Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOH: Pertingkat kapasiti hospital, manfaat AI bagi sistem penjagaan kesihatan

Sep 17, 2025 | 5:30 PM
MOH, Hospital Besar Timur, Hospital Alexandra, Woodlands Health
Kementerian Kesihatan (MOH) menjangka menambah 2,800 katil hospital akut dan masyarakat menjelang 2030 – kenaikan 25 peratus – melalui Hospital Besar Timur baru di Bedok North dan Hospital Alexandra yang dibangunkan semula. Gambar menunjukkan wad di kampus Woodlands Health pada 2024. - Foto ST

Pemerintah akan memperluaskan prasarana penjagaan kesihatan demi memenuhi permintaan, serta memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mempertingkat penjagaan kesihatan awam sebagai sebahagian usahanya memastikan sistem kekal bermutu dan boleh diakses rakyat Singapura.

Dalam adendum kementeriannya yang dibentangkan pada 17 September, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, menambah bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) juga akan mempertingkat kesihatan penduduk melalui pelbagai skim yang menyasar kumpulan usia berbeza supaya rakyat hidup sihat dan aktif.

“MOH sedang mengubah sistem penjagaan kesihatan kita, agar ia kekal bermutu tinggi, mudah diakses dan boleh dimampui, meskipun sedang penduduk kita semakin menua dan beban pesakit meningkat,” kata beliau.

Adendum MOH itu dibentangkan menyusuli amanat Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang disampaikan semasa pembukaan sidang Parlimen ke-15 pada 5 September – yang antara lain, menekankan kepentingan mempunyai sistem sokongan sosial menyeluruh untuk membina masyarakat lebih adil dan terangkum.

Dalam memenuhi permintaan, MOH menjangka menambah 2,800 katil hospital akut dan masyarakat menjelang 2030 – kenaikan 25 peratus – melalui Hospital Besar Timur baru di Bedok North dan Hospital Alexandra yang dibangunkan semula.

Sebanyak enam poliklinik baru di Bidadari, Kaki Bukit, Serangoon, Tengah, Yew Tee dan Taman Jurong juga akan dibuka, dan lagi 10,000 katil rumah penjagaan juga dijangkakan dalam tempoh masa itu.

Sementara itu, sebuah hospital besar dan masyarakat baru akan dibuka di Tengah, dengan kampus Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Universiti Nasional (NUH) akan dibangunkan semula melewati 2030.

Dalam usaha menyokong peluasan kapasiti penjagaan kesihatan itu, Encik Ong berkata kementerian itu akan mengembangkan tenaga kerja penjagaan kesihatan sebanyak 20 peratus lagi menjelang 2030, sambil memperluas dan memperdalam kepakarannya.

Ia juga akan merasmikan Perubatan Keluarga sebagai satu pengkhususan dek kepentingannya yang semakin meningkat melibatkan kesihatan penduduk.

“Kami akan mempertingkat keupayaan jururawat dan karyawan kesihatan bersekutu kami melalui laluan latihan kerja sambil belajar (secara) modular.

“Ia membolehkan mereka mengambil peranan lebih rumit dan pelbagai dalam bidang keperluan, seperti penjagaan paliatif, penjagaan kritikal, dan kesihatan masyarakat.

“Hospital akut akan mengamalkan model lebih menyeluruh dan memberi tumpuan kepada pesakit dengan menggabungkan penjagaan merentasi pelbagai pasukan pakar,” kata Encik Ong.

MOH juga akan memacu penggunaan teknologi secara proaktif dan difikirkan dengan teliti, seperti dengan menjadikan pengimejan AI satu keupayaan nasional dalam penjagaan kesihatan awam menjelang hujung 2026, dan melancarkan pembantu AI di aplikasi HealthHub.

Ia juga akan memperdalam penyelidikan dalam maklumat genetik, dan memperkenalkan terapi perubatan jitu yang lebih menjimatkan kos ke dalam sistem penjagaan kesihatan arus utama.

Menurut MOH, ia akan terus mempertingkat skim SG Lebih Sihat untuk meningkatkan kesihatan penduduk.

Lebih 1.3 juta penduduk telah mendaftar bagi skim tersebut sejauh ini.

Ia juga akan mempertingkat skim Sihat Membesar SG (Grow Well SG) untuk membantu anak muda membina tabiat lebih sihat dan aktif, dengan tumpuan khas pada kesihatan mental.

Encik Ong menambah bahawa kementeriannya, bersama dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan agensi lain, akan terus mengambil penguatkuasaan ketat terhadap e-rokok, atau vape, terutamanya vape yang mengandungi etomidate.

Warga emas juga akan disokong untuk meniti usia senja dengan aktif dalam masyarakat di bawah Sihat Menua SG, dengan rancangan untuk memperluas rangkaian Pusat Penuaan Aktif (AAC) dan menyelaraskan sokongan penjagaan berasaskan masyarakat dengan lebih baik.

Dalam memastikan penjagaan kesihatan terus boleh dimampui penduduk, MOH akan terus menyemak sistem subsidi, MediShield Hayat, MediSave dan Medifund.

Khususnya, Encik Ong berkata skim pemerintah mesti membantu penjagaan dalam masyarakat dengan mengukuhkan peranan doktor perubatan umum (GP) dalam meningkatkan kesihatan penduduk dan menjaga pesakit kronik dalam masyarakat.

“Perkhidmatan yang berlebihan dan rawatan tidak diperlukan telah membawa kepada pembaziran besar dan kos meningkat dalam penjagaan kesihatan swasta, diburukkan lagi oleh polisi insurans kesihatan yang terlalu murah hati, terutamanya rider (insurans tambahan).

“Ini tidak mampan, dan kami akan bekerjasama dengan industri untuk menangani isu ini,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg