Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat pengendali pusat jagaan kanak-kanak Ilham Global berhubung kemungkinan kesalahan tidak membayar gaji di bawah Akta Pekerjaan, menyusuli aduan sejak Jun lalu.

MOM memaklumkan ia menerima maklum balas mengenai kelewatan pembayaran gaji pada Jun dan September 2026.

Namun, tiga memo dalaman syarikat yang dilihat Berita Harian (BH) menunjukkan penangguhan pembayaran gaji masih berlarutan sehingga November ini.

Menjawab pertanyaan BH, jurucakap MOM berkata pekerja yang terjejas telah dinasihatkan supaya mengemukakan tuntutan gaji mereka kepada Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM).

“Setakat 13 November 2026, TADM belum menerima sebarang tuntutan gaji terhadap pusat berkenaan,” kata jurucakap itu, sambil mengesahkan bahawa MOM telah menerima maklum balas daripada beberapa kakitangan Ilham Child Care mengenai kelewatan pembayaran gaji pada Jun dan September 2026.

“Kami ingin mengingatkan majikan tentang kewajipan mereka untuk membayar gaji tepat pada masanya kepada pekerja mereka.

“Pekerja di Singapura yang tidak dibayar gaji tepat pada masanya boleh memfailkan tuntutan mereka dengan TADM, yang akan membantu pekerja mendapatkan semula gaji mereka sama ada melalui pengantaraan atau merujuk kes itu ke Tribunal Tuntutan Pekerjaan,” kata jurucakap MOM itu lagi.

Beliau juga menambah bahawa pekerja yang memerlukan bantuan boleh menghubungi TADM di tal.sg/tadm/contact-us.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) turut mengesahkan pada 16 November bahawa pihaknya sedang memantau operasi dua baki cawangan Ilham Child Care.

Pengendali itu juga diarahkan memulangkan baki yuran dan wang deposit kepada ibu bapa berikutan penutupan cawangannya di Primz Bizhub di Woodlands Close pada Ogos lalu.

Ketika dihubungi BH, jurucakap ECDA berkata agensi itu baru-baru ini menerima maklum balas daripada seorang bekas kakitangan Ilham Child Care berhubung kelewatan pembayaran gaji tersebut, dan difahamkan perkara itu juga telah diajukan kepada MOM.

“ECDA sedang menilai sama ada kelewatan pembayaran gaji yang dilaporkan akan menjejaskan keupayaan pengendali untuk mematuhi keperluan kawal selia ECDA serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di pusat-pusat jagaannya,” kata jurucakap ECDA dalam satu kenyataan kepada BH.

Mengulas lanjut mengenai penutupan cawangan Woodlands pada Ogos lalu, ECDA memaklumkan pihaknya telah mengarahkan kepada pengendali di bawah Akta Pusat Pembangunan Awal Kanak-kanan 2017 bagi menyokong proses penutupan yang teratur dan melindungi kepentingan kanak-kanak serta keluarga yang terjejas.

Arahan itu merangkumi usaha memudahkan urusan penarikan pendaftaran serta pengendali untuk memulangkan yuran dan deposit yang belum dijelaskan kepada ibu bapa yang terjejas.

“ECDA sedang memantau pematuhan pengendali terhadap arahan ini, serta operasi di dua baki cawangan Ilham Child Care bagi memastikan keperluan kawal selia terus dipatuhi,” kata jurucakap itu lagi.

BH telah menghubungi pihak Ilham Global pada 16 November mengenai perkembangan tersebut.

Menurut seorang bekas kakitangan Ilham Child Care yang dihubungi BH, gaji mereka dibayar lewat sebanyak tiga kali pada 2026.

Dalam dokumen yang dilihat oleh BH, pihak pengendali meminta maaf atas bayaran gaji yang lewat dalam satu notis yang dihantar kepada kakitangan pada 5 Jun.

Syarikat itu memberi jaminan bahawa baki separuh gaji akan dilunaskan selewat-lewatnya pada 25 Jun.

Bekas pekerja itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Siti (bukan nama sebenar), berkata beliau berasa marah ketika diberitahu mengenai bayaran gaji lewat itu.

Beliau berkata perbelanjaan untuk keperluan dua anak-anaknya, bil dan komitmen kewangan lain turut terjejas.

Menurutnya, kakitangan daripada ketiga-tiga pusat Ilham Child Care berhimpun untuk sesi latihan dan dimaklumkan tentang bayaran gaji lewat oleh seorang wakil sumber manusia syarikat semasa sesi latihan itu.

Pada 5 September, syarikat itu memaklumkan kakitangan bahawa hanya separuh gaji bagi Ogos boleh dibayar pada tarikh itu.

Syarikat itu menyatakan cabaran aliran tunai yang ketara berikutan kemerosotan dalam pendaftaran, kekurangan pendaftaran baharu serta penutupan pusatnya di Woodlands secara serta-merta antara punca situasi tersebut.

Mengulas, syarikat itu berkata penutupan pusat di Woodlands menyebabkan kehilangan hasil secara langsung, selain menyebabkan pihaknya masih menanggung beberapa kewajipan kewangan yang belum dilunaskan.

Wang berkaitan cawangan di Woodlands turut belum diterima, sekali gus menambah kepada masalah aliran tunai syarikat itu.

Pada 5 November, kakitangan Ilham Child Care menerima satu lagi notis yang memaklumkan bahawa gaji bagi Oktober tidak dapat dilunaskan pada tarikh pembayaran gaji yang dijadualkan, iaitu 5 November, berikutan cabaran kewangan dan kekangan aliran tunai yang dihadapi syarikat tersebut.

Syarikat itu berkata gaji bagi Oktober akan dilunaskan selewat-lewatnya pada 25 November.

Syarikat itu berkata ia sedang menangani cabaran kewangan semasa, memastikan operasi semua pusat terus berjalan lancar dan tanggungjawab mereka terhadap kakitangan terus dipenuhi.

Cik Siti memberitahu BH beliau menerima baki gajinya pada 23 Jun dan 11 September.

Beliau terpaksa mengurangkan sebahagian perbelanjaannya demi menampung keperluan anak-anaknya. Beliau juga terpaksa mengurangkan wang elaun bagi ibunya.

Cik Siti meninggalkan Ilham Child Care setelah bertugas selama enam bulan.

Kini, Ilham Child Care mengendalikan dua pusat, iaitu di TradeHub 21 di Boon Lay Way dan Focus One di Ubi.

Sebelum ini, ia mengendalikan pusat ketiga di Primz Bizhub di Woodlands, yang telah ditutup pada 6 Ogos.

BH melaporkan bahawa 38 kanak-kanak dan lapan pekerja terjejas oleh penutupan pusat itu.

Pengendali mengaitkan penutupan pusat itu kepada pelbagai cabaran dalam aspek operasi, khususnya kos sewa yang meningkat.