Topik diikuti
Pergi ke BHkuLatihan kadet NCC boleh raih pendedahan, pengalaman lebih luas berkaitan latihan SAF
Kadet Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC) boleh menjangkakan lebih banyak lawatan ke unit SAF serta pendedahan secara langsung kepada kemahiran robotik, siber dan kecelikan digital, di samping modul khusus seperti latihan di kemudahan Tentera Darat, Program Pengalaman Penerbangan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan kursus keyakinan ketenteraan.
Di bawah pelan hala tuju NCC2030 yang diumumkan pada 26 Ogos oleh Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, NCC akan memperkenalkan komponen latihan teras bersama yang memberikan kadet pengalaman serta kemahiran hidup.
Encik Chan membuat pengumuman tersebut semasa sambutan ulang tahun ke-125 NCC di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB).
Menekankan bahawa pembentukan generasi muda sejak usia kecil menjadi tunjang kepada pertahanan dan keselamatan Singapura, Encik Chan berkata:
“Pada akhirnya, pertahanan negara kita bergantung pada kesediaan rakyat untuk teguh mempertahankan negara.
“Segala usaha ini perlu bermula sejak di bangku sekolah, dengan kita memupuk nilai dan etos dalam diri mereka agar mereka mampu menghadapi cabaran yang mendatang, walau apa jua keadaan.”
Selain itu, kadet juga akan mendapat lebih banyak peluang menyertai kegiatan seperti turun bertali (rappelling) dan pertandingan antara unit, manakala kampus NCC baru di Kem Bedok, berhampiran stesen MRT Sungei Bedok, dijangka siap menjelang 2032.
Encik Chan turut berkongsi bahawa pakej latihan akan diselaraskan bagi mengurangkan kerja pentadbiran dalam kalangan pegawai guru, dengan sokongan kumpulan Jurulatih Pembantu NCC (Auxiliary Trainers).
Ini akan memberikan guru dan pegawai lebih banyak masa untuk membimbing kadet.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di luar acara tersebut, Komandan NCC, Leftenan-Kolonel Kanan (SLTC) Mohd Nizam Yahya, 49 tahun, berkata pelan hala tuju NCC2030 yang diperbaharui itu akan memberikan kadet meraih lebih banyak peluang dan pengalaman menerusi pelbagai program.
“Apabila mereka mempelajari tentang kepimpinan, mereka belajar bagaimana untuk bekerjasama sebagai satu pasukan. Ini sebenarnya kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk di luar konteks NCC,” ujar SLTC Nizam.
Pelan hala tuju itu, yang telah menjalani beberapa percubaan sejak awal tahun ini (2026), turut menyaksikan Jurulatih Pembantu NCC ditempatkan di unit-unit sekolah.
Inisiatif ini membolehkan bekas anggota tetap yang berpengalaman berkongsi kepakaran dan pengalaman praktikal dengan kadet, manakala pegawai guru pula boleh menumpukan perhatian kepada usaha membimbing dan membentuk pelajar.
Kadet Kapten (NCC) Muhammad Raiyaan Arshad, 20 tahun, seorang pelajar kejuruteraan aeronautikal di Politeknik Nanyang, kini berkhidmat sebagai pengerusi jawatankuasa eksekutif pegawai kadet, turut berkongsi dengan BH bagaimana NCC2030 akan memberikan kadet pendedahan lebih luas kepada pelbagai aspek perkhidmatan, termasuk memberi mereka peluang merasai bidang udara, laut dan darat.
“Dengan memberikan mereka pendedahan ini, mereka akan mendapat pemahaman lebih baik tentang pengalaman berkhidmat dalam pelbagai perkhidmatan SAF, yang akhirnya membolehkan mereka membuat pilihan lebih yakin dan matang.
“Lebih penting lagi, apabila mereka didedahkan kepada konteks dan kemahiran yang berbeza, mereka akan berdepan dengan pelbagai cabaran yang dapat membantu membentuk mereka menjadi individu yang lebih matang,” ujarnya.
