Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mindef beri amaran tentang penipuan pesanan pukal

Kedai roti mangsa terkini ditipu $2,000 ekoran tempahan individu yang menyamar sebagai pegawai SAF
Sep 14, 2025 | 3:47 PM
tempahan, palsu, Mindef, amaran
Seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai pegawai tentera membuat pesanan bernilai $2,000 di Breaditation Bakery tetapi tidak mengambil tempahan tersebut. - Foto BREADITATION BAKERY SG/INSTAGRAM

Kementerian Pertahanan (Mindef) memberi amaran mengenai penipuan pesanan barangan secara pukal yang melibatkan individu yang mendakwa diri mereka anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). 

Dalam satu hantaran di Facebook pada 14 September, Mindef berkata ia telah menerima tujuh kes seperti itu dan tiada bukti menunjukkan individu tersebut terlibat dengan SAF. Mindef juga telah membuat laporan polis, lapor The Straits Times (ST).

“Kami menggesa orang ramai, termasuk premis perniagaan untuk berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada polis. SAF memandang serius perkara ini,” tambah Mindef.

Ini berlaku selepas tiga kes penipuan pesanan secara pukal dilaporkan dalam seminggu. Dalam kes terbaru, Breaditation Bakery terjejas apabila seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai tentera membuat pesanan bernilai $2,000.  

Namun, lelaki itu menghilangkan diri, menyebabkan pemiliknya terpaksa menjual barangan itu sebelum ia terbuang.

Kedai roti di Desker Road, yang menjual roti sourdough, pastri, dan ban memberi amaran di Instagram pada 13 September mengenai penipuan tempahan pukal tersebut kepada pengikutnya.

Dalam hantaran sekitar 5.30 petang, kedai roti itu berkata penipu yang bernama Gordon dan mendakwa dari Kem Bedok gagal mengambil pesanan tersebut. 

Untuk menyelamatkan barangan tersebut, mereka menawarkan “kotak misteri” berisi pastri dan ban dengan harga $30 setiap satu. Semua kotak itu habis dijual menjelang 8.30 malam pada hari yang sama.

Pada 9 September, Muhammad Shazain Faiha Muslim Food Paradise, sebuah gerai di Tiong Bahru Market, menghadapi situasi serupa. 

Gerai itu memuat naik hantaran di Facebook untuk berkongsi kesulitan dan memohon bantuan untuk membeli makanan yang dipesan. 

Dalam hantaran itu, pengusaha gerai berkata seseorang yang mendakwa dari SAF telah membuat pesanan 150 pek beriani ayam dan kambing bersama botol air mineral, tetapi pesanan itu tidak diambil.

Beberapa pelanggan kemudian membeli beriani tersebut yang ditawarkan pada harga diskaun.

Mindef mengesahkan dalam hantaran Facebook pada 10 September bahawa individu yang membuat pesanan tersebut tidak ada kaitan dengan SAF.

Pada 8 September, Kiki Florist menerima pesanan besar sebanyak 150 jambangan kecil dan empat jambangan besar, bernilai $3,820, dari pembeli yang mendakwa dirinya dari pasukan logistik kem tentera. 

Pesanan yang dijadualkan pada 10 September itu terlalu besar untuk dipenuhi dan mereka akhirnya bersetuju menyiapkan 50 jambangan kecil, yang dibayar $1,100 secara tunai tanpa sebarang bayaran pendahuluan.

Pada 10 September, pembeli itu tidak muncul, namun penjual bunga tersebut berjaya menjual 50 jambangan dengan harga diskaun sekitar $800.

Polis memberi amaran bahawa penipuan pesanan pukal semakin meningkat, dengan kerugian mencecah sekurang-kurangnya $52,000 sejak Mei. 

Penipu sering menyamar sebagai guru, kakitangan sekolah atau pegawai pemerintah, meminta pesanan besar atau luar biasa dan mengarah perniagaan kepada pembekal palsu.

Polis menasihatkan agar mengesahkan identiti pembeli, elakkan pembayaran pendahuluan atau deposit kepada pembekal baru, dan hanya bayar untuk barangan yang dihantar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg