Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel, Hamas setuju henti perang tiga hari setiap zon untuk vaksin polio Gaza

WHO pergiat usaha beri suntikan vaksin cegah polio kepada sekitar 640,000 kanak-kanak di Gaza
Aug 30, 2024 | 3:29 PM
Kanak-kanak ini, Abdel Rahman Abu al-Jedian, 11 bulan, yang nyenyak tidur di kerusi kereta kanak-kanak, dengan dikelilingi ibu dan adik-beradiknya merupakan kes polio pertama dalam masa 25 tahun di Gaza. Anak bongsu sembilan beradik yang berlindung di khemah Deir al-Balah di tengah Jaluran Gaza itu kini lumpuh akibat virus polio jenis 2.
Kanak-kanak ini, Abdel Rahman Abu al-Jedian, 11 bulan, yang nyenyak tidur di kerusi kereta kanak-kanak, dengan dikelilingi ibu dan adik-beradiknya merupakan kes polio pertama dalam masa 25 tahun di Gaza. Anak bongsu sembilan beradik yang berlindung di khemah Deir al-Balah di tengah Jaluran Gaza itu kini lumpuh akibat virus polio jenis 2. - Foto AFP

NEW YORK: Tentera Israel dan kumpulan Palestin, Hamas, telah bersetuju untuk menghentikan sebarang bentuk serangan mengikut zon berasingan di Jaluran Gaza selama tiga hari.

Ini bagi membolehkan langkah memberikan suntikan vaksin pencegah polio kepada kira-kira 640,000 kanak-kanak, kata seorang pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 29 Ogos.

Kempen vaksinasi akan bermula pada 1 September, kata Encik Rik Peeperkorn, pegawai kanan untuk wilayah Palestin.

Beliau berkata, persetujuan itu melibatkan tempoh antara 6 pagi dengan 3 petang.

Menurutnya, kempen itu akan bermula di bahagian tengah Gaza, dengan tempoh bertenang selama tiga hari daripada sebarang pertempuran.

Kemudian, ia akan beralih pula ke selatan Gaza, juga selama tiga hari lagi, diikuti ke bahagian utara Gaza.

Encik Peeperkorn menambah bahawa terdapat perjanjian untuk melanjutkan tempoh bertenang di setiap zon sehingga hari keempat, jika perlu.

WHO mengesahkan pada 23 Ogos bahawa sekurang-kurangnya seorang bayi, berusia 11 bulan, telah lumpuh akibat virus polio jenis 2, kes pertama seumpama itu di wilayah tersebut dalam tempoh 25 tahun.

Virus jenis 2 (cVDPV2) walaupun secara semula jadi tidak lebih berbahaya daripada jenis 1 dan 3, ia bertanggungjawab bagi kebanyakan wabak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutama di kawasan yang mempunyai kadar vaksinasi yang rendah.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadualkan bermesyuarat pada 29 Ogos bagi membincangkan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza.

“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan organisasi antarabangsa bagi memastikan kempen ini berjalan dan melindungi lebih 650,000 kanak-kanak Palestin di Jaluran Gaza,” kata pegawai Hamas, Encik Basem Naim, kepada agensi berita Reuters.

Unit kemanusiaan tentera Israel (Cogat) berkata pada 28 Ogos bahawa kempen vaksinasi akan dijalankan dengan penyelarasan bersama tentera Israel, “sebagai sebahagian daripada tempoh tenang rutin kemanusiaan yang akan membolehkan penduduk sampai ke pusat perubatan tempat vaksin akan diberikan”.

Pertumpahan darah terbaru dalam konflik Israel-Palestin yang sudah berdekad lamanya tercetus pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas menyerang Israel – membunuh lebih 1,400 orang dan mengambil kira-kira 250 tebusan, menurut pengiraan Israel.

Menurut kementerian kesihatan tempatan, serangan balas Israel ke atas kawasan yang ditadbir Hamas pula telah mengorbankan lebih 40,000 rakyat Palestin.

Israel juga telah mengarahkan pemindahan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk, sekali gus menyebabkan krisis kebuluran.

Ini membawa kepada dakwaan pembunuhan beramai-ramai yang diajukan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Bagaimanapun, Israel menafikan dakwaan itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg