Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOH: Tiada subsidi bagi vaksin kayap kerana kos tinggi

Vaksin tidak dianggap berkesan dari segi kos untuk cegah penyakit dalam kalangan orang ramai
Dec 9, 2024 | 11:44 AM
Harga bagi dua dos vaksin kayap antara $720 dengan $950, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta bayaran untuk konsultasi.
Harga bagi dua dos vaksin kayap antara $720 dengan $950, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta bayaran untuk konsultasi. - Foto ST

Kementerian Kesihatan (MOH) tidak akan memberi subsidi untuk vaksin kayap kerana harganya yang tinggi.

Harga bagi dua dos vaksin Shingrix, yang diberikan berjarak antara dua hingga enam bulan, adalah antara $720 dengan $950, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta bayaran untuk konsultasi, menurut satu pemeriksaan oleh The Straits Times (ST).

“Pada harga yang disarankan oleh pengeluar, vaksin ini tidak dianggap berkesan dari segi kos untuk pencegahan kayap dalam kalangan orang ramai,” kata MOH pada 12 November semasa menjawab soalan di Parlimen.

Encik Christopher de Souza (GRC Holland-Bukit Timah) bertanya di Parlimen pada November sama ada MOH merancang memasukkan vaksin tersebut dalam Jadual Imunisasi Dewasa Kebangsaan (NAIS), “supaya ia layak untuk subsidi, terutama bagi warga emas yang terdedah kepada risiko”.

Dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal British GSK, Shingrix diluluskan untuk digunakan di sini pada 2021.

Vaksin ini memberi perlindungan lebih 90 peratus terhadap kayap, walaupun keberkesanannya mungkin lebih rendah bagi warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun lemah.

Perlindungan vaksin ini bertahan sekurang-kurangnya tujuh tahun, dan mungkin lebih lama, kerana vaksin ini masih agak baru, selepas pertama kali diluluskan untuk digunakan di Amerika Syarikat pada Oktober 2017.

Hanya individu yang pernah menghidap cacar air berisiko mendapat kayap, kerana ia disebabkan virus sama, iaitu virus varicella-zoster, yang kekal dorman dalam tubuh tetapi boleh aktif semula pada kemudian hari.

Kayap menyebabkan ruam menyakitkan dan gatal, biasanya pada sebelah badan atau muka.

Bagi kebanyakan pesakit, lepuh-lepuh akan mengering dalam seminggu dan sembuh sepenuhnya dalam empat minggu.

Namun, sekitar satu daripada lima orang mungkin mengalami komplikasi, yang paling biasa ialah sakit saraf jangka panjang, dikenali sebagai postherpetic neuralgia.

Komplikasi lain termasuk pneumonia, ensefalitis, atau radang otak, dan kehilangan pendengaran.

Risiko komplikasi lebih tinggi dalam kalangan warga emas.

Di Singapura, dianggarkan 30,000 orang menghidap penyakit ini setiap tahun. Individu boleh menghidap kayap lebih daripada sekali.

Rawatan memberi tumpuan kepada pengurangan kesakitan. Ubat antivirus paling berkesan jika diambil dalam tempoh 72 jam pertama. 

Ubat antivirus mungkin dapat mengurangkan beberapa simptom jika diambil dalam lima hari pertama, namun ia tidak dapat menghalang sepenuhnya sakit saraf.

Perlindungan terbaik terhadap kayap ialah dengan mendapatkan vaksin.

Walaupun MOH tidak akan memberi subsidi bagi vaksin kayap, terdapat vaksin lain untuk warga emas yang diberi subsidi.

Ini termasuk vaksin influenza tahunan, serta dua dos vaksin pneumokokus untuk melindungi daripada penyakit seperti pneumonia, meningitis dan jangkitan darah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg