Pihak berkuasa akan memansuhkan Skim Permit Kerja (Artis Persembahan) selepas dikuatkuasakan lebih 17 tahun, berikutan penyalahgunaan meluas.
Skim yang diperkenalkan pada 2008 itu membenarkan premis hiburan awam berlesen seperti bar, hotel dan kelab malam menggaji artis persembahan asing buat jangka pendek sehingga enam bulan.
Namun, operasi penguatkuasaan terkini oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan pihak polis mendapati skim berkenaan disalahgunakan oleh sindiket, dengan ‘artis’ terbabit didapati bekerja di premis hiburan awam lain sebagai ‘pelayan bebas’.
MOM mengumumkan pada 1 Disember bahawa skim tersebut akan ditamatkan mulai 1 Jun 2026, lapor The Straits Times (ST).
Permohonan baru tidak akan lagi diterima selepas tarikh tersebut, namun premis hiburan awam boleh mengekalkan artis persembahan asing sedia ada sehingga pas mereka tamat tempoh atau dibatalkan.
Menurut MOM, sindiket didapati menggunakan premis hiburan awam ‘kosong’ yang tidak beroperasi untuk menggaji artis persembahan asing di bawah skim tersebut.
“Oleh kerana skim ini telah disalah guna secara meluas, MOM, selepas berunding dengan agensi berkaitan, menilai bahawa skim ini tidak lagi memenuhi tujuan asalnya.
“Oleh itu, MOM akan menamatkan skim berkenaan,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan.
MOM menambah bahawa pihaknya telah berunding dengan Persatuan Perniagaan Hiburan Malam Singapura (SNBA) bagi memberi masa mencukupi kepada premis hiburan awam yang sedang menggaji artis persembahan asing di bawah skim tersebut, untuk membuat susunan alternatif.
Premis perniagaan boleh menggunakan perkhidmatan hiburan daripada penyedia perkhidmatan, tanpa menggaji artis secara langsung.
Sebagai alternatif, mereka juga boleh terus menggaji artis persembahan asing yang layak menggunakan pas kerja biasa, kata MOM.
Warga asing juga boleh digaji oleh premis perniagaan untuk persembahan jangka pendek di bawah rangka Pengecualian Pas Kerja.
Namun, rangka ini hanya terpakai untuk acara yang disokong pemerintah atau mana-mana lembaga berkanun, atau diadakan di lokasi persembahan awam – tidak termasuk bar, disko, lounge, kelab malam, pub, hotel, kelab persendirian atau restoran yang mempunyai Lesen Hiburan Awam Kategori 1.
Pihak berkuasa telah memberi bayangan mengenai perubahan ini sejak September, dengan serbuan dan tangkapan dilakukan terhadap premis hiburan awam ‘kosong’.
Serbuan terbaru berkaitan langkah ini dilakukan pada 23 Oktober, apabila 58 individu ditangkap.
Susulan serbuan tersebut, Pengarah Bahagian Pengurusan Tenaga Kerja Asing MOM, Encik Adrian Quek, berkata MOM tidak akan bertolak ansur dengan sebarang penyalahgunaan pas kerja.
“Pekerja asing mesti diambil untuk pekerjaan yang sah.
“Kami akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan sistem dan menjejas integriti kawalan pas kerja kami,” kata Encik Quek.
Mereka yang disabitkan kesalahan menggaji warga asing tanpa pas kerja sah boleh dikenakan denda antara $5,000 dengan $30,000, dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Warga asing yang bekerja sendiri tanpa pas kerja sah boleh didenda sehingga $20,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka juga akan dikenakan sekatan daripada bekerja di Singapura.
Pada 1 Disember, dalam satu kenyataan bersama Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan MOM berkata mereka akan terus bekerjasama dengan SNBA untuk meneliti perkembangan dalam sektor hiburan malam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg