Topik diikuti
Pergi ke BHkuMinLaw kenakan tempoh bertenang 3 hari untuk pinjaman daripada pemiutang berlesen
Kementerian Undang-Undang (MinLaw) mengumumkan pada 31 Ogos bahawa tempoh bertenang wajib selama tiga hari bekerja akan dikuatkuasakan mulai 15 September ke atas semua pinjaman tanpa cagaran – selain pinjaman perniagaan – yang diambil daripada pemiutang berlesen.
Sepanjang tempoh bertenang itu, peminjam dibenarkan membatalkan pinjaman mereka dengan kos yang lebih rendah.
Pada masa ini, pemiutang berlesen dibenarkan menyimpan sepenuhnya yuran kelulusan pinjaman, serta sebarang faedah yang terkumpul, sekiranya peminjam membatalkan pinjamannya.
Dengan pelaksanaan tempoh bertenang wajib itu, apabila seseorang peminjam membatalkan pinjaman dalam tempoh berkenaan, pemiutang berlesen hanya dibenarkan menyimpan sebahagian yuran kelulusan pinjaman berkenaan, tertakluk kepada had tertentu.
Ini bertujuan membantu menampung kos overhed dan kos usaha wajar yang ditanggung mereka semasa meluluskan sesuatu pinjaman.
MinLaw berkata rangka kerja tempoh bertenang itu dibangunkan hasil rundingan dengan Persatuan Kredit Singapura, badan profesional yang mewakili pemiutang.
Ia bertujuan mengimbangi antara memberi peluang kepada peminjam untuk mempertimbangkan semula keperluan mereka terhadap kredit – yang kadangkala dibuat secara terburu-buru – dengan memastikan pemberi pinjaman tetap mendapat ganjaran yang sewajarnya atas kerja yang mereka lakukan semasa meluluskan pinjaman tersebut.
Bagi pinjaman sehingga $5,000, pemberi pinjaman wang dibenarkan menyimpan maksimum $50, tidak melebihi yuran kelulusan pinjaman.
Bagi jumlah melebihi $5,000, mereka boleh menyimpan maksimum 3.5 peratus daripada jumlah pokok pinjaman, tidak melebihi yuran kelulusan pinjaman.
MinLaw memberikan contoh bagi pinjaman sehingga $5,000: jika seseorang mengambil pinjaman $1,000, dia akan menerima $900 selepas dipotong yuran kelulusan pinjaman awal 10 peratus.
Jika dia membatalkan pinjaman itu dalam tempoh bertenang, dia perlu membayar balik sehingga $950.
Jumlah itu terdiri daripada $900 yang telah diterimanya, ditambah $50 (jumlah maksimum yuran kelulusan pinjaman yang dibenarkan disimpan oleh pemberi pinjaman wang).
Bagi jumlah melebihi $5,000 pula, kementerian itu menjelaskan bahawa jika seseorang peminjam mengambil pinjaman $10,000 dan menerima $9,800 selepas potongan yuran kelulusan pinjaman sebanyak 2 peratus, dia perlu membayar balik sehingga $10,000 jika beliau memutuskan untuk membatalkan pinjaman tersebut dalam tempoh bertenang.
Jumlah itu terdiri daripada $9,800 yang diterimanya, ditambah $200 (jumlah maksimum yuran kelulusan pinjaman yang dibenarkan disimpan oleh pemberi pinjaman wang berlesen).
Selain itu, MinLaw turut berkata Pejabat Pendaftaran Pemiutang telah mengemas kini Buku Panduan Perkhidmatan Profesional untuk industri itu pada April 2026, bagi terus memperkasa kepentingan peminjam dengan menggalakkan pemiutang wang berlesen mengamalkan amalan terbaik.
Amalan ini termasuk menawarkan insentif (contohnya diskaun/rebat atas faedah dan/atau yuran) bagi pembayaran balik tepat pada masanya atau pinjaman yang diselesaikan lebih awal daripada jadual, serta mewujudkan platform digital bagi membantu peminjam menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.
Pemiutang berlesen turut digesa mewujudkan langkah proaktif bagi membantu peminjam yang menghadapi masalah kewangan, dengan menyusun semula pembayaran balik pinjaman mengikut kesesuaian keadaan kewangan peminjam, dan/atau merujuk mereka kepada agensi perkhidmatan sosial untuk mendapatkan bantuan.
