Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan melanjutkan tempoh geran bagi majikan yang menawarkan pekerjaan semula secara sambilan, pengaturan kerja fleksibel dan perancangan kerjaya berstruktur bagi pekerja lanjut usia selama dua tahun lagi, berlandaskan permintaan berterusan.
Dalam satu kenyataan pada 18 Disember, kementerian itu berkata Geran Pengambilan Bekerja Semula Secara Sambilan (PTRG), yang diperkenalkan pada 2020, akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027.
Ini bagi membolehkannya terus menyokong pekerjaan pekerja lanjut usia dengan menyediakan sokongan kewangan kepada majikan untuk menawarkan pekerjaan semula secara sambilan kepada pekerja lanjut usia mereka, kata MOM.
“Sejak diperkenalkan pada 2020, kadar pengambilan bagi PTRG amat menggalakkan,” kata kementerian itu.
Di bawah PTRG, majikan akan menerima $2,500 untuk setiap pekerja lanjut usia berumur 60 tahun dan ke atas yang mereka ambil untuk bekerja semula, tertakluk kepada had $125,000 bagi setiap majikan.
Permohonan bagi geran itu, yang sebelum ini ditutup pada Oktober, dibuka semula pada 18 Disember.
Sehingga November, MOM berkata lebih 7,500 majikan telah memanfaatkan geran tersebut untuk menyokong pekerjaan atau pengekalan pekerja lanjut usia – sekali gus memberi manfaat kepada lebih 65,000 pekerja lanjut usia.
Lebih $92 juta juga telah diagihkan melalui geran itu sejak 2020.
Mana-mana syarikat yang berdaftar atau diperbadankan di Singapura – termasuk persatuan dan badan bukan mencari untung seperti badan amal dan pertubuhan kebajikan sukarela – boleh memohon untuk geran tersebut.
Badan tersebut perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja warga Singapura berumur 60 tahun dan ke atas pada masa permohonan dan tuntutan dibuat, menurut laman MOM.
PTRG adalah sebahagian langkah yang bertujuan memperkukuh sokongan untuk pekerjaan warga emas.
Skim lain termasuk Kredit Pekerjaan Warga Emas yang menyediakan pengimbangan gaji sehingga 7 peratus kepada majikan yang menggajikan pekerja berumur 60 tahun dan ke atas.
Pekerja yang lebih berusia juga boleh memanfaatkan program seperti Program Peningkatan SkillsFuture dan Program Penukaran Kerjaya Tenaga Kerja Singapura.
Seiring geran bagi pihak majikan, sebanyak 32 pertubuhan akan bekerjasama dengan pemerintah, kesatuan dan majikan serta pihak berkepentingan yang lain untuk mewujudkan bersama idea dan membangunkan huraian bagi menjadikan pekerjaan serta tempat kerja lebih mesra usia, terutamanya bagi pekerja warga senja.
Pertubuhan tersebut merangkumi syarikat, pengantara pasaran pekerja dan pertubuhan tidak meraih keuntungan dalam pelbagai sektor, seperti Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME), Iyad Perdaus, Mandai Resorts dan Micron Semiconductor Asia Operations.
Ini akan diusahakan di bawah Perikatan untuk Bertindak (AfA) dalam Memperkasa Kerjaya Berbilang Tahap bagi Pekerja Matang, yang dilancarkan pada 17 November dalam satu majlis yang diadakan di Civil Service Club@Tessensohn.
AfA itu dibentuk di bawah Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Pekerjaan bagi Pekerja Lanjut Usia dan diumumkan pada Mac 2025 dengan tujuan membangunkan saranan dasar untuk membantu pekerja lanjut usia kekal berdaya penghasilan tinggi dan terus boleh diambil bekerja, serta menggalak pekerjaan dan tempat kerja yang mesra warga emas.
Dalam satu kenyataan pada 18 Disember, Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Tan, berkata NTUC mengalu-alukan langkah melanjutkan geran itu dan menggalakkan majikan menggunakannya untuk menawarkan aturan kerja fleksibel supaya pekerja lanjut usia mereka yang berpengalaman dapat dikekalkan sambil memenuhi keperluan mereka yang kian berubah.
Beliau berkata warga emas adalah bahagian penting dalam tenaga kerja Singapura kerana mereka mempunyai “kemahiran dan pengalaman yang berharga”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg