Satu model penjagaan trauma yang diilhamkan daripada bentuk roda basikal telah dilancarkan di kawasan tengah Singapura.
Konsep hub and spoke atau hab dan jejari roda basikal, dapat meningkatkan peluang pesakit yang cedera parah dan mengancam nyawa, menerima rawatan optimum di hospital paling sesuai, sekali gus mempercepat masa dalam memberi tindak balas dan mengurangkan kadar kematian.
Pusat Trauma Hospital Tan Tock Seng (TTSH) berperanan sebagai hab, dalam menangani kes trauma yang paling rumit dan kritikal, manakala hospital lain di kawasan tengah Singapura menjadi jejari atau ruji, yang menguruskan kes sederhana hingga kurang serius.
‘Hospital jejari’ merangkumi Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), Woodlands Health (WH), Hospital Besar Sengkang (SKH), Hospital Raffles dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), iaitu hospital dari kelompok penjagaan kesihatan berbeza.
Model tersebut juga membantu “memanfaatkan sumber sepenuhnya... memandangkan empat daripada lapan pakar bedah trauma di Singapura berkhidmat di TTSH”, kata pengarah Pusat Trauma TTSH, Dr Teo Li Tserng, kepada wartawan dalam satu temu bual pada 16 Julai.
Empat lagi pakar bedah trauma berkhidmat di tiga hospital lain, lapor The Straits Times (ST).
Dr Teo menjelaskan bahawa pesakit yang memerlukan rawatan berdasarkan satu set kriteria pemindahan sekunder, akan dirujuk ke hab tersebut.
Kriteria itu termasuk pesakit yang memerlukan rawatan khusus, tidak disediakan di hospital yang membuat rujukan, mengalami masalah perubatan tertentu seperti cedera parah, memerlukan pemantauan khusus, atau mengalami masalah berkomunikasi.
Model penjagaan tersebut dikongsi semasa Persidangan Trauma dan Penjagaan Akut Singapura (Stacc) 2025, yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura, dari 17 hingga 18 Julai.
Trauma adalah kecederaan yang disebabkan kuasa luar.
Ramai pesakit trauma mengalami pelbagai kecederaan atau kerosakan pada beberapa bahagian tubuh, sama ada akibat nahas jalan raya, terjatuh dengan teruk, atau luka yang menembusi tubuh.
Ia tersenarai dalam 10 punca kematian di Singapura, dengan kes terjatuh dan kemalangan jalan raya menjadi penyebab utama bagi kecederaan trauma tahap sederhana hingga serius.
Menurut Pejabat Pendaftaran Trauma Nasional (NTR), terdapat sekitar lapan kes trauma bagi setiap 100,000 penduduk yang dirawat di institusi penjagaan kesihatan awam setiap hari, antara 2021 dengan 2023.
Hampir tujuh dalam 10 kes trauma sederhana hingga serius melibatkan warga emas berusia 65 tahun ke atas.
Sekitar seorang daripada lima pesakit trauma serius tidak dapat diselamatkan, manakala seorang dalam 50 pesakit trauma sederhana meninggal dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg