Pemimpin sekolah dikehendaki mengekalkan standard kelakuan peribadi yang tinggi untuk mempertahankan kewibawaan dan nama baik perkhidmatan awam, kata Kementerian Pendidikan (MOE).
MOE berkata demikian menyusuli dakwaan seorang naib pengetua sebuah sekolah rendah telah menjalin hubungan sulit dengan ibu seorang murid.
Pada 17 Oktober, laporan mengenai dakwaan hubungan sulit itu mula tersebar dalam talian bersama-sama gambar pasangan itu dan tangkap layar mesej teks antara mereka berdua.
Catatan asal yang mengandungi dakwaan itu dilaporkan telah dipadam pada 18 Oktober, tetapi perkara itu masih dibincangkan secara meluas dalam talian.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), MOE berkata ia “sedar akan perkara itu dan sedang menelitinya”.
Ia menambah bahawa individu berkenaan telah mengemukakan peletakan jawatannya dan kini sedang bercuti.
Kementerian itu berkata pihak sekolah akan terus memantau secara aktif kesejahteraan kakitangan dan pelajar serta memberi mereka sebarang sokongan yang diperlukan.
Catatan di media sosial yang tular itu dipercayai dilakukan oleh seorang wanita yang mendakwa dirinya isteri kepada naib pengetua itu.
Sehari selepas membuat catatan itu, wanita berkenaan memuat naik gambar telefon bimbitnya yang kelihatan remuk dan rosak, selepas didakwa dihempas oleh suaminya apabila beliau mendapat tahu tentang kecurangan suaminya itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg