Dengan serangan siber kini semakin canggih, Kementerian Pertahanan (Mindef) telah menubuhkan satu unit baru bagi melengkapkan pertahanan rangkaian pemerintah dengan keupayaan yang lebih kukuh, sambil mengetatkan penyelarasan mereka.
Unit baru itu, Hab Pertahanan Digital (DDH) – yang ditempatkan di bawah Pusat Teknologi Infokom Strategik (CSIT) Mindef – turut bertanggungjawab menggalakkan kerjasama dalam bidang keselamatan siber dalam kalangan agensi pemerintah serta sektor privet.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, mengumumkan penubuhan unit baru itu pada 17 Oktober di persidangan teknologi tahunan tertutup anjuran CSIT, TechCon.
Berucap di persidangan tersebut, Encik Shanmugam berkata unit baru itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengerahan keupayaan bagi menyokong pelbagai agensi awam serta misi penting bagi mempertahankan keselamatan negara, seperti menangkis ancaman lanjut berterusan (APT).
APT merujuk kepada penyerang dengan sumber dan kemampuan tinggi, lazimnya yang berkaitan dengan negara, menyusup ke rangkaian bagi mencuri maklumat sensitif atau mengganggu perkhidmatan penting.
Pada Julai, Encik Shanmugam berkata pihak berkuasa sedang menangani serangan berterusan ke atas prasarana maklumat penting Singapura oleh kumpulan APT yang dipanggil UNC3886.
Meskipun pihak berkuasa tidak mendedahkan penaja UNC3886, para pakar telah mengaitkan kumpulan tersebut dengan China, lapor The Straits Times (ST).
Dalam ucapannya di persidangan itu, Encik Shanmugam berkata serangan APT yang disyaki terhadap Singapura meningkat lebih empat kali ganda antara 2021 dengan 2024.
Bentuk ancaman digital lain yang boleh menjejas masyarakat dengan ketara, seperti serangan perisian tebusan (ransomware) dan penipuan digital, turut berkembang dengan pantas, tambah Encik Shanmugam.
“Cabaran semakin meningkat. Sebagai masyarakat digital yang amat tersambung, memperkukuh pertahanan digital kita adalah satu keutamaan jelas,” kata Encik Shanmugam.
Pengarah Kumpulan DDH, Dr Adrian Tang, berkata unit baru itu bertujuan “menangani ancaman digital berskala besar dengan lebih baik, terutama APT terhadap sistem pemerintah dan prasarana penting kita”.
Beliau menambah unit baru itu akan menumpukan kepakaran mendalam CSIT dalam pelbagai bidang teknikal, seperti penyelidikan ancaman siber, analisis perisian hasad (malware), dan pelaksanaan simulasi serangan siber oleh penggodam beretika atau red-teaming.
Ini bagi membangunkan keupayaan lebih baik untuk agensi awam dalam mempertahan, menyiasat dan bertindak balas terhadap ancaman siber berskala besar.
Ditubuhkan pada 2003, CSIT merupakan agensi teknologi digital utama Mindef yang membangunkan alat digital bagi memenuhi keperluan keselamatan negara.
CSIT, Makmal Nasional Organisasi Sains Pertahanan (DSO), Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) dan beberapa jabatan Mindef lain membentuk kumpulan teknologi pertahanan Mindef, yang diiktiraf kerana menyediakan keunggulan teknologi kepada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Ketua Eksekutif CSIT, Encik Darren Teo, berkata sebagai sebuah negara kecil dengan jejak digital yang besar, Singapura perlu membangunkan teknologi dan keupayaan untuk mempertahankan ruang digitalnya, supaya perkhidmatan digital penting dapat terus beroperasi dengan lancar meskipun ketika diserang.
Sementara itu, Encik Shanmugam menekankan kepentingan kerjasama dalam menangani ancaman siber.
Beliau berkata pertukaran maklumat secara berkala antara agensi pemerintah dengan rakan industri telah membantu semua pihak memperoleh gambaran lebih menyeluruh mengenai landskap dan pelaku ancaman, serta membantu pemerintah menyiasat aktiviti UNC3886.
“Kita perlu bekerjasama kerana penyerang, pihak jahat, semakin canggih dan mampu menyembunyikan kegiatan mereka,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg