Bagi Encik Muhammad Asy’raf Khaizal, ilmu geografi bukan sekadar mengenai tempat di atas peta, tetapi tentang memahami bagaimana manusia membentuk ruang di sekeliling mereka dan bagaimana ruang itu pula membentuk sesebuah masyarakat.

Minat tersebut membawa pemuda berusia 25 tahun itu mendalami bidang Geografi di Universiti Nasional Singapura (NUS), di samping pengajian dalam Komunikasi dan Media Baru.

Anak pertama dalam dua adik beradik itu baru-baru telah menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dengan Kepujian Tertinggi pada 15 Julai dan menerima Hadiah Izzuddin Taherally.

Namun, perjalanan empat tahunnya di NUS bukan hanya tertumpu kepada akademik.

Sepanjang menetap di kampus NUS College, beliau aktif membina hubungan dengan masyarakat di sekelilingnya, bermain bola sepak serta menjadi mentor kepada pemain lebih muda yang menyertai pasukannya.

“Apabila pemain baru datang, saya melihat diri saya sebagai mentor kepada mereka. Saya cuba membantu mereka belajar dan menyesuaikan diri,” ceritanya.

Kehidupan di kampus turut mengajarnya menjadi lebih berdikari dan berdisiplin dalam mengimbangi pengajian, sukan, persahabatan dan tanggungjawab lain.

Antara kenangan paling dekat di hatinya ialah saat-saat bersama teman sekampus, berkumpul pada waktu malam, bermain permainan dan meluangkan masa bersama selepas seharian belajar.

Menurut penerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) itu, Hadiah Izzuddin Taherally yang diterimanya bukanlah pengiktirafan terhadap dirinya semata-mata.

Sebaliknya, beliau melihatnya sebagai penghargaan kepada masyarakat inklusif yang dibina bersama rakan-rakan sepanjang pengajiannya.

Beliau turut menamakan ibu bapa, guru dan rakan-rakannya sebagai individu yang membentuk dirinya, selain Profesor T.C. Chang daripada Jabatan Geografi NUS yang banyak membimbingnya melihat dunia dengan lebih kritikal.

Selepas tamat pengajian, Encik Asy’raf merancang melanjutkan pengajian sarjana di University College London sebelum kembali berkhidmat dalam sektor awam di Singapura.

Dengan minat khusus terhadap pembangunan bandar, beliau berharap dapat membantu mewujudkan ruang awam yang bukan sahaja berfungsi dengan baik, malah mempunyai identiti tersendiri.

“Saya rasa setiap kawasan boleh mempunyai sesuatu yang memberi rasa identiti kepada ruang tersebut.

“Ia boleh membuat orang berasa lebih dekat dan seperti lebih berasa ‘di rumah’ dengan tempat mereka tinggal,” katanya.

Bagi Encik Asy’raf, kejayaan akhirnya bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi keupayaan menggunakan pengetahuan dan kemahiran untuk membawa perubahan kepada orang di sekelilingnya.