Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Desmond: Lebih banyak inisiatif sokong guru urus masa, beban kerja

Jan 5, 2026 | 4:11 PM
desmond lee
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, memberi jaminan kepada guru dalam satu video di Facebook pada 5 Januari bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) akan terus menyokong usaha mempertingkat kebajikan mereka. - Foto MOE

Lebih banyak usaha sedang dijalankan untuk menyokong guru dalam menguruskan masa dan beban kerja agar mereka dapat menumpukan perhatian pada misi teras mereka iaitu mengajar dan mendidik pelajar.

Ini termasuk memperkemas program di sekolah, memudahkan proses pentadbiran, serta memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong tugas guru.

Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, memberi jaminan kementeriannya akan terus mendengar maklum balas, bertindak dan menyokong usaha pendidik.

Beliau berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada 5 Januari.

Menurut Encik Lee, langkah itu termasuk melaksanakan saranan daripada pasukan petugas ‘Reimagining The Teaching Profession’.

“Daripada perbualan saya dengan sebahagian daripada anda, saya mendengar maklum balas jujur ​​anda tentang bagaimana pengajaran menjadi lebih kompleks dan mencabar.

“Kami sedang membuat kemajuan dalam menyemak semula apa yang dilakukan oleh guru dan memikirkan semula bagaimana guru bekerjasama,” kata Encik Lee.

Antara usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) untuk memudahkan kerja pentadbiran guru termasuk memperkemas proses pemerolehan.

Pemerolehan merujuk kepada proses kertas kerja dan kelulusan yang terlibat dalam membeli bahan pengajaran dan melibatkan vendor.

Encik Lee turut mengumumkan peningkatan yang dipacu AI yang akan dibuat kepada Portal Pelajar (SLS), sebuah platform pembelajaran dan pengajaran dalam talian yang digunakan oleh guru dan pelajar.

MOE juga akan memperkenalkan teknologi dan alat AI seperti Authoring Copilot, Learning Assistant dan Appraiser Testimonial Generator, untuk mengurangkan masa yang diluangkan guru untuk tugasan berulang.

Authoring Copilot kini boleh menjana kandungan interaktif, imej dan permainan secara automatik untuk menyokong pembelajaran pelajar anda.

Learning Assistant, yang merupakan ejen dialog, boleh menyokong perbincangan kumpulan secara langsung, membolehkan anda memberi tumpuan kepada golongan yang memerlukan lebih banyak bimbingan,” kata Encik Lee.

Guru juga boleh memanfaatkan Appraiser Testimonial Generator, sebuah aplikasi berkuasa AI yang memperkemas proses penulisan testimoni buat pelajar.

Mereka juga boleh menggunakan HeyTalia, pembantu AI yang menyokong guru dalam merangka mesej kepada ibu bapa, tambahnya.

“Kami sedar bahawa akan ada tempoh penyesuaian awal. Sedikit masa dan usaha diperlukan untuk kita membiasakan diri dengan alat-alat yang berguna ini.

“Kami akan menyediakan sumber dan peluang pembelajaran profesional, seperti bengkel, modul bantuan kendiri.. untuk menyokong penggunaan alat AI secara berkesan dan cekap,” kata Encik Lee.

MOE juga tambah Encik Lee, telah memperkenalkan aturan kerja fleksibel bagi menyokong guru yang perlu mengimbangi keperluan kerja dan peribadi mereka.

Ini termasuk waktu melapor diri yang lebih lewat atau bekerja dari rumah bagi guru pada hari-hari tanpa mengajar, atau tugas yang tidak memerlukan kehadiran mereka di sekolah.

Menurut Encik Lee, kementeriannya juga telah memperbaharui garis panduan untuk tidak menggalakkan komunikasi antara ibu bapa dengan kakitangan sekolah selepas waktu persekolahan, kecuali bagi kecemasan.

Pada masa ini, pemimpin sekolah dibimbing mengenai cara mengagihkan beban kerja secara adil, dengan mengambil kira kekuatan dan keutamaan guru, ujar MOE.

Guru menerima enam hingga tujuh minggu cuti terpelihara setiap tahun dengan pilihan untuk melanjutkannya jika mereka tidak mempunyai sebarang tugas mendesak.

Sekolah juga telah menubuhkan jawatankuasa untuk menjaga kesejahteraan kakitangan, dan menyediakan sokongan rakan sebaya dan sumber penjagaan diri untuk guru.

Guru-guru juga boleh mengakses perkhidmatan kaunseling profesional dalaman secara percuma yang berfungsi sebagai ruang selamat untuk mereka berkongsi kebimbangan dan cabaran mereka dengan profesional terlatih.

“Mempunyai pendidik profesional dan penyayang yang sangat komited untuk membentuk kehidupan anak-anak dan belia kita adalah salah satu kekuatan Singapura.

“Saya tahu ada banyak lagi yang perlu dilakukan, dan kami akan terus bekerjasama dengan pemimpin sekolah kita untuk memperkukuh ekosistem sokongan ini,” kata Encik Lee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg