Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOE bakal lengkapi pelajar dengan kemahiran masa depan, dipacu AI

Sep 17, 2025 | 5:30 PM
AI, Leonardo.Ai, MOE addendum
Dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini mengubah ekonomi dan masyarakat, pelajar di sekolah dan institut pengajian tinggi akan mempelajari cara menggunakan AI secara bertanggungjawab dan meraih pengetahuan yang diperlukan bagi tempat kerja yang dipacu AI. Gambar diambil pada 2024 ini menunjukkan sekumpulan pelajar sekolah menengah cuba menjana gambar dalam platform Leonardo.Ai. - Foto ST

Pelajar Singapura akan dilengkapi dengan kemahiran dan kecekapan sedia masa depan supaya dapat berkembang maju dalam setiap peringkat hidup mereka.

Sokongan lebih menyeluruh akan turut disediakan kepada kanak-kanak daripada keluarga dengan keperluan rumit bagi pembelajaran dan kesejahteraan mereka.

Ini adalah sebahagian usaha Kementerian Pendidikan (MOE) untuk membantu pelajar yang mempunyai kekuatan dan keperluan berbeza, seperti yang dibentangkan dalam adendumnya (kenyataan tambahan) pada 17 September.

“MOE akan terus mempertingkat sistem pendidikan kita agar rakyat Singapura boleh berkembang maju dalam setiap peringkat kehidupan dan mencapai potensi penuh mereka, tidak kira titik permulaannya.

“Kami akan melengkapi dan memperkasa rakyat Singapura untuk belajar sepanjang hayat dan berkembang maju dalam masa depan yang diubah kecerdasan buatan (AI),” kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, dalam adendum kementeriannya itu.

Adendum MOE itu dibentangkan menyusuli amanat Presiden Tharman Shanmugaratnam yang disampaikan semasa pembukaan sidang Parlimen ke-15 pada 5 September – yang antara lain, menekankan kepentingan mempunyai sistem sokongan sosial yang menyeluruh untuk membina masyarakat lebih adil dan terangkum.

Dalam langkah memperkukuh pembangunan pelajar secara menyeluruh, MOE telah mengurangkan penekanan berlebihan ke atas keputusan akademik dengan menyemak sistem pemarkahan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan kriteria kemasukan maktab rendah (JC).

Encik Lee berkata pemerintah mahu pelajar mendakap pembelajaran di luar gred, dan mempunyai lebih banyak masa dan peluang untuk membangun Kecekapan Abad Ke-21 serta memburu minat lain.

Selain itu, pemerintah akan memperkukuh sokongan bagi pembangunan sosiaemosi dan kesejahteraan pelajar.

Ia akan dilaksanakan dengan kerjasama daripada ibu bapa dan pihak berkepentingan di bawah skim Sihat Membesar SG untuk menggalak tabiat sihat dan menyokong kesihatan mental.

Sementara itu, lebih banyak peluang akan disediakan buat pelajar di tahap pendidikan berbeza.

Ini termasuk dengan memperbaharui pendekatan untuk menyokong pelajar yang lebih berkebolehan dengan menyemak Program Pendidikan Bijak (GEP), dan membolehkan lebih ramai pelajar mengambil subjek Bahasa Ibunda di peringkat lebih tinggi di sekolah menengah.

Bagi pelajar daripada keluarga dengan keperluan rumit, lebih banyak sokongan akan disediakan untuk mereka, kata Encik Lee.

“Melalui sumber tambahan di sekolah dan kerjasama lebih kukuh bersama masyarakat, kami akan menyediakan sokongan menyeluruh bagi pembelajaran dan kesejahteraan mereka, melalui inisiatif seperti ComLink+,” tambah beliau.

Khusus untuk pelajar berkeperluan khas, pemerintah telah memperkukuh kapasiti guru di kedua-dua sekolah aliran utama dan pendidikan khas (Sped), serta mempertingkat kebolehcapaian, kemampuan dan mutu Sped.

Sokongan juga akan diberi untuk memastikan pelajar berkeperluan khas dapat beralih dengan lancar ke pekerjaan atau laluan masyarakat setelah menamatkan pendidikan mereka.

Dengan teknologi AI kini mengubah ekonomi dan masyarakat, pelajar di sekolah dan institut pengajian tinggi akan belajar cara menggunakan AI dengan bertanggungjawab dan memperolehi kecekapan yang diperlukan bagi tempat kerja yang dipacu AI.

“Garis panduan telah dilaksanakan demi memastikan AI mempertingkat, bukannya menjejas, pembelajaran.

“Kami juga akan melengkapi pelajar dengan kemahiran kritikal seperti penyelesaian masalah, pemikiran kritikal dan kemahiran hubungan sesama manusia, supaya mereka boleh mencipta nilai di luar AI,” kata Encik Lee, sambil menambah pendidik juga akan dilatih untuk membimbing pelajar menggunakan AI.

MOE akan turut memperkasa rakyat belajar sepanjang hayat dengan memperkukuh mutu dan kaitan industri dalam latihan, memperluas laluan peningkatan kemahiran, dan mempertingkat standard profesional pendidik dewasa.

Encik Lee berkata sistem pendidikan yang kukuh memerlukan usaha bersama, termasuk daripada pendidik dan ibu bapa.

“Kami akan menyokong guru, pentadbir sekolah dan pendidik bersekutu kami, untuk menyampaikan pendidikan bermutu – menghasilkan yang terbaik dalam diri pelajar kami.

“Ibu bapa adalah rakan kongsi utama kami. Kami akan membina Garis Panduan bagi Kerjasama Sekolah-Rumah dan inisiatif Keibubapaan untuk Kesejahteraan.

“Ini demi mengukuhkan cara ibu bapa dan guru bekerjasama untuk menyokong kesihatan mental dan daya tahan emosi anak-anak kita, terutamanya dalam era digital ini,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg