MOE: Dapur pusat diperiksa kerap, pelaksanaan untuk atasi isu pegerai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOE: Dapur pusat diperiksa kerap, pelaksanaan untuk atasi isu pegerai

Feb 3, 2026 | 7:27 PM

MOE: Dapur pusat diperiksa kerap, pelaksanaan untuk atasi isu pegerai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
moe, dapur pusat, isu pegerai
Dapur pusat tertakluk kepada pemeriksaan yang lebih kerap kerana ia mempunyai skala pemprosesan atau penyediaan makanan yang lebih besar. - Foto fail

Makanan dari dapur pusat tidak semestinya tidak selamat atau kurang selamat.

Bahkan, Menteri Negara, Cik Jasmin Lau berkata ia lebih kerap diperiksa.

Kenyataan ini menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai model dapur pusat sekolah dan isu keselamatan makanan.

“Dapur pusat dilesenkan Agensi Makanan Singapura (SFA) dan diperiksa lebih kerap kerana skala pemprosesan atau penyediaan makanan yang besar.

“Selain itu, dapur pusat digredkan di bawah kerangka Jaminan Keselamatan untuk Premis Makanan (Safe).

“Jika berlaku kes keselamatan makanan yang meluas, grednya akan diturunkan dan pemeriksaan lebih kerap akan dilakukan,” jelas Cik Lau.

Beliau menekankan bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) tidak berhasrat menerima pakai model dapur pusat untuk semua sekolah dan MOE terbuka meneroka model lain bagi memenuhi keperluan pelajar.

“Kami tidak memulakan model dapur pusat untuk menggantikan model kantin tradisional.

“Kami mahu meneroka model alternatif bagi membantu sekolah yang menghadapi masalah mendapatkan pegerai serta kekurangan gerai,” jelasnya.

“Kami akan meneroka model dapur pusat hanya dengan sekolah yang menghadapi kesukaran sedemikian dan kami tidak berhasrat untuk meluaskan model ini ke semua sekolah,” tambah beliau.

Cik Lau menyatakan bahawa semakin banyak sekolah bergelut mengisi gerai kantin kosong.

Ini mengehadkan pilihan pelajar, terutamanya yang mempunyai keperluan pemakanan khas.

“Dalam beberapa kes, pelajar-pelajar ini mungkin terpaksa makan hidangan yang sama selama berminggu-minggu.

“Sebagai ibu bapa, kita semua mahu anak-anak kita mendapat pengalaman yang lebih baik,” katanya.

Menjawab soalan berkenaan kes gastroenteritis yang dilaporkan susulan penggunaan model dapur pusat di beberapa sekolah, Cik Lau berkata SFA, MOE dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) masih menyiasat kes keracunan makanan yang dilaporkan di Sekolah Rendah River Valley dan Sekolah Rendah North View baru-baru ini.

Seramai 60 pelajar Sekolah Rendah River Valley melaporkan simptom gastroenteritis setelah makan makanan yang disediakan dapur pusat dan 147 kes gastroenteritis melibatkan pelajar Sekolah Rendah North View pada Januari lalu.

Cik Lau berkata Sekolah Rendah River Valley menggunakan model dapur pusat, sementara Sekolah Rendah North View pula mempunyai pegerai tradisional.

Kedua-dua sekolah tidak berlengah dalam membersihkan dan melakukan sanitasi kantin dan bahagian sekolah yang lain, berikutan laporan kes keracunan makanan, katanya.

Semua pelajar yang terlibat sudah pun kembali ke sekolah, tambah Cik Lau.

Menjawab soalan Cik Lee Hui Ying (GRC Nee Soon) tentang jumlah kes gastroenteritis yang dilaporkan di sekolah, Cik Lau berkata terdapat purata enam kes sedemikian setahun dalam tempoh tiga tahun lalu, merentasi semua model perkhidmatan makanan.

Beliau menambah bahawa bagi sekolah yang mengguna pakai model dapur pusat, MOE telah menyediakan protokol kontingensi bagi memastikan pelajar terus mendapat makanan.

Ini termasuk mengaktifkan dapur pusat alternatif.

“Kami juga telah mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengehadkan setiap pengendali kepada hanya empat atau lima sekolah.

“Ini membantu dalam membendung kesan daripada sebarang isu operasi dan juga membolehkan kami memerhatikan prestasi pengendali yang berbeza dan mempunyai pilihan lain, jika perlu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Encik Louis Chua (GRC Sengkang), Cik Rachel Ong (GRC Tanjong Pagar) dan Encik Foo Cexiang (GRC Tanjong Pagar) telah bertanya sama ada bantuan akan diberikan kepada pegerai kantin.

Cik Lau berkata MOE memberikan sokongan, termasuk mengehadkan sewa antara $5 hingga $15 sebulan, dan mengecualikan sewa semasa cuti sekolah.

MOE juga memohon tarif elektrik lebih baik dan penjimatan tersebut disalurkan kepada pegerai, katanya.

MOE juga kerap menyemak garis panduan penetapan harga makanan bagi memastikan operasi pegerai kekal berdaya maju sambal memastikan makanan mampu milik bagi pelajar.

“Ini isu rumit dan tiada penyelesaian mudah, tetapi kami akan terus meneroka cara baru dan pelbagai cara untuk menyokong pegerai kami,” kata Cik Lau.

Beliau menambah, meskipun terdapat masalah berkaitan model dapur pusat pada awalnya, keadaan kini lebih stabil.

“Kami akan terus memantau prestasi pengendali dengan teliti serta secara aktif mengambil maklum balas daripada pelajar, ibu bapa dan guru.

“Kami tidak menolak kepada mana-mana model yang boleh memberikan pelajar kami makanan yang baik dan berkhasiat dengan harga berpatutan,” kata beliau lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg