Pertubuhan yang membantu pesakit buah pinggang seperti Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC) telah membuat banyak sumbangan penting terhadap penjagaan kesihatan mental bukan hanya pesakit, bahkan penjaga mereka.
Berkongsi pandangannya tentang sumbangan badan Melayu/Islam itu, Perunding Pakar Bedah Ortopedik, Dr Hamid Razak, berkata penyakit ginjal melangkaui bidang klinikal dan mempunyai kesan sosial yang ketara yang bukan hanya menjejas pesakit, malah penjaga mereka juga.
“Saya tahu betapa sukarnya mempunyai seseorang yang menghidap penyakit ginjal. Beban emosi bukan hanya ke atas pesakit, bahkan keluarga,” kata Dr Hamid, yang salah seorang anggota keluarganya mengalami penyakit tersebut.
“Sumbangan MKAC dalam ruang sosial dari segi menjaga kesihatan mental pesakit dan penjaga mereka adalah sesuatu yang sangat penting. Kita memerlukan lebih banyak pertubuhan seperti MKAC untuk bekerjasama dengan pertubuhan pemerintah dan pertubuhan tidak mencari untung lain serta entiti swasta untuk memastikan penjagaan saksama diberikan kepada semua pesakit dan masyarakat umum kita.”
Dr Hamid merupakan tetamu terhormat di acara Memperingati Hari Kebangsaan (NDO) anjuran MKAC pada 17 Ogos.
Sekitar 60 hadirin berada di majlis itu, terdiri daripada pesakit ginjal yang menerima bantuan daripada MKAC dan ahli keluarga mereka, serta anggota majlis MKAC dan tetamu lain yang dijemput badan Melayu/Islam (MMO) itu.
Selain mendengar ucapan daripada Dr Hamid, yang juga penasihat kedua di pertubuhan akar umbi GRC Jurong (Jurong Spring), hadirin melafazkan ikrar dan menyanyikan lagu kebangsaan bersama.
Sebanyak 10 keluarga kemudiannya menerima beg habuan berisi barangan dapur dan sumbangan wang daripada MKAC di bawah program Care and Compassion yang diadakan dua kali sebulan.
Presiden MKAC, Encik Ameerali Abdeali, berkata persatuan itu tidak mahu sekadar memberi bantuan kewangan kepada benefisiari tetapi melengkapi usaha mereka itu dengan sesuatu yang menambah nilai.
“Cara penambahan nilai ini dibuat adalah dengan menemui (pemimpin masyarakat) untuk meraih inspirasi, selain mempelajari kemahiran seperti memasak dan menjahit,” kata Encik Ameerali.
“Kami mahu menyokong pesakit ginjal sebaik mungkin. Kami bukan pakar bedah… tapi kami boleh jadikan kehidupan mereka lebih ceria, jadikan mereka kurang sunyi dan membolehkan mereka menjalin hubungan kawan antara satu sama lain.”
Encik Ameerali juga berkata dengan mengundang pemimpin masyarakat seperti Dr Hamid sebagai tetamu terhormat ke acara tersebut, beliau berharap dapat memberi sokongan kepada mereka dan juga belajar daripada mereka.
“Saya bukan hanya mahu memberi mereka semua sokongan yang boleh saya berikan, malah mahu belajar daripada mereka kerana cara mereka memimpin pertubuhan berbeza berbanding zaman saya,” katanya.
“
“Sumbangan MKAC dalam ruang sosial dari segi menjaga kesihatan mental pesakit dan penjaga mereka adalah sesuatu yang sangat penting. Kita memerlukan lebih banyak pertubuhan seperti MKAC untuk bekerjasama dengan pertubuhan pemerintah dan pertubuhan tidak mencari untung lain serta entiti swasta untuk memastikan penjagaan saksama diberikan kepada semua pesakit dan masyarakat umum kita.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg