Shanmugam: Lelaki dalam video pijak Al-Quran pernah didakwa pada Jul 2025
Shanmugam: Lelaki dalam video pijak Al-Quran pernah didakwa pada Jul 2025
Pernah alami masalah mental; kini di luar negara tetapi akan dipanggil polis apabila pulang
Lelaki di sebalik video yang menayangkan dirinya memijak Al-Quran kemungkinan pernah memuat naik video serupa sebelum ini dan telah didakwa pada Julai 2025, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam pada 8 Mac.
Berkata demikian sebelum satu acara berbuka puasa GRC Nee Soon di gelanggang serba guna di Khatib, Encik Shanmugam berkata lelaki itu telah dibebaskan pada Disember dan terdapat bukti bahawa beliau mengalami masalah mental.
Encik Shanmugam yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri menambah bahawa lelaki itu kini berada di luar negara, dan beliau akan ditemu ramah oleh polis apabila beliau kembali.
Beliau berkata demikian susulan Arahan Memansuhkan (DD) di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha) 2023 yang dikeluarkan polis kepada Meta ekoran catatan media sosial yang memaparkan satu video seorang lelaki memijak Al-Quran.
Video itu dipercayai telah diambil di dalam sebuah bas awam di Singapura.
Meskipun video asalnya tiada lagi, ia telah dimuat naik semula dan dikongsi pada platform media sosial lain, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan pada 8 Mac.
“Saya rasa mereka yang telah menonton video itu akan tahu ia sangat menyinggung perasaan. Bila-bila masa anda menyinggung perasaan, apatah lagi semasa Ramadan, polis telah mengambil tindakan,” kata Encik Shanmugam.
“Video ini tidak boleh diterima... Di Singapura, orang ramai akan faham mengapa kami mengambil tindakan segera,” tambah beliau.
Turut hadir di acara tersebut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pendidikan), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Bercakap kepada media, Dr Faishal yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) berkata:
“Tindakan menghina agama sedemikian bukan sahaja menjejaskan masyarakat agama tersebut, malah, turut menjejas masyarakat lain.
“Ia juga menggugat rasa saling hormat-menghormati yang menjadi asas keharmonian masyarakat di Singapura,” jelas beliau.
Dr Faishal menambah bahawa perbuatan seperti ini (video memijak Al-Quran) hanya akan menimbulkan perpecahan dan menghakis kepercayaan yang dibina antara masyarakat berbilang kaum dan agama.
MHA dan polis telah menilai kandungan video itu sebagai melakukan kesalahan menghina agama orang lain di Singapura di bawah Seksyen 17F(4) Akta Mengekalkan Keharmonian Agama 1990.
“Kami telah mengeluarkan lima DD kepada Meta untuk menyekat akses kepada kandungan itu, dan hantaran mengandungi video itu tidak lagi boleh diakses kepada pengguna di Singapura,” kata MHA.
“Walaupun sesetengah individu mungkin telah menyiarkan semula video tersebut untuk mengecam tindakan pemuat naik asal, perbuatan sedemikian akan terus menyebarkan kandungan yang menyinggung itu dalam talian,” katanya.
Ia menambah bahawa orang ramai yang mengesan kandungan sedemikian dinasihatkan menghubungi pihak berkuasa.
MHA berkata ia mengambil sikap tegas terhadap ancaman kepada keharmonian kaum dan agama Singapura.

