Pendanaan bagi program awam dan pendidikan baru untuk membantu perniagaan kecil menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan selamat, serta melanjutkan pendanaan bagi skim sedia ada untuk menyokong pekerja lebih tua, adalah antara langkah yang mana Belanjawan 2025 boleh memberi impak.
“Kami melihat lebih banyak penekanan terhadap (penggunaan) AI secara bertanggungjawab, dan itu adalah bidang (yang mana) Singapura boleh memainkan peranan utama,” kata Encik Sam Liew, presiden Persatuan Komputer Singapura dalam satu perbincangan.
Beliau menambah, Belanjawan 2025 boleh membantu menyokong usaha membangunkan garis panduan dan piawaian untuk penggunaan AI.
Encik Liew turut mencadangkan supaya pendanaan tersebut disalurkan kepada usaha yang dapat menyokong syarikat kecil dan sederhana (SME) menggunakan peralatan AI dengan selamat, contohnya melalui kempen pendidikan awam.
Perbincangan prabelanjawan anjuran Institut Akauntan Bertauliah Singapura (Isca) yang diadakan pada 14 Januari di Hotel One Farrer itu disertai 13 ahli panel dan dihadiri 120 peserta, lapor The Business Times (BT).
Ia dipengerusikan bersama oleh Anggota Parlimen (AP) Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa, dan GRC Chua Chu Kang, Encik Don Wee.
Encik Liang mempengerusikan Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan, Perdagangan, dan Perusahaan, manakala Encik Wee merupakan anggota majlis Isca.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan menyampaikan kenyataan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 18 Februari.
Anggota panel, yang juga presiden Persekutuan Perkilangan Singapura, Encik Lennon Tan, berkongsi satu anekdot mengenai sebuah syarikat yang mengambil pendekatan inovatif dalam menggunakan AI – dengan menggunakan kadar penerimaan AI sebagai metrik utama dalam menilai prestasi pekerja.
Amalan sumber manusia (HR) sebegini boleh mendorong syarikat menerima AI secara “pantas dan agresif”, katanya.
“Harapan mereka agar syarikat yang mempunyai 100 kakitangan ini akhirnya – dalam tempoh lima tahun – mencapai produktiviti setanding 1,000 pekerja,” kata beliau.
Encik Tan menggesa pemerintah supaya “benar-benar menilai” kaedah kreatif sebegini untuk menggalak SME meningkatkan penerimaan dan kemahiran AI mereka, dan menekankan keperluan untuk tidak sekadar memberi dana bagi langganan peralatan AI untuk tempoh yang singkat.
Mengulas mengenai sokongan pemerintah kepada pekerja lebih berusia, ahli panel Cik Lee Su Shyan, yang juga editor bersekutu BT, berkata Singapura telah menunjukkan sokongan padu kepada golongan pekerja itu melalui langkah seperti menaikkan usia persaraan dan pengambilan semula bekerja, serta mengenalkan Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja.
Namun, Belanjawan 2025 boleh menawarkan insentif kewangan tambahan untuk mendorong syarikat mengekalkan pekerja lebih berusia, kerana ia lebih “berkesan dan cekap” berbanding menggaji dan melatih pekerja baru, tambahnya.
Cik Lee juga mencadangkan supaya sebahagian dana diperuntukkan untuk karyawan HR mereka program yang dapat membantu pekerja lebih berusia kembali bekerja.
Ahli ekonomi DBS, Encik Chua Han Teng, pula mencadangkan agar pemerintah melanjutkan skim seperti Kredit Pekerjaan Warga Emas dan Geran Pengambilan Bekerja Semula secara Sambilan.
Ketua Ahli Ekonomi OCBC, Cik Selena Ling, menekankan keperluan perubahan pada cara berfikir mengenai pekerja lebih berusia, dan menyeru majikan untuk mengubah persepsi mereka berkenaan golongan tersebut.
“Kita perlu mengubah definisi warga emas, dan ia tidak seharusnya (dilihat) sebagai satu masalah,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg