Topic followed successfully
Go to BHkuMicrosoft sasar latih lebih 80,000 wanita dalam AI
Microsoft sasar latih lebih 80,000 wanita dalam AI
Program ‘MPowerHer’ bermatlamat perkasa wanita dalam sektor teknologi
Microsoft sasar latih lebih 80,000 wanita dalam AI
Lebih 80,000 wanita berpeluang mendalami sesi latihan, termasuk asas kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran pemikiran berteraskan rekaan, melalui program, MPowerHer, anjuran syarikat teknologi gergasi, Microsoft.
Program itu terjalin hasil kerjasama Microsoft dengan SG Women In Tech (SGWIT), portal kerjaya bagi kaum ibu Mums@Work, dan Code; Without Barriers, ujar kenyataan syarikat itu pada 9 April.
SGWIT merupakan inisiatif Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) bersama industri dan masyarakat teknologi, manakala Code; Without Barriers adalah usaha Microsoft untuk merapatkan jurang jantina dalam sektor teknologi.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menekankan matlamatnya untuk memperkasa wanita dalam sektor teknologi.
Ini juga penting untuk memastikan inovasi AI bersifat terangkum buat semua, khususnya wanita, tambah beliau.
Berucap di acara Hari Penyelesaian Sektor Awam Microsoft 2026, di Pusat Konvensyen Raffles City, pada 9 April, Cik Rahayu berkata: “Inisiatif ini mencipta laluan yang sesuai untuk rakyat Singapura.
“Ia mengakui bahawa setiap individu bermula dari tahap yang berbeza, lantas menyediakan mereka dengan sokongan yang relevan untuk membantu mereka maju.”
Acara itu menyaksikan sekitar 500 peserta daripada agensi pemerintah, rakan kongsi, dan pembangun berhimpun serta meneroka cara sektor awam dapat meningkatkan kesediaan AI.
Ini termasuk usaha memperluas skala AI yang mampu menambah baik perkhidmatan awam dan membangunkan tenaga kerja yang mahir dalam AI.
Menurut Cik Rahayu, kerjasama Microsoft dengan badan pemerintah menunjukkan pentingnya menjalin usaha sama antara sektor awam dengan swasta.
Langkah itu penting bagi transformasi AI yang bermakna dan bersifat terangkum, sekali gus memanfaatkan seluruh masyarakat, jelasnya.
“Memanfaatkan AI untuk kebaikan memerlukan lebih daripada sekadar kepakaran teknikal atau kecemerlangan individu.
“Ia menuntut usaha kolektif seluruh masyarakat bagi menyatukan pengalaman dan perspektif pemerintah, industri, akademia, masyarakat umum dan rakyat,” ujar beliau.
Pengarah Urusan Microsoft Singapore, Encik Wee Luen Chia, berkata program itu merupakan pelaburan modal insan “untuk memastikan tenaga kerja yang akan memacu masa hadapan AI Singapura bersifat terangkum, mahir dan yakin”.
Menurut Microsoft, program itu dirangka dengan mengambil kira pelbagai peringkat kehidupan wanita, meliputi golongan dewasa, mereka yang bertukar kerjaya, mahupun lepasan baru daripada institusi pendidikan.
MPowerHer akan menyokong wanita ke dalam kerjaya di sektor awam, perusahaan kecil dan sederhana (SME), sektor teknologi, serta membantu kaum ibu memulakan perniagaan sendiri.
Pengerusi SGWIT, Cik Dorcas Tan, berkata program sebegitu dapat mengukuhkan saluran bakat bagi sektor teknologi dan memacu kepelbagaian yang lebih baik dalam ekonomi digital negara ini.
“Inisiatif MPowerHer memperkasakan wanita untuk menempuhi era AI melalui latihan kemahiran, bimbingan dan rangkaian pada setiap peringkat – sama ada pelajar, karyawan di peringkat kerjaya awal mahupun mereka yang ingin bertukar kerjaya kepada bidang teknologi,” ujarnya.
Microsoft berkata mereka yang ingin menyertai atau bekerjasama dengan program tersebut boleh mendaftarkan minat melalui pautan di laman Code; Without Barriers.
Acara itu turut menyaksikan Microsoft menyokong keperluan data pemerintah melalui wadah analitik canggih Microsoft Fabric Go Local, dan pelancaran peranti Windows 365 Link di pasaran Singapura.
Microsoft Fabric Go Local menyatukan kejuruteraan data, penyimpanan data, analitik masa nyata dan risikan perniagaan menerusi model perisian-sebagai-satu-khidmat (SaaS), kata Microsoft.
Cik Rahayu berkata, wadah sedemikian memastikan kawalan “selaras dengan model operasi ‘Government on Commercial Cloud’, daya tahan operasi dan akses berterusan kepada data pemerintah”.
“Kerjasama ini, sama ada tertumpu pada membina keupayaan seperti MPowerHer atau memperkukuh prasarana teknikal seperti wadah Microsoft Fabric Go Local, membolehkan pemerintah terus mencipta penyelesaian AI yang memberikan nilai sebenar kepada rakyat,” katanya.
Pengumuman itu dibuat menyusuli komitmen Microsoft membelanjakan AS$5.5 bilion ($7.01 bilion) untuk prasarana awan dan AI serta operasi berterusan di Singapura dari 2025 hingga hujung 2029, seperti yang diumumkan pada 1 April.

