Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOH bertindak terhadap tuntutan tidak wajar MediShield Hayat

Oct 10, 2023 | 8:05 PM
USAHA PASTIKAN TUNTUTAN BETUL: Pejabat Pengurusan Tuntutan MOH ditubuhkan untuk mengesan tuntutan MediShield Hayat yang tidak sesuai oleh doktor.
USAHA PASTIKAN TUNTUTAN BETUL: Pejabat Pengurusan Tuntutan MOH ditubuhkan untuk mengesan tuntutan MediShield Hayat yang tidak sesuai oleh doktor. - Foto ST

Lebih $95,000 dalam caj berlebihan, rawatan yang tidak sesuai, pembedahan kosmetik yang dikatakan rawatan - demikian antara beberapa kes terbaru melibatkan tuntutan MediShield Hayat yang tidak wajar oleh beberapa doktor.

Pejabat Pengurusan Tuntutan yang ditubuhkan untuk mengesan kes sedemikian yang melibatkan MediShield Hayat, pelan insurans kesihatan wajib yang membantu warga Singapura membayar bil besar di wad B2 dan C, telah mendedahkan 29 kes tuntutan tidak wajar melibatkan 10 doktor sejak Oktober 2022, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa.

Ia sedang menyiasat lagi 70 kes serta meningkatkan pengawasan terhadap beberapa doktor lagi, menurut The Straits Times.

Sebanyak 29 kes yang disebut lebih awal melibatkan sekitar $400,000 dalam tuntutan tidak wajar.

Antaranya, satu kes melibatkan sekitar $95,000 setelah doktor mengemukakan tuntutan yang melambung bagi pembedahan membuang tumor daripada pesakit barah perut dan usus, kata MOH.

Panel yang menyemak tuntutan itu mendapati walaupun pembedahan tersebut wajar dari segi perubatan, caj yang dikenakan telah dinaikkan melalui penggunaan berbilang kod pembedahan yang bertindih.

Tindakan itu bukan sahaja tidak wajar, malah boleh mengakibatkan bil lebih tinggi bagi pesakit, sekali gus menyebabkan bayaran tambahan yang perlu dibayar dan pengeluaran MediSave yang tidak perlu, kata MOH.

Satu lagi kes melibatkan salah tuntutan lebih $5,600 apabila seorang doktor melakukan pembedahan silang - prosedur dua langkah - ke atas pesakit yang mempunyai penglihatan kabur dan rabun jauh.

Panel mendapati bahawa pesakit mempunyai katarak dan harus dirawat dengan pembedahan katarak, bukannya pembedahan silang. Oleh itu, pesakit terdedah kepada risiko perubatan yang tidak diperlukan.

Dalam satu lagi kes, seorang doktor privet telah mengemukakan tuntutan tidak wajar lebih $10,000 untuk pembaikan ptosis atau “kelopak mata kuyu”, tetapi kriteria untuk keadaan yang menjejas fungsi visual tidak dipenuhi, menurut panel.

Lagi pula, tidak ada bukti gambar kelopak mata kuyu, dan dengan itu panel membuat kesimpulan bahawa pembedahan yang dilakukan adalah atas sebab kosmetik.

MOH berkata pejabat baru itu adalah sebahagian daripada pelbagai usaha, termasuk pembangunan penanda aras bayaran dan audit pengawasan berkala, yang dibuat untuk mengurus kos penjagaan kesihatan.

Ini akan menyederhanakan peningkatan kos penjagaan kesihatan dan membantu memastikan warga Singapura boleh terus menggunakan dana MediShield Hayat untuk melindungi diri daripada bil besar sambil memastikan premiumnya dimampui, kata kementerian itu.

Pejabat baru itu juga sedang membangunkan peraturan tuntutan untuk membimbing doktor mengenai tuntutan yang wajar.

Set pertama untuk endoskopi gastrousus telah dikeluarkan pada Ogos 2022. Dua lagi set tuntutan dikeluarkan pada September 2023, untuk telinga, hidung dan tekak serta kardiologi. Lebih banyak akan menyusul.

Pesakit yang terlibat dalam kes tuntutan tidak wajar tidak perlu membuat sebarang bayaran, kerana doktor atau institusi perubatan dikehendaki membetulkan tuntutan itu, kata MOH.

Mereka tidak dibenarkan membuat sebarang tuntutan daripada pesakit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg