PUTRAJAYA: Tragedi tsunami berupaya memperkukuh komitmen dan hubungan antara negara Asean dengan rantau ini tentang keperluan mendesak agar setiap usaha berterusan diselaraskan bagi mengurangkan risiko bencana alam.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tsunami turut menjadi lebih ketara bagi pihak berkepentingan untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan, daya tahan, mitigasi dan kebolehsesuaian dalam menghadapi bencana.
“Hari ini (25 Oktober) saya telah menghadiri majlis Memperingati 20 Tahun Tsunami Lautan Hindi dan Hari Pengurusan Bencana Asean di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, Brunei, yang diadakan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Asean Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) kali ke-12.
“Majlis ini bagi mengimbau kenangan pahit tragedi tsunami yang meragut lebih 230,000 nyawa di 14 negara, selain memberi impak bencana yang besar kepada komuniti di Asia Tenggara dan rantau Lautan Hindi.
“Ini amat signifikan kerana bencana tsunami pada 2004 telah membentuk semula kaedah menangani dan mengurus risiko bencana,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Malaysia, dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum majlis berlangsung, Datuk Ahmad Zahid serta wakil dari negara anggota Asean telah menanam pokok sebagai simbol semangat pemulihan yang berkekalan dan tanda penghormatan untuk daya tahan alam semula jadi serta anggota masyarakat yang terjejas akibat tragedi tsunami.
Brunei adalah Pengerusi bagi AMMDM kali ke-12 yang diadakan selama tiga hari bermula 24 Oktober, bertema, “Membangunkan Asean yang Berdaya Tahan melalui Pemulihan Bencana yang Inklusif dan Mampan”.
Mesyuarat itu berperanan sebagai forum untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu strategik dan terkini serta membincangkan kemajuan semasa, selain status perkembangan program di bawah Perjanjian Asean mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) 2021-2025.
Penyertaan Datuk Ahmad Zahid dalam AMMDM kali ke-12 itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara Asean serta memperkuat daya tahan rantau ini terhadap bencana alam, sekali gus mengerat hubungan dengan rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
Datuk Ahmad Zahid berkata Malaysia turut komited untuk mencontohi negara-negara seperti China, Jepun dan Korea, yang bersiap sedia lebih awal dan kemas, apabila ditimpa bencana.
Beliau turut berkongsi mengenai komitmen yang ditunjukkan oleh negara Asean, apabila Malaysia menawarkan untuk menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) ke negara-negara Asean yang mengalami kesan bencana teruk.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg