SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

MOM siasat kes pekerja mati di limbungan kapal Tuas

MOM siasat kes pekerja mati di limbungan kapal Tuas

Apr 9, 2026 | 4:12 PM

MOM siasat kes pekerja mati di limbungan kapal Tuas

Seatrium, tapak kerja luar pesisir, lelaki mati, limbungan kapal
Kejadian tersebut berlaku di tapak kerja syarikat luar pesisir dan marin, Seatrium, di 80 Tuas South Boulevard. - Foto SEATRIUM

Seorang pekerja meninggal dunia di limbungan kapal di Tuas pada 6 April selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam paip keluli tahan karat.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat kejadian tersebut.

Dalam jawapan kepada media, kementerian tersebut pada 9 April, berkata kejadian di tempat kerja itu berlaku sekitar 8 malam di tapak kerja syarikat luar pesisir dan marin, Seatrium, di 80 Tuas South Boulevard.

Semakan The Straits Times (ST) menunjukkan Tuas Boulevard Yard milik Seatrium terletak di alamat tersebut.

Limbungan kapal itu mempunyai tujuh limbungan atau dok bagi kerja limbungan kering, pembaikan badan kapal, baik pulih enjin dan penyelenggaraan umum, menurut platform maritim TrustedDocks.

MOM menambah lelaki berusia 24 tahun itu merupakan seorang tukang kimpal.

Beliau ditemui terbaring tidak sedarkan diri di dalam paip keluli tahan karat berukuran 71 sentimeter di atas unit pemprosesan yang baru dipasang, milik sebuah kapal.

Beliau dikeluarkan daripada paip tersebut dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik.

Lelaki itu merupakan pekerja Hwa Leong Offshore Engineering, kata MOM.

Menurut MOM, sebagai langkah keselamatan umum, semua ruang terkurung mesti dikenal pasti dan diberi label jelas.

“Sebelum sebarang kerja dimulakan, langkah kawalan risiko yang berkaitan, termasuk ujian udara, pengudaraan mencukupi dan permohonan permit untuk bekerja, mesti dilaksanakan bagi membendung dan mengurangkan sebarang bahaya yang boleh dijangka berkaitan ruang terkurung,” jelas MOM.

Masih belum jelas bagaimana dan mengapa pekerja tersebut memasuki paip tersebut.

Apabila dihubungi, Seatrium memberitahu ST syarikat itu menyedari kejadian yang melibatkan subkontraktor di limbungan kapal tersebut, dan sedang menyiasat kejadian berkenaan.

“Kami sedang memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga mangsa dan rakan-rakan sekerja beliau. Keselamatan dan kesejahteraan semua orang di premis kami adalah keutamaan kami,” kata Seatrium.

Sebanyak 36 kematian di tempat kerja telah dicatatkan di Singapura pada 2025, menurun berbanding 43 kematian pada 2024.

Manakala, kadar kematian di tempat kerja pada 2025 adalah 0.96 bagi setiap 100,000 pekerja, kadar paling rendah sejak 2020.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg