Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Moga seluruh dunia saksi kekuatan Aceh’

Aceh lambang daya tahan luar biasa, kata anggota misi bantuan S’pura 2 dekad lalu
Dec 22, 2024 | 5:00 AM
Cik Juliah Bee Abdul Latiff duduk di batu-batu di Pantai Ujong Karang, Meulaboh, Aceh, sambil mengenang masa beliau menyertai misi membangun semula Aceh dari 2005 hingga 2009 sebagai kakitangan Mercy Relief waktu itu.
Cik Juliah Bee Abdul Latiff duduk di batu-batu di Pantai Ujong Karang, Meulaboh, Aceh, sambil mengenang masa beliau menyertai misi membangun semula Aceh dari 2005 hingga 2009 sebagai kakitangan Mercy Relief waktu itu. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Bagi mantan pegawai perhubungan Mercy Relief Cik Juliah Bee Abdul Latiff, Aceh melambangkan harapan, kebangkitan, dan sikap daya tahan luar biasa.

Berhadapan dengan soalan “adakah anda bersedia untuk turun padang ke Aceh” pada Januari 2005 – hanya beberapa minggu selepas bencana tsunami pada 26 Disember 2004 – Cik Juliah, yang berusia 28 tahun ketika itu, segera menjawab “ya”, tanpa memahami bagaimana misi bantuan itu bakal merubah dirinya.

Beliau tidak menjangka akan berpangkalan di Meulaboh, Aceh, hampir lima tahun dari 2005 hingga 2009, menghabiskan masa demi memberi bantuan kepada mereka yang menjadi korban kemusnahan bencana itu, bahkan membina jalinan yang kekal utuh 20 tahun kemudian.

Memperingati gelombang raksasa tsunami yang menggegarkan dunia itu, Berita Minggu (BM) meninjau Aceh bersama Cik Juliah, yang kini seorang pekerja sosial perubatan berusia 48 tahun, untuk melihat perubahan dan kebangkitan wilayah Indonsia itu.

Apabila ditanya wartawan BM apa harapannya untuk Aceh, sambil memandang ke Pantai Ujong Karang, kawasan yang dipanggil ‘ground zero’, Cik Juliah berkongsi bahawa beliau berharap seluruh dunia dapat menyaksikan kekuatan orang Aceh, dan untuk rakyat Aceh meneroka cara bagi mereka menjadi pemimpin pengurusan krisis dan kesiapsiagaan bencana.

Salah seorang penduduk Aceh yang ditemui BM di Muzium PLTD Apung kini sedang melakukan apa yang diharapkan Cik Juliah dengan caranya yang tersendiri. PLTD Apung adalah sebuah kapal janakuasa terapung di Banda Aceh yang dipukul tsunami ke darat dan kini ia dijadikan sebuah muzium.

Beliau adalah Cik Nora Safrina Zulkifli, 33 tahun, yang berjaya menyelamatkan dirinya setelah gelombang deras menghempas dan memulas kampung kediamannya, Kampung Punge Blang Cut, yang meragut nyawa bapanya serta ramai saudara-mara beliau yang lain.

“Apabila air naik, saya tidak fikir lagi mana keluarga, saya tidak fikir mana ibu saya, saya tidak tahu dia ke mana.

“Jadi pada saat air sudah datang, saya terjatuh dan belum sempat lari jauh. Saya dibawa arus terus saya tenggelam dan terguling-guling dalam air,” katanya.

Meskipun masih menghadapi trauma daripada 20 tahun lalu, Cik Nora hari ini terus cekal menjalankan tugasnya sebagai pemandu pelancong muzium yang menjadi peringatan bencana mengerikan itu.

Sebagai pemandu pelancong di muzium tersebut, Cik Nora membawa pelawat menyusuri sejarah kejadian tersebut, termasuk bagaimana tongkang penjana elektrik bersaiz besar yang tersadai lima kilometer jauh ke darat dari pesisiran pantai.

Di tugu peringatan yang dapat dilihat sejurus sahaja mereka menjejakkan kaki masuk ke muzium itu, tertulis nama ‘Zulkifli AS’, 54 tahun, di antara hampir seribu nama mangsa kampung Punge Blang Cut yang terkorban. Ia nama bapa Cik Nora sendiri.

“Pemandu-pemandu pelancong lain di muzium ini juga melalui pengalaman ngeri tsunami sama seperti saya.

“Tugas kami ialah berkongsi maklumat mengenai 26 Disember 2004 bersama mereka yang datang, tetapi lebih daripada itu, saya berharap agar mereka dapat melihat kekuatan kami dan bukan kesedihan dan trauma kami sahaja,” ujar Cik Nora.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg