Pemerintah akan memastikan perumahan awam terus kekal mampu dimiliki dan boleh diakses rakyat Singapura melalui bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang mantap di kawasan yang berbeza, sementara estet matang pula akan dinaik taraf untuk mempertingkat persekitaran hidup.
Membentangkan adendum (kenyataan tambahan) kementeriannya pada 18 September, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, menambah bahawa mereka juga akan membangunkan dan memberikan butiran lanjut tentang rangka kerja Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (Vers).
Skim itu akan membolehkan pemilik flat berumur 70 tahun ke atas mengundi sama ada pemerintah boleh membeli balik rumah mereka sebelum tamat tempoh pajakan.
“Kami akan membina lebih banyak rumah yang memenuhi keperluan berbeza, memberi nafas baru kepada kejiranan dan estet lama, dan menjadikan ia lebih sesuai didiami, bertenaga dan mesra warga emas.
“Tempat perniagaan dan tempat kerja akan digiatkan semula, membawa pekerjaan lebih dekat dengan rumah.
“Gerbang Utara, Timur dan Barat akan berkembang sebagai nod ekonomi penting, manakala kawasan pusat bandar akan kekal sebagai destinasi penting untuk perniagaan, pelancongan dan budaya, mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab sejagat,” kata beliau.
Adendum Kementerian Pembangunan Negara (MND) itu dibentangkan menyusuli amanat Presiden Tharman Shanmugaratnam yang disampaikan semasa pembukaan Sidang Parlimen ke-15 pada 5 September.
Dalam amanatnya itu, Tuan Presiden, antara lain, telah menyentuh tentang menyediakan jaminan kepada rakyat Singapura, seperti dengan memastikan perumahan awam kekal mampu milik dan mudah diakses.
Encik Chee, dalam adendum kementeriannya, berkata pemerintah akan menyemak had pendapatan perumahan awam dan mengkaji cara menyediakan lebih banyak pilihan perumahan, termasuk untuk golongan bujang, warga emas dan keluarga lebih besar.
Selain itu, usaha juga akan dilakukan untuk terus mempertingkat perumahan sewa awam, termasuk mempertingkat blok sewa lebih lama dan menyokong lebih banyak keluarga yang tinggal di flat sewa untuk memiliki rumah sendiri.
Rakyat Singapura yang tinggal di estet matang pula boleh menjangkakan kerja-kerja peningkatan bagi estet dan rumah mereka melalui program seperti Program Peningkatan Rumah (HIP) dan Program Pembaharuan Kejiranan (NRP).
Encik Chee menambah pemerintah juga akan mempertingkat prasarana dan kemudahan untuk menjadikan estet perumahan lebih mesra warga emas.
Beberapa estet perumahan privet yang terpilih juga akan meraih manfaat daripada peningkatan mesra warga emas di bawah Program Peningkatan Estet (EUP) (Estet Biasa) dan EUP (Estet Warga Emas).
“Kami akan menyemak perundangan untuk memastikan Perbadanan Pengurusan mengekalkan dan menaik taraf pembangunan semakin berusia mereka dalam memenuhi keperluan penduduk mereka.
“Isi rumah yang layak dengan warga emas yang tinggal di hartanah privet juga akan mendapat sokongan untuk memasang kelengkapan mesra warga emas di dalam rumah di bawah program Peningkatan bagi Warga Emas Aktif (Privet),” kata Encik Chee.
Antara lain, lebih banyak hab masyarakat bersepadu akan dibina, contohnya di Toa Payoh dan Woodlands, untuk menempatkan bersama kemudahan sukan, penjagaan kesihatan dan ruang masyarakat di satu lokasi sama.
MND juga sedang memperluas rangkaian taman dan penghubung taman untuk menyediakan lebih banyak ruang hijau kepada penduduk, di samping merancang ruang awam baru sepanjang Koridor Identiti yang menjadi tempat kegiatan masyarakat.
Selain itu, tumpuan juga diberikan pada usaha mengurangkan kesan perubahan iklim, dengan pemerintah akan melaksanakan langkah-langkah seperti perancangan bandar dan rekaan bangunan yang sensitif pada iklim, dan penggunaan cat sejuk untuk menangani suhu yang semakin meningkat.
Dalam usaha mempertingkat sektor persekitaran binaan, MND akan bekerjasama dengan rakan industri untuk menawarkan lebih banyak peluang kerjaya untuk rakyat Singapura.
Ia juga akan terus memperkasa firma persekitaran binaan untuk menggunakan teknologi, seperti alat kecerdasan buatan (AI), automasi dan kerjasama digital merentas kitaran hayat bangunan.
“Bersama dengan semua rakyat Singapura, MND akan membentuk masa depan yang bertenaga dan mampan untuk bandar kita – kediaman yang boleh dibanggakan setiap generasi,” tambah Encik Chee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg