Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mindef mahu terus bina keupayaan baru, termasuk keupayaan teknikal

Perkukuh Perkhidmatan Negara, perbarui pendekatan Pendidikan Nasional, bina keupayaan satu negara tangani cabaran pertahanan antara keutamaan
Sep 15, 2025 | 5:30 PM
Mindef, pertahanan negara, keupayaan teknikal
Mindef berhasrat membuat keputusan bijak untuk memperlengkap pertahanan Singapura dengan keupayaan baru, termasuk seperti menggunakan dron. - Foto ZB

Kementerian Pertahanan (Mindef) akan terus membangun keupayaan baru, termasuk mendakap teknologi yang menggandakan kekuatan angkatan bersenjata, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.

Ini selain membangun keupayaan baru dalam bidang keselamatan siber lanjutan dan platform tanpa pemandu.

Namun, beliau menambah pembangunan keupayaan harus melebihi aspek teknikal dan merangkumi aspek kesiapsiagaan seluruh masyarakat serta pengukuhan Perkhidmatan Negara (NS).

Beliau berkata demikian dalam satu addendum atau kenyataan tambahan kepada ucapan Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam Amanat di sidang membuka tirai Parlimen ke-15 pada 5 September.

Addendum itu dikongsi dengan media oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 15 September.

Encik Chan berkata Mindef akur landskap peperangan masa ini telah berubah, dengan kewujudan sistem tanpa pemandu seperti dron.

Mindef akan membuat keputusan bijaksana dalam pembelian atau pembangunan keupayaan sedemikian, kata beliau.

Encik Chan berkata: “Kemajuan teknologi, lebih-lebih lagi sistem berbilang kegunaan tanpa pemandu, sedang mengorak semula taktik peperangan.

“Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan terus mengembangkan konsep operasi, memacu transformasi digital dan memanfaatkan teknologi yang dapat meningkatkan keberkesanan usaha kumpulan dengan ketara atau force multiplier.”

Semasa menyampaikan Amanat di Parlimen pada 5 September, Tuan Presiden menegaskan bahawa menjaga keselamatan adalah tanggungjawab semua dan ada keperluan untuk Singapura “memperkukuh daya bingkas kita sebagai satu rakyat menerusi pendekatan baru terhadap Pertahanan Mutlak dan Pendidikan Nasional (NE)”.

Sehubungan itu, Encik Chan berkata Mindef akan memperluaskan peluang bagi sukarelawan – tanpa mengira latar belakang, usia dan daya kemahiran – untuk menyumbang kepada pertahanan negara.

Ini di samping mempersiapkan warga Singapura dengan lebih baik untuk sebarang krisis atau gangguan melalui inisiatif Pertahanan Mutlak, ujarnya.

Usaha ini, kata beliau, akan meliputi perkongsian atau kerjasama dengan agensi pemerintah, perniagaan dan kumpulan masyarakat, sekali gus “mempertahankan daya bingkas kita merentas generasi”.

Konsep Pertahanan Mutlak Singapura dilancarkan pada 22 Januari 1984 sebagai cara pertahanan negara untuk menyatupadukan rakyat Singapura sekiranya berlaku ancaman ketenteraan, serta membina semangat rakyat Singapura untuk membela negara.

Ia telah diluaskan daripada lima tunjang kepada enam tunjang pada 2019, apabila Pertahanan Digital ditambah kepada kumpulan tunjang asal iaitu Pertahanan Ketenteraan, Pertahanan Awam, Pertahanan Ekonomi, Pertahanan Sosial dan Pertahanan Psikologi.

Sementara itu, Encik Chan berkata Mindef akan menyemak semula pendekatannya terhadap konsep NE, sejajar dengan gesaan Tuan Presiden.

Menurut Encik Chan, semakan semula ini akan “memperdalam pemahaman orang awam terhadap persekitaran luaran yang kian berubah dan realiti asas Singapura”.

Ini di samping memupuk sokongan dalam kalangan masyarakat awam terhadap keutamaan negara dan memperteguhkan komitmen terhadap pertahanan negara dan NS, katanya.

Berkenaan NS, beliau berkata sokongan akan terus diberikan dan diperkukuh, sedang ia kekal menjadi teras pertahanan Singapura.

“Bagi membolehkan anggota kami menyumbang sebaik mungkin, SAF akan memperbaiki Sistem Klasifikasi Perubatan (MCS), reka semula vokasi dan peranan dan memberikan lebih banyak peluang bagi anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) bagi menggunakan kepakaran mereka sebagai orang awam,” kata beliau.

Sebagai contoh, kali terakhir MCS disemak semula adalah pada 2022 setelah SAF, dalam satu kenyataan oleh Mindef pada Mac 2022, menyatakan ia beralih kepada penilaian fungsi.

Ini berbanding dua klasifikasi pengerahan askar, iaitu sesuai bagi pertempuran (combat-fit) atau tidak sesuai bagi pertempuran (non combat-fit).

Bercakap dalam perbahasan mengenai Belanjawan Mindef pada Mac 2021, mantan Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How berkata semakan itu dilaksanakan memandangkan pengecualian perubatan yang digunakan untuk mengehadkan pengerahan dalam MCS tidak lagi relevan dalam konteks operasi atau teknologi terkini pada ketika itu.

Dalam pada itu, Encik Chan turut menyentuh mengenai peri penting menjalin dan memperluas kerjasama pertahanan dengan negara-negara yang berkongsi pemikiran sama untuk menguatkan lagi kesiapsiagaan dan daya tahan bersama.

“Mindef akan memperdalam kerelevanan kita dengan rakan negara pertahanan sedia ada, sambil membina dan memperluaskan secara aktif kerjasama dengan rakan negara pertahanan yang baru,” katanya.

Beliau merujuk kepada platform pelbagai hala serantau seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM), ADMM-Plus dan Persetujuan Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Menurutnya, wadah sedemikian menegakkan undang-undang antarabangsa dan memelihara ketenteraman sejagat berlandaskan peraturan.

Bahkan pada Mei, Singapura dan Perancis memperluaskan hubungan keselamatan setelah memeterai Perisytiharan Hasrat Kerjasama Pertahanan yang Dipertingkatkan dan Pindaan Susunan Pentadbiran Kerjasama Teknologi Pertahanan antara kededua negara sempena Dialog Shangri-La.

Contoh-contoh ini melambangkan usaha Mindef dan SAF untuk meningkatkan kerelevanan strategik, berlatarbelakangkan ancaman keselamatan baru dan yang bakal berlaku, katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg