Sekitar 20 peratus syarikat di negara ini adalah firma milik asing yang menggajikan 60 peratus daripada penduduk Singapura yang bergaji tinggi, dengan pendapatan kasar bulanan melebihi $12,500.
Data itu menekankan pentingnya menarik pelaburan asing dan bakat sejagat menyusuli pelaburan sedemikian.
Ia dilakukan dengan cara melengkapkan pertumbuhan tenaga kerja penduduk tempatan dan mewujudkan pekerjaan baik untuk rakyat Singapura.
Buat kali pertama data itu dikongsi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporan pasaran pekerja suku kedua 2024, yang dikeluarkan pada 17 September
Secara keseluruhan, syarikat itu menyediakan pekerjaan bagi hampir satu pertiga pekerja tempatan, merujuk kepada pekerja warga Singapura atau Penduduk Tetap (PR) negara ini, kata MOM.
Ia menambah bahawa firma milik asing itu juga mewujudkan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana Singapura, yang menggajikan sebahagian besar pekerja tempatan.
Menurut data MOM, meskipun kadar pengangguran merosot pada suku kedua 2024, jumlah pekerja yang diberhentikan yang mendapat pekerjaan baru dalam masa enam bulan juga berkurangan kepada 55 peratus daripada 59.4 peratus pada suku sebelumnya.
Pengarah jabatan penyelidikan tenaga kerja dan perangkaan MOM, Encik Ang Boon Heng, berkata terdapat trend kemerosotan dalam kadar mendapat pekerjaan baru sejak beberapa tahun lalu.
Encik Ang menjelaskan bahawa lebih ramai individu mengambil masa untuk mencari dan meningkatkan kemahiran bagi mencari pekerjaan lebih baik.
Beliau berkata demikian dalam satu taklimat media pada 16 September di pejabat Acronis di Temasek Boulevard.
Encik Ang menambah bahawa kadar individu yang mendapat pekerjaan dalam 12 bulan selepas diberhentikan meningkat kepada 70 peratus.
Tinjauan MOM juga mendapati 30 peratus daripada individu yang tidak mendapatkan pekerjaan baru adalah termasuk mereka yang tidak mencari pekerjaan atau sedang menyiapkan diri bagi bekerja sendiri.
“Sekiranya 30 peratus individu yang tidak mendapat pekerjaan menghadapi kesukaran mencari pekerjaan, kadar pengangguran jangka panjang sepatutnya meningkat, tetapi ia tidak berlaku,” ujar Encik Ang.
Kadar pengangguran jangka panjang pada Jun 2024 ialah 0.8 peratus, sama seperti pada Mac, lapor MOM.
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata, dalam satu lawatan ke firma keselamatan siber Acronis pada 16 September, penyertaan tenaga pekerja yang tinggi di Singapura, penduduk menua dan tenaga kerja tempatan kian berkurangan bermakna pertumbuhan tenaga kerja tempatan akan menjadi perlahan pada jangka masa panjang.
Dr Tan berkata Acronis adalah contoh perniagaan yang menggajikan pekerja asing dan tempatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg