Topik diikuti
Pergi ke BHkuMOM pertingkat peraturan tangani kebakaran di tempat kerja, perkukuh piawaian WSH
Program StaySAFE beri sokongan khusus kepada syarikat perkukuh piawaian keselamatan, kesihatan di tempat kerja
MOM pertingkat peraturan tangani kebakaran di tempat kerja, perkukuh piawaian WSH
Bagi memastikan piawaian keselamatan di tempat kerja terus sesuai mencegah risiko yang muncul, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bakal mempertingkatkan peraturan keselamatan kebakaran serta program Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH).
Mulai Mac 2027, perancah yang dipasangkan di luar bangunan mesti dilengkapi dengan jaring kalis api bagi mengurangkan risiko penyebaran api sekiranya berlaku kebakaran.
Pada masa yang sama, MOM akan melancarkan program StaySAFE yang menawarkan sokongan khusus bagi membantu syarikat memperkukuh piawaian WSH masing-masing.
Pembaharuan tersebut telah diumumkan oleh Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, semasa Majlis Anugerah WSH 2026 pada 24 September.
Sebanyak 367 syarikat, iaitu rekod tertinggi, telah diiktiraf menerusi pelbagai anugerah atas kecemerlangan dan komitmen mereka dalam memastikan tempat kerja sentiasa selamat.
Dalam pada itu, Encik Dinesh menekankan tiga teras utama demi memastikan prestasi WSH Singapura terus meningkat.
Beliau menekankan kepentingan mengiktiraf prestasi cemerlang, terus menyokong syarikat serta menyesuaikan piawaian dengan risiko yang baharu.
“Dalam tempoh beberapa tahun yang lalu, kita berjaya mengurangkan kadar kecederaan maut di tempat kerja kepada sekitar satu bagi setiap 100,000 pekerja.
“Ini merupakan tanda aras piawaian keselamatan dan kesihatan bertaraf dunia... namun kita perlu meneruskan usaha ini dan bertekad melakukannya dengan lebih baik,” tegas Encik Dinesh.
Lantaran itu, beliau mengetengahkan usaha baharu demi membantu lebih banyak syarikat memperbaiki piawaian WSH, iaitu StaySAFE.
StaySAFE merupakan penambahbaikan kepada program StartSAFE yang dilancarkan pada 2016 bagi menyediakan bimbingan kepada syarikat kecil dan sederhana (SME) bagi mencapai tahap WSH yang baik.
Berbanding dengan program StartSAFE yang terhad kepada SME dan syarikat bizSAFE, StaySAFE dibuka kepada semua syarikat.
StaySAFE menyediakan penilaian risiko utama yang lebih khusus serta nasihat mengikut operasi perniagaan masing-masing.
Sebagai contoh, StaySAFE menyokong proses semakan semula insiden dan kejadian hampir menyebabkan kemalangan menerusi kaedah analisis punca utama.
“Tidak semua syarikat berada pada tahap kematangan WSH yang serupa. Tugas kami adalah untuk membantu setiap syarikat mengambil langkah seterusnya.
“Bagi syarikat yang masih kurang berpengalaman dalam aspek amalan keselamatan, StaySAFE merupakan platform terbaik untuk menimba pengetahuan keselamatan mereka,” kata Encik Dinesh.
Bagi syarikat yang sudah mempunyai pengalaman dalam pengurusan risiko pula, StaySAFE membantu mengekalkan kemajuan dengan menawarkan pandangan kedua tentang aspek yang boleh dipertingkatkan lagi, tambah Encik Dinesh.
Pengerusi Majlis WSH, Encik Abu Bakar Mohd Noh, percaya pelancaran StaySAFE akan membantu syarikat sentiasa meningkatkan keupayaan WSH masing-masing.
Menerusi satu kenyataan oleh WSH pada 24 September, beliau berkata:
“Kecemerlangan WSH merupakan satu perjalanan penambahbaikan yang berterusan. Syarikat yang mencapai kemajuan terbesar sering kali merupakan syarikat yang sedia menilai kejadian yang hampir menyebabkan kemalangan secara terbuka, belajar daripada pengalaman, dan mengambil tindakan sebelum musibah berlaku.”
“StaySAFE direka khas bagi menyokong proses ini, sekali gus membantu syarikat memperkukuh keupayaan mereka serta membina tempat kerja yang lebih selamat.”
Sementara itu, langkah mewajibkan perancah yang dipasangkan di luar bangunan dilengkapi dengan jaring kalis api akan terus mengurangkan risiko berlakunya kebakaran di tapak kerja, tegas Encik Dinesh.
Di bawah peraturan baharu itu, pihak penghuni bangunan, kontraktor perancah, pengeluar dan pembekal mesti memastikan jaring perancah yang digunakan telah diuji mengikut salah satu daripada tiga piawaian ujian kebakaran antarabangsa yang ditetapkan oleh MOM dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), jelas Encik Dinesh.
Beliau menambah bahawa peraturan tersebut akan melengkapi peraturan yang diumumkan pada Julai 2026, yang mewajibkan semua perancah kayu di Singapura perlu dirobohkan dalam tempoh tiga bulan selepas dibina, berbanding tempoh semasa iaitu sembilan bulan.
Terdapat 820 permohonan bagi 10 anugerah yang dihadiahkan bagi Anugerah WSH tahun ini, iaitu jumlah penyertaan yang tertinggi setakat ini.
Encik Abu Bakar berkata sambutan itu mencerminkan komitmen untuk mencapai tahap WSH yang semakin berkembang.
Beliau berbesar hati melihat usaha mengukuhkan tahap keselamatan di tempat kerja kini telah berkembang menjadi tanggungjawab bersama di setiap peringkat, daripada pihak pengurusan hinggalah ke pekerja di tapak.
Antara pemenang tahun ini ialah Exceltec Property Management Pte Ltd, yang menerima Anugerah Teladan bizSAFE buat julung-julung kalinya. Ini juga kali pertama syarikat itu memohon bagi pengiktirafan tersebut.
Dalam kenyataan pada 24 September, MOM berkata Exceltec telah membuktikan keunggulannya menerusi penekanan terhadap pembelajaran mengenai WSH secara praktikal.
Antara usaha syarikat itu, jabatan WSH Exceltec telah menerbitkan buku panduan keselamatan yang merangkumi dasar syarikat, amalan WSH yang baik serta peraturan khas apabila bertugas bersama syarikat itu.
Di samping itu, sebuah aplikasi khas digunakan untuk berkongsi topik WSH untuk perbincangan semasa mesyuarat keselamatan mingguan.
Pengarah bersekutu dan ketua pengurusan WSH dan keselamatan kebakaran di syarikat itu, Encik Rominof Rahmat, berkata:
“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini buat julung-julung kalinya.
“Ia mengesahkan kepercayaan kami bahawa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja merupakan tanggungjawab bersama, yang diperkukuhkan menerusi pembelajaran berterusan, penerapan amalan praktikal serta penyertaan aktif di setiap peringkat.