Topik diikuti
Pergi ke BHkuKehilangan datuk jadi sumber inspirasi jadi doktor
Laluan Cik Erina Firdous Mohamed Rabeek ke bidang perubatan tercetus daripada pengalaman yang amat peribadi – kehilangan datuk kesayangannya.
Beliau yang enggan berkongsi butiran mengenai arwah datuknya, berkata datuknya meninggal dunia akibat penyakit tua semasa pandemik Covid-19.
Bagi gadis berusia 19 tahun itu, mengikuti pengajian perubatan bukan sekadar untuk mendapatkan segulung ijazah, tetapi juga untuk menjadi seseorang yang boleh diharapkan pesakit ketika mereka melalui detik paling sukar dalam kehidupan.
Cik Erina, anak ketiga daripada empat beradik, merupakan antara 190 pelajar kohort 2031 Sekolah Perubatan Lee Kong Chian (LKCMedicine) yang secara rasmi menyarungkan kot putih mereka dalam satu upacara di Nanyang Auditorium pada 12 Ogos.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), mata Cik Erina berlinang dengan air mata apabila beliau mengimbas kembali kenangan bersama datuknya yang disifatkan sebagai seorang yang amat rapat dengannya.
Disebabkan sekatan perjalanan ketika pandemik, Cik Erina tidak dapat berada di sisi datuknya yang tinggal di luar negara sebelum beliau meninggal dunia.
Pengalaman itu membuatkannya memahami sendiri rasa tidak berdaya dan kesedihan yang dialami keluarga apabila seseorang yang disayangi jatuh sakit.
Namun, beliau turut tersentuh dengan cara pasukan penjagaan kesihatan datuknya memberikan sokongan dan ketenangan kepada keluarganya walaupun mereka terpisah oleh jarak.
“Pengalaman itu membuatkan saya sedar bahawa doktor juga merupakan satu sumber harapan kepada pesakit mereka,” ceritanya.
Ia turut mencetuskan persoalan dalam dirinya tentang bagaimana doktor bukan sahaja merawat penyakit, malah menyampaikan berita sukar kepada pesakit dan keluarga dengan penuh empati.
Minat Cik Erina terhadap bidang penjagaan kesihatan turut dipengaruhi kakak sulungnya yang bekerja sebagai jururadiografi diagnostik.
Penglibatannya dalam pelbagai kegiatan khidmat masyarakat sejak di sekolah pula mengukuhkan lagi keinginannya untuk memilih kerjaya yang membolehkannya membantu orang lain.
Beliau juga melihat ilmu perubatan sebagai satu cara untuk membalas pengorbanan ibu bapanya dengan menjaga mereka apabila mereka semakin berusia.
Bagi Cik Erina, kot putih yang disarungkan buat kali pertama itu membawa makna besar bukan sahaja sebagai permulaan perjalanan baharu, tetapi satu peringatan tentang tanggungjawab yang bakal dipikulnya.
“Saya berjanji untuk sentiasa berada di sisi dan menyokong pesakit saya sepanjang rawatan mereka.
“Dan saya berharap saya boleh menjadi satu sumber harapan kepada mereka dan membantu mereka melihat kehidupan dalam lensa yang berbeza,” katanya.

