Ketika udara tidak sihat terus menyelubungi Singapura, bilangan pesakit yang ke klinik dan jabatan kecemasan meningkat sedikit akibat masalah kesihatan berkaitan jerebu. 

Menurut para doktor, keadaan berjerebu juga boleh menyebabkan penyakit kronik menjadi lebih teruk, dan boleh menyebarkan penyakit berjangkit apabila orang ramai berkumpul di dalam bangunan.

Dalam jawapan bersama dengan hospital, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata ia melihat “sedikit peningkatan” dalam kunjungan pesakit ke jabatan kecemasan dan poliklinik.

Namun, MOH tidak memberikan sebarang angka.  

“Kami tidak mengetahui sebarang kes yang memerlukan kemasukan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) atau sebarang kematian akibat jerebu,” tambah jurucakap MOH.

MOH menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) tentang sama ada jerebu menyebabkan bilangan pesakit yang mengunjungi jabatan kecemasan hospital meningkat. 

Pertanyaan itu dikemukakan selepas sebuah kajian tempatan yang baru diterbitkan mengaitkan peningkatan kecil bahan pencemar jerebu dengan kunjungan pesakit ke jabatan kecemasan. 

Kajian yang diterbitkan pada 28 September mendapati bagi setiap peningkatan 10 mikrogram semeter padu bahan pencemar PM2.5 melebihi paras rujukan, kunjungan kecemasan untuk asma dan penyakit paru-paru meningkat 3.2 peratus dalam tempoh dua hari berikutnya.

Bahan pencemar udara yang utama semasa jerebu ialah PM2.5, iaitu zarah mikro yang boleh terhidu masuk ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah.

Doktor umum dan penyedia perkhidmatan teleperubatan berkata mereka melihat peningkatan 20 hingga 30 peratus dalam bilangan pesakit yang mengalami gejala berkaitan jerebu.

Simptom itu termasuk hidung berair, sakit tekak, bersin, konjunktivitis (mata merah) dan kerengsaan mata, asma, ruam kulit dan masalah pernafasan.

Pemangku Pengarah Perubatan Parkway Shenton, Cik Sharon Ngoh, berkata berbanding peningkatan sederhana kes pada pertengahan September, keadaan kini menjadi lebih teruk kerana jerebu berlarutan sejak Oktober.

Mutu udara di Singapura merosot ke tahap tidak sihat buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun pada 4 September, dan keadaan berjerebu menyelubungi negara ini sejak itu.

Beliau memerhatikan peningkatan beransur-ansur dalam kunjungan pesakit di lebih 40 klinik Parkway Shenton di seluruh Singapura. 

Masalah kesihatan berkaitan jerebu membentuk kira-kira 30 peratus daripada semua kunjungan, meningkat daripada 20 peratus sebelum jerebu bermula.

“Bukan satu hari udara yang buruk yang menjadi punca, tetapi pendedahan berpanjangan yang menambah masalah kesihatan ini,” katanya. 

“Kami juga melihat lebih ramai pesakit melaporkan sakit kepala dan keletihan, yang mereka kaitkan dengan pendedahan kepada jerebu,” tambah Cik Ngoh.

Singapura kini berdepan episod udara tidak sihat paling lama, yang bermula pada 5 Oktober. Mutu udara dianggap tidak sihat apabila tahap Indeks Pencemaran Udara (PSI) mencecah 101 dan ke atas.

Pada petang 13 Oktober, semua kawasan di Singapura mencatat mutu udara PSI dalam lingkungan tidak sihat antara 128 dengan 174.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti