Seorang penjaja terpaksa membuat rayuan di Facebook untuk orang ramai membeli nasi berianinya, selepas beliau mendakwa seseorang yang mengaku sebagai wakil Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah membuat tempahan besar tetapi tidak datang untuk mengambilnya.
Dalam satu hantaran Facebook pada malam 10 September, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata SAF telah menjalankan siasatan tetapi “tidak menemui sebarang bukti bahawa individu itu ada kaitan dengan SAF,” lapor The Straits Times (ST).
Pemilik Muhammad Shazain Faiha Muslim Food Paradise, sebuah gerai penjaja di Pasar Tiong Bahru, memuat naik hantaran pada 9 September, menyatakan bahawa beliau “telah ditipu dengan satu tempahan palsu sebanyak 150 bungkus nasi beriani ayam dan kambing”.
Media berbahasa Cina, 8world melaporkan bahawa individu yang membuat tempahan tersebut mendakwa dirinya sebagai wakil SAF.
Lelaki itu dilaporkan memberitahu penjaja bahawa beliau tidak dapat meletakkan deposit untuk tempahan tersebut kerana “tentera adalah agensi pemerintah dan tidak boleh mengeluarkan deposit”.
Selain makanan, lelaki itu juga meminta botol air galian.
Penjaja tersebut turut memberikan diskaun ke atas makanan dan menambah daging serta nasi dalam setiap hidangan, selepas diberitahu bahawa makanan itu akan dimakan oleh anggota tentera.
Apabila tiada siapa yang datang untuk mengambil tempahan itu, penjaja berkenaan sedar bahawa beliau telah ditipu, menurut laporan tersebut.
Dengan harapan makanan itu tidak dibazirkan, penjaja tersebut membuat rayuan di laman Facebook beliau pada 9 September agar orang ramai membeli makanan tersebut pada harga istimewa.
Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar, Encik Foo Cexiang, yang disebut dalam hantaran penjaja itu, menyeru penduduk untuk membeli nasi beriani yang telah disediakan.
“Waktu makan tengah hari mungkin sudah berakhir, tetapi pada hari istimewa, kita boleh menikmati beriani sebagai sajian waktu petang – jadi saya menyeru semua penduduk Tiong Bahru, turun dan beli sebelum habis!” katanya dalam satu hantaran Facebook pada 9 September.
Kemudian pada hari yang sama, Encik Foo berkata semua 150 bungkus beriani telah berjaya dijual.
Dalam satu lagi hantaran Facebook pada 9 September, penjaja itu berkata 80 bungkus beriani telah diagihkan kepada penduduk di flat sewa berhampiran, dan ada juga individu yang membayar untuk makanan itu disumbangkan kepada pekerja serta golongan memerlukan.
Dalam satu hantaran Facebook pada 10 September, Mindef berkata SAF telah menyiasat laporan berkenaan tempahan makanan palsu tersebut.
“Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pengadu, kami tidak menemui sebarang bukti bahawa individu itu ada kaitan dengan SAF.
“Kami memandang serius perkara ini, dan menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis,” jelas kenyataan itu lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg