyarakat India di Singapura. - Foto MHA

Ia juga menggunakan bahasa yang menghina dan merendahkan martabat masyarakat India di Singapura.

Sebagai contoh, peningkatan jumlah masyarakat India digambarkan secara menghina sebagai peningkatan ‘kepekatan kari’.

Kenyataan MHA itu berkata hal itu telah dengan sengaja menggalakkan perasaan permusuhan, kebencian atau niat buruk antara kumpulan yang berbeza atas dasar kaum, atau melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan pemeliharaan keharmonian antara kaum yang berbeza di Singapura.

Hal ini turut ditegaskan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Cik Josephine Teo sewaktu di Karnival Sukan Keluarga di Taman Zhongshan pada 4 Jun.

Menurut Cik Teo, video yang bukan berasal dari Singapura itu tidak mencerminkan pandangan rakyat Singapura.

“Pada masa ini tiada bukti yang menunjukkan bahawa kandungan ini merupakan kempen yang dirancang oleh mana-mana kerajaan.
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.