Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MinLaw komited tubuh pasukan bertindak bagi individu berkeperluan khas tidak ketara

Mar 26, 2025 | 5:47 PM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-undang, Encik Edwin Tong, berucap di simposium Akses kepada Keadilan (A2J) anjuran Pro Bono SG, di Mahkamah Negara, pada 26 Mac.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-undang, Encik Edwin Tong, berucap di simposium Akses kepada Keadilan (A2J) anjuran Pro Bono SG, di Mahkamah Negara, pada 26 Mac. - Foto MINLAW

Seorang wanita dengan ketidakupayaan intelek didakwa mengalami serangan seksual, namun keupayaannya memberi keterangan di mahkamah diragui dan tiada pertuduhan dikenakan.

Seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu belum disahkan menghidap Gangguan Spektrum Autisme (ASD) dan bersikap agresif, telah dihantar ke Rumah Tumpangan Remaja Perempuan (Girls’ Home), namun dia dibuli dan cuba membunuh diri.

Kisah sebenar dua individu berkeperluan khas itu diketengahkan pada 26 Mac dalam simposium pertama Singapura mengenai cabaran undang-undang yang dihadapi oleh golongan dengan ketidakupayaan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, atau berkeperluan khas tidak ketara. 

Simposium pertama, Akses kepada Keadilan (A2J) itu dianjurkan oleh badan amal perkhidmatan guaman, Pro Bono SG, di Mahkamah Negara.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, dan juga peguam, Cik Peggy Yee, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa ketidakupayaan tidak ketara merangkumi keadaan kesihatan mental seperti psikosis dan skizofrenia, serta keperluan khas seperti autisme; masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD); dan ketidakupayaan intelek.

“Tiada siapa yang memakai tanda untuk mengatakan bahawa dia mengalami masalah kesihatan mental atau autisme,” kata Cik Yee.

Berucap di simposium itu, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-undang, Encik Edwin Tong, berkata Kementerian Undang-Undang (MinLaw) komited menubuhkan sebuah pasukan bertindak pelbagai agensi.

Pasukan itu, yang akan terdiri daripada kementerian dan agensi sokongan sosial, bertujuan membantu individu berkeperluan khas tidak ketara dalam sistem keadilan, lapor ST.

Encik Tong menambah bahawa simposium sebegini sepatutnya dianjurkan sejak dahulu lagi.

“Tidak banyak gunanya mempunyai sistem undang-undang bertaraf dunia jika anggota masyarakat yang sepatutnya mendapat khidmat, tidak dapat mengaksesnya, tidak dapat menuntut keadilan, dan tidak dapat menggunakan sistem tersebut,” kata Encik Tong.

Beliau menambah bahawa keperluan khas yang tidak ketara boleh mempengaruhi pertimbangan dan kawalan individu, serta menyumbang kepada kesalahan mereka.

“Kita perlu peka akan perkara ini, kerana kesan keadaan tersebut sering kali tidak kelihatan, namun boleh memberi kesan yang besar terhadap keadilan dan proses dalam sistem undang-undang,” kata Encik Tong.

Cik Yee berkata, simposium ini bertujuan “mengetengahkan cabaran yang dihadapi individu dengan keperluan khas tidak ketara dalam mengharungi sistem undang-undang, sama ada sebagai mangsa atau pesalah”.

Sekitar 400 peserta dari badan kehakiman, penguatkuasa undang-undang, perundangan, perubatan, dan perkhidmatan sosial menghadiri simposium tersebut.

Mereka membincangkan isu-isu termasuk keberkesanan sistem keadilan jenayah untuk individu dengan keperluan khas tidak ketara, serta keperluan untuk mempertimbangkan semula pendekatan terhadap pemulihan, rawatan, dan hukuman terhadap mereka.

Dalam ucapannya, Encik Tong turut mengetengahkan pembaruan dalam sistem keadilan Singapura yang telah dirangka bagi menyokong individu dengan keperluan khas tidak ketara, termasuk Skim Dewasa Sesuai bagi Individu dengan Ketidakupayaan Mental (AAPMD) dan Perintah Rawatan Mandatori (MTO).

AAPMD, yang diperkenalkan pada 2016, melatih sukarelawan untuk membantu individu dengan ketidakupayaan intelek, autisme, atau masalah kesihatan mental semasa sesi temuduga dengan pihak berkuasa, dengan memberi sokongan dari segi komunikasi dan emosi.

Perintah Rawatan Mandatori (MTO), diperkenalkan pada 2010, untuk pesalah yang mempunyai keadaan kesihatan mental yang boleh menyumbang kepada kelakuan jenayah mereka. Pesalah yang diberi MTO akan menjalani rawatan untuk keadaan mental mereka sebagai ganti hukuman penjara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg