MOE kaji kesukaran peperiksaan PSLE, penggunaan gred
Desmond Lee: Langkah tangani perlumbaan dalam pendidikan
Menyesuaikan tahap kesukaran peperiksaan serta mengkaji bagaimana keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) digunakan dalam proses kemasukan ke sekolah menengah.
Inilah antara pertimbangan Kementerian Pendidikan (MOE) dalam usaha menyemak cara mengurangkan kepentingan yang diletakkan ke atas peperiksaan.
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata isu-isu ini sedang dikaji bagi menangani perlumbaan sengit dalam pendidikan, selain aspek pendidikan lain seperti Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) dan Kegiatan Kokurikulum (CCA) yang semakin kompetitif.
MOE, kata Encik Lee, ingin mendapatkan pandangan masyarakat sebelum melaksanakan sebarang perubahan, dan akan memulakan siri perbincangan dengan rakyat Singapura tidak lama lagi.
Demikian kata Encik Lee, pada 26 Januari, dalam temu bual pertamanya dengan media sejak mengambil alih jawatan Menteri Pendidikan pada Mei 2025, lapor The Straits Times.
Ketika ditanya sama ada MOE akan mengkaji model penilaian alternatif atau jika PSLE mungkin kekal sebagai penilaian utama, beliau menjawab:
“Kami tidak mahu membuat sebarang keputusan awal, kami tidak mahu mengehadkan… ia mungkin melibatkan perubahan kecil, atau mungkin juga perubahan lebih besar.”
Encik Lee berkata MOE mahu mengadakan perbincangan “terbuka dan jujur” sedang ia menimbangkan perubahan yang ingin dibuat.
“Kami tidak terikat dengan mana-mana pendekatan,” ujar beliau.
Dalam temu bual selama satu setengah di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE) di Buona Vista, Encik Lee berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan kakitangan kementerian, pendidik, ibu bapa dan pelajar, sepanjang tujuh bulan lalu.
Perbincangan ini telah membentuk keutamaan Encik Lee bagi sistem pendidikan, antaranya mengurangkan tumpuan negara terhadap gred dan persaingan, meningkatkan pergaulan sosial, serta memberi tumpuan semula kepada pembelajaran secara menyeluruh.
Semasa perbahasan Amanat Presiden di Parlimen pada 25 September 2025, Encik Lee berkata MOE akan mengkaji cara mengurangkan kepentingan yang diletakkan pada peperiksaan.
Ini selain menumpukan perhatian kepada aspek bukan akademik dalam pengalaman sekolah, serta mencegah fenomena mendidik anak ke peringkat lebih tinggi pada usia lebih awal daripada biasa atau ‘hothousing’ oleh keluarga lebih berkemampuan.
Fenomena ini merujuk kepada tindakan ibu bapa membelanjakan banyak masa dan wang untuk aktiviti akademik dan kokurikulum anak-anak melalui tuisyen dan latihan tambahan.
Kenyataan beliau itu dibuat di tengah-tengah kesedaran semakin meningkat bahawa persaingan sengit dalam pendidikan masih belum ditangani.
Ini meskipun pemerintah telah mengambil langkah besar untuk mengurangkan tekanan akademik berlebihan, termasuk menghapuskan sistem penyaluran pelajar dan menyemak semula sistem pemarkahan PSLE.
Menurut Encik Lee, usaha MOE yang dijangka mengambil beberapa tahun akan melibatkan perbincangan dengan pemimpin sekolah, pendidik, ibu bapa, pelajar, penyelidik serta anggota masyarakat.
Perbincangan ini akan dijalankan melalui kumpulan fokus secara bersemuka, penglibatan dalam talian, serta tinjauan. Maklumat lanjut bakal dikongsikan pada masa akan datang.
Tujuannya adalah untuk mengadakan perbincangan “terbuka dan jujur”, selaras dengan agenda Melakar Hala Tuju Singapura, tambahnya.
Kementerian itu juga sedang mengkaji model penilaian daripada sistem pendidikan “terkemuka” lain, termasuk Eropah, Denmark, Finland, Estonia dan Asia Timur, serta sistem yang mencatat prestasi baik dalam Kajian Antarabangsa Pengajian dan Pelajaran (Talis), seperti Shanghai, China dan Hong Kong.
Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan dasar akan dilaksanakan secara berhati-hati kerana ia akan memberi kesan besar.
“Saya yakin kita akan menerima maklum balas yang pelbagai, termasuk idea tentang bagaimana kita boleh mengurangkan persaingan sengit dalam pendidikan supaya anak-anak kita boleh belajar secara lebih menyeluruh dan mendalam,” tambahnya.
Encik Lee berkata MOE juga sedang menyemak semula skim DSA dan CCA supaya ia terus tertumpu kepada pembangunan pelajar secara menyeluruh.
Sementara itu MOE sedang meningkatkan usaha pengambilan guru, kata Encik Lee. Pada 2025, ia mengambil lebih 1,300 guru, meningkat daripada 950 pada 2024.
Hampir satu pertiga daripada mereka yang diambil masuk pada 2025 adalah profesional pertengahan kerjaya.
Untuk menyokong profesional daripada pelbagai latar belakang yang lebih baik menyertai kumpulan perguruan, MOE sedang menyemak program Diploma Pendidikan Pasca Siswazah selama 16 bulan bersama dengan Institut Pendidikan Nasional (NIE).
MOE juga sedang mengkaji bagaimana penggunaan teknologi pendidikan, serta bahan kontemporari dan kegiatan praktikal untuk menarik minat kanak-kanak terhadap bahasa ibunda, kata Encik Lee.
Dalam temu ramah itu, Encik Lee turut berkata MOE kini sedang merancang untuk mengeluarkan saranan hasil semakannya mengenai isu buli pada suku kedua 2026.
Ini selepas ia melibatkan lebih 2,000 ibu bapa, pelajar, pendidik dan orang awam lain mengenai isu itu.
Encik Lee berkata sesi pendekatan itu, yang berlangsung secara bersemuka dan dalam talian, menghasilkan banyak idea.
Ini termasuk meminta sekolah meningkatkan pendidikan nilai melalui penggunaan lebih banyak senario kehidupan sebenar dan main peranan untuk menggalakkan pelajar membina kemahiran dalam menghormati dan menyelesaikan konflik.

