Topik diikuti
Pergi ke BHkuMindef rancang pertingkat anugerah berperingkat perkhidmatan negara sempena NS60
Skim kewangan yang menyediakan pembayaran berperingkat (milestone payment) kepada anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepanjang tempoh perkhidmatan mereka berkemungkinan akan dipertingkatkan.
Langkah itu bersempena sambutan ulang tahun ke-60 NS (NS60) pada 2027, umum Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
Dalam satu video yang dimuat naik di saluran YouTube dan laman media sosial beliau pada 31 Ogos, Encik Chan berkata kementeriannya juga sedang meneroka langkah untuk mengekalkan hubungan anggota kerahan NS (NSmen) dengan rakan seunit mereka.
Anugerah Perumahan, Perubatan dan Pendidikan NS (NS Home) menyediakan peruntukan kewangan bagi menyokong keperluan perumahan, penjagaan kesihatan dan pendidikan NSmen, dengan agihan dibuat pada tiga peringkat utama sepanjang latihan mereka.
Anggota kerahan kini boleh menerima keseluruhan $17,000 hingga $18,500 dalam bentuk tokokan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan kredit tunai, manakala komander menerima sokongan pada kadar lebih tinggi sedikit.
“Saya telah memberi beberapa arahan kepada pasukan (Kementerian Pertahanan, Mindef) untuk melihat bagaimana kita boleh menjadikan (anugerah) ini lebih berkesan dan bermakna buat NSmen kita, demi menjaga kebajikan mereka dengan lebih baik sewaktu mereka menempuh cabaran kehidupan sambil berkhidmat kepada negara dan terus menjaga keselamatan kita,” kata Encik Chan.
Bagi anggota NS Sepenuh Masa (NSF) pula, Encik Chan berkata kementeriannya mempunyai mekanisme sedia ada untuk menyemak elaun mereka secara berkala, bagi melihat “apa lagi yang boleh kita lakukan, atau perbaiki, untuk menjaga kebajikan NSmen kita”.
Dalam respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST), Mindef berkata ia sedang meneroka pakej pengiktirafan NS60 yang sesuai untuk NSmen sedia ada dan sebelum ini.
Mindef menambah bahawa elaun NSF telah disemak sebanyak empat kali sejak 10 tahun lalu, dan elaun bagi rekrut Latihan Asas Tentera (BMT) telah meningkat sebanyak 65 peratus sejak 2015.
Seorang rekrut atau prebet menerima $790 sebulan sebagai elaun permulaan mereka, yang merangkumi elaun asas sebanyak $715 dan sekurang-kurangnya $75 sebagai elaun vokasional.
Buat masa ini, seorang koperal NSF infantri yang telah menyelesaikan latihan vokasional, menerima elaun bulanan $1,090 pada tahun kedua perkhidmatan mereka, kata Mindef.
“Di samping menyediakan keperluan latihan dan ketenteraan mereka, Mindef mempunyai pasukan profesional yang menyemak elaun NS secara berkala bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan perbelanjaan hidup peribadi, mengambil kira perubahan dalam kos sara hidup serta faktor berkaitan yang lain,” kata Encik Chan.
Mindef juga bakal menganjurkan siri acara dan inisiatif peringatan NS60 bagi mengiktiraf anggota NSF, NSmen, alumni NS serta keluarga mereka.
Acara ini merangkumi Pameran NS dan Hari Terbuka Tentera.
Encik Chan sebelum ini pada 25 Ogos, mengumumkan bahawa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) bakal kembali diadakan di Padang pada 2027 bersempena sambutan NS60.
Encik Chan berkata NDP pada 2027 akan menampilkan “semua persembahan kegemaran orang ramai” apabila ia kembali ke Padang, seperti pertunjukan dinamik.
Ia juga akan memberi rakyat Singapura gambaran tentang bagaimana taktik peperangan telah berubah.
Sementara itu, Dataran NS dijadualkan siap menjelang akhir 2027.
Ia akan menggantikan pentas terapung Marina Bay dan bakal dilengkapi pentas serta tempat duduk penonton yang tetap untuk menganjurkan NDP dan acara berskala besar yang lain.
