Bagi mengurangkan risiko kebakaran, semua perancah kayu di Singapura perlu dirobohkan dalam tempoh tiga bulan selepas dibina, berbanding tempoh semasa iaitu sembilan bulan.

Peraturan itu, yang bertujuan mengurangkan jumlah bahan kayu mudah terbakar di tapak pembinaan, akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, pada 2 Julai.

Dr Tan menambah kementeriannya telah mengkaji langkah mengurangkan risiko kebakaran berkaitan perancah, dengan mengambil kira maklum balas industri dan perkembangan antarabangsa.

“Ini termasuk mengkaji semula penggunaan perancah kayu dan memperkenalkan keperluan prestasi kebakaran untuk jaring perancah,” katanya pada Kempen Alam Sekitar, Kesihatan dan Keselamatan tahunan, anjuran Persatuan Kontraktor Singapura Berhad (SCAL).

Keselamatan kebakaran perancah menjadi tumpuan susulan kebakaran di kompleks pangsapuri Wang Fuk Court, Hong Kong, pada November 2025. 

Kebakaran itu, yang meragut nyawa 168 orang, dikaitkan dengan penggunaan jaring perancah dan papan yang tidak memenuhi piawaian.

Di Singapura, perancah kayu biasanya digunakan dalam pembinaan rumah berdinding.

Dr Tan menambah kementeriannya dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) turut mengkaji peraturan baharu yang boleh mewajibkan jaring perancah di luar bangunan yang mampu menahan api, bagi mengehadkan penyebaran kebakaran.

Butiran lanjut akan dikongsi pada masa akan datang.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata keperluan merobohkan perancah kayu dengan lebih cepat dapat menangani kebimbangan keselamatan berkaitan kemerosotan kayu dari semasa ke semasa, yang boleh menjejas kekuatan struktur, dalam kenyataan berasingannya pada 2 Julai.

Langkah itu turut menggalakkan penggunaan bahan perancah yang lebih tahan lama dan tidak mudah terbakar seperti keluli, aluminium dan logam, tambahnya.

Dalam ucapannya pada acara itu, Dr Tan turut berkata Singapura telah mencapai kemajuan ketara dalam keselamatan dan kesihatan tempat kerja sejak beberapa tahun lalu.

Pada 2025, kadar kematian akibat kecederaan tempat kerja negara ini berada pada 0.96 kematian bagi setiap 100,000 pekerja, kadar terendah yang pernah direkodkan selain tempoh pandemik Covid-19, jelasnya. 

Sektor pembinaan turut mencatatkan kemajuan, dengan kes kematian dan kecederaan serius menurun daripada 166 kes pada 2024 kepada 148 kes pada 2025.

Ini bermakna kadar kecederaan berkurangan daripada 31 kecederaan bagi setiap 100,000 pekerja kepada 26 kecederaan.

Ini merupakan kadar terendah yang pernah direkodkan bagi sektor pembinaan, tambah Dr Tan.

Namun, Dr Tan turut menyuarakan kebimbangan mengenai rentetan kemalangan maut baru-baru ini, dengan menyebut satu kejadian pada Mei, di mana seorang penyelia maut selepas kanopi yang baru dibina runtuh apabila satu palet batu diletakkan di atasnya.