Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga beranak kongsi misi pastikan jamu terus relevan

Jun 1, 2025 | 5:30 AM
Singapura, jamu, tradisional, Jawa
Pengamal dan penggiat warisan Jamu, Encik Suryakenchana Omar (kiri) bangga kededua anak gadisnya, Cik Nur Tiara Kenchana Suryakenchana, 28 tahun (tengah), dan Cik Kamelia Tufah Kenchana Suryakenchana, 25 tahun (kanan), mengikuti jejak langkahnya memperjuang tradisi jamu. - Foto BM oleh KHALID BABA

Bagi Encik Suryakenchana Omar, 52 tahun, jamu bukan sekadar ramuan tradisional turun-temurun.

Ia adalah warisan hidup, satu bentuk penjagaan diri yang merentasi generasi dan lambang jati diri masyarakat Jawa.

Setelah bertahun-tahun mendalami serta memperkenalkan manfaat jamu kepada masyarakat, beliau kini menyaksikan warisan itu diteruskan oleh dua anak perempuannya, Cik Nur Tiara Kenchana Suryakenchana, 28 tahun, dan Cik Kamelia Tufah Kenchana Suryakenchana, 25 tahun – masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri, namun berlandaskan rasa cinta yang sama terhadap ilmu warisan ini.

Sebagai aktivis dan pendidik dalam bidang jamu, Encik Suryakenchana telah banyak menyumbang dalam usaha memperkasa pengetahuan tentang jamu di Singapura.

Terlibat dalam acara seperti Festival Warisan Singapura dan bengkel masyarakat, beliau sering berkongsi tentang ramuan tradisional seperti kunyit asam dan halia rempah, serta manfaat kesihatan yang dikaitkan dengannya.

Usahanya turut diperluas menerusi kolaborasi bersama institusi seperti Sekolah Amerika Singapura dan Institut Millennia, selain aktif mengembangkan pengetahuan warisan Jawa ini menerusi platform digital – termasuk dalam akaun Facebook Javanese Singaporeans dan Javanese Diaspora Network.

“Dulu saya mewarisi ilmu ini daripada ibu saya. Kini, saya merasa bangga melihat anak-anak saya pula menemui makna jamu dalam cara mereka sendiri,” kongsi beliau.

Anak sulungnya, Cik Tiara, merupakan lulusan ijazah sarjana muda bidang sains dan akan menyambung pelajarannya ke peringkat sarjana di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Julai akan datang dalam bidang Bioteknologi.

Menyedari potensi jamu bukan hanya sebagai tradisi tetapi juga bahan kajian, Cik Tiara sedang meneliti bagaimana ramuan jamu bertindak balas secara berbeza pada tubuh individu.

“Saya tertarik bagaimana seseorang mungkin mendapat manfaat besar daripada jamu tertentu, manakala orang lain pula mungkin tidak. Saya mahu memahami apakah genetik atau tindak balas kimia dalam badan memainkan peranan,” ujar Cik Tiara, yang sedang merancang untuk menjadikan topik ini sebagai fokus projek sarjana beliau.

Bagi Cik Tiara, penggabungan sains moden dan kebijaksanaan tradisi merupakan kunci untuk membuka potensi jamu secara menyeluruh.

Sementara itu, adik beliau, Cik Kamelia, pula membawa pendekatan yang lebih artistik dan spiritual.

Dalam karya persembahan terkininya, Jom Jamah Jamu sempena Minggu Seni Singapura 2025, Cik Tufah menghidupkan watak wanita penjual jamu gendong sambil menyediakan jamu secara langsung untuk penonton.

Persembahan itu bukan sahaja menghidupkan kembali tradisi nenek moyang, tetapi juga menjadi satu bentuk penjagaan diri dan masyarakat yang bersifat reflektif.

“Melalui gerakan dan bunyi dalam penyediaan jamu, saya mengajak penonton untuk mendekati semula konsep penyembuhan – bukan sebagai penonton pasif tetapi sebagai peserta aktif yang menjaga warisan budaya,” kata Cik Tufah, yang menekankan bahawa persembahannya adalah bentuk penentangan terhadap naratif penjagaan kesihatan yang terlalu bergantung kepada sains perubatan Barat.

Apa yang menyatukan ketiga-tiga individu ini adalah misi bersama – untuk memastikan jamu terus relevan dalam konteks moden.

Sama ada melalui penyelidikan saintifik, persembahan seni atau perkongsian masyarakat, usaha mereka membuka ruang dialog antara warisan dengan inovasi, antara generasi lama dengan baru.

“Walaupun mereka dalam aliran yang berbeza, mereka dapat mempromosikan jamu melalui bidang-bidang mereka tersendiri.

“Dengan cara ini, harapan saya adalah jamu dapat diketengahkan lagi kepada lebih ramai orang,” kata Encik Suryakenchana.

Keluarga Encik Suryakenchana menjadi bukti bahawa tradisi bukan sesuatu yang statik.

Sebaliknya, ia boleh berkembang, berubah bentuk, dan terus memberi makna apabila diterjemahkan mengikut zaman.

Dulu saya mewarisi ilmu ini daripada ibu saya. Kini, saya merasa bangga melihat anak-anak saya pula menemui makna jamu dalam cara mereka sendiri... Walaupun mereka dalam aliran yang berbeza, mereka dapat mempromosikan jamu melalui bidang-bidang mereka tersendiri. Dengan cara ini, harapan saya adalah jamu dapat diketengahkan lagi kepada lebih ramai orang.
Encik Suryakenchana Omar, aktivis dan pendidik dalam bidang jamu.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg