Misi rawat derita haiwan sakit, teraniaya bangkit semangat penerima Biasiswa NParks-Peter Lim
Misi rawat derita haiwan sakit, teraniaya bangkit semangat penerima Biasiswa NParks-Peter Lim
Kerana minat dan sayangnya yang menebal terhadap haiwan, Cik Mi’ra Mikkel Muhamad Hidayat sanggup merawat haiwan yang menjadi mangsa dera meskipun jiwanya disaluti bebanan emosi.
Tidak sanggup matanya melihat penyeksaan dan kesakitan yang dirasakan haiwan comel ini yang menjadi sasaran golongan tidak berperikemanusiaan.
Kerana itu, pelajar tahun akhir kursus Diploma Teknologi Veterinar di Politeknik Temasek (TP) itu bersyukur dan berbesar hati apabila menjadi antara 27 penerima Biasiswa NParks-Peter Lim, yang disampaikan buat julung-julung kalinya.
Majlis penyampaian biasiswa itu diadakan pada 21 Januari di Auditorium Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur.
Biasiswa itu merupakan sumbangan dermawan, usahawan dan pelabur, Encik Peter Lim, dengan kerjasama Lembaga Taman Negara (NParks).
Ia disampaikan bagi memperkasa belia kurang berkemampuan yang cemerlang dalam pelajaran mereka bagi meneruskan kerjaya dalam sektor landskap, hortikultur, ekologi, veterinar dan sains haiwan.
Cik Mi’ra, 20 tahun, yang dipilih berdasarkan merit, berkata: “Apabila saya perlu merawat haiwan-haiwan yang kesakitan, ia sangat menyedihkan hati saya. Lebih-lebih lagi jika haiwan itu berada dalam keadaan yang semakin tenat dan akhirnya mati.”
Menurutnya, cinta dan minat terhadap haiwan telah berputik sejak usia kecil lagi. Ini memandangkan amalan murni keluarganya mengambil haiwan-haiwan peliharaan yang dijumpai di luar rumah seperti kucing dan burung.
Justeru, beliau pernah mempunyai lebih 10 haiwan peliharaan di rumahnya pada suatu ketika.
Dari titik itu, Cik Mi’ra mula mesra dengan haiwan, sekali gus membentuk dirinya menjadi seorang pencinta haiwan yang sejati.
Berkongsi tentang kebahagiaannya menerima Biasiswa NParks-Peter Lim berdasarkan Merit, Cik Mi’ra, anak bongsu dua beradik, berkata:
“Saya sangat gembira dan bersyukur atas biasiswa ini kerana ia telah membuka banyak peluang kepada saya untuk mendalami bidang veterinar atau rawatan haiwan ini.”
Daripada minat dan cinta yang mendalam terhadap penjagaan haiwan, ia berkembang menjadi kemahiran dan kecemerlangan dalam mempelajari bidang Teknologi Veterinar.
Malah, Cik Mi’ra telah tersenarai dalam Senarai Dekan bagi keputusan akhir tahun satu dan dua di TP.
Beliau juga pernah dianugerahkan Anugerah Pengajian NParks pada 2023 kerana kecemerlangannya.
Ini secara tidak langsung mendorong semangatnya untuk kekal komited dengan pembelajarannya dalam bidang veterinar, malah bekerja sambilan di klinik haiwan tempatan.
Kesungguhan Cik Mi’ra dalam dunia penjagaan haiwan ini turut terpancar jelas dalam pengalaman praktikalnya.
Melalui pengalaman bekerja inilah, beliau terdedah kepada cabaran-cabaran dalam bidang ini.
Katanya: “Selain bebanan emosi, komitmen dan masa juga merupakan antara cabaran yang saya lalui apabila bekerja sambilan di sebuah klinik haiwan. Adakalanya saya perlu bekerja lebih masa, tidak kira waktu demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan haiwan yang saya rawat.”
Cik Mi’ra juga berpeluang menjalani latihan amali, bekerja sambil belajar di Hong Kong selama empat bulan baru-baru ini, dari September 2025 ke Januari 2026.
Di Hong Kong, beliau yang bercita-cita menceburi bidang jururawat veterinar sebelum melanjutkan pengajiannya ke universiti kelak sempat mempelajari cara merawat haiwan air seperti ikan.

