Dua individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pemiutang haram telah dibawa semula ke lokasi kejadian pada 5 Ogos bagi membantu siasatan polis.

Muhammad Ziqri Hakimi Nazimudin, 19 tahun, seorang warga Malaysia, dan Nurlatifah Azzahra, 25 tahun, seorang warga Indonesia, sebelum ini didakwa di mahkamah pada 4 Ogos di bawah Akta Pemiutang Wang 2008.

Kededua individu difahamkan saling mengenali.

Menurut kenyataan polis pada 3 Ogos, pihaknya menerima beberapa laporan berhubung siri kes gangguan pemiutang haram di seluruh Singapura pada 2 Ogos antara 2 pagi dengan 10 pagi. 

Dalam kejadian itu, pintu pagar dan pintu beberapa unit kediaman di beberapa lokasi disimbah cat berwarna putih, hitam, kuning dan merah, manakala nota berkaitan hutang turut ditampal pada pintu rumah terjejas.

Menurut kenyataan itu lagi, pegawai daripada Divisyen Polis Bedok bersama Komand Operasi Polis berjaya mengenal pasti identiti kededua suspek dengan bantuan rakaman daripada kamera polis.

Kededua suspek diberkas dalam tempoh sembilan jam selepas laporan pertama diterima polis. Dua telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu turut dirampas sebagai bahan bukti.

Siasatan awal mendapati kededua suspek dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes gangguan pemiutang haram yang mempunyai modus operandi yang serupa.

Ketika pihak media tiba di salah satu unit terjejas di blok 635 Bedok Reservoir Road pada 10.07 pagi, kesan percikan cat masih jelas kelihatan pada pintu pagar kediaman tersebut.

Ziqri dilihat menangis sebaik tiba di lokasi menaiki kereta polis tanpa tanda pengenalan, manakala Nurlatifah, yang tiba dalam kereta berasingan, juga diiringi seorang jurubahasa.

Beberapa basikal dan kasut kanak-kanak di luar kediaman kedua yang turut terjejas, di blok 606C Tampines Street 61, kelihatan turut terkena percikan cat.

Kededua rumah turut dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV).

Kededua mereka dijadualkan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 11 Ogos.

Jika didapati bersalah, mereka masing-masing boleh didenda sehingga $50,000, dipenjara sehingga lima tahun dan dikenakan sehingga enam sebatan.

Bagaimanapun, hukuman sebat hanya boleh dikenakan ke atas pesalah lelaki yang berusia di bawah 50 tahun.

Sekiranya disabitkan kesalahan, wanita itu boleh dikenakan hukuman penjara tambahan sebagai ganti hukuman sebatan.

“Pihak polis mempunyai sifar toleransi terhadap kegiatan gangguan pemiutang haram.

“Mereka yang sengaja merosakkan harta benda, menyebabkan gangguan atau menjejas keselamatan, dan keamanan awam, akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” kata kenyataan itu.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pemiutang haram, diminta menghubungi talian polis di 999 sekiranya mengesyaki atau mengetahui sesiapa yang mungkin terlibat dalam kegiatan pemiutang haram.