Topik diikuti
Pergi ke BHkuMOM siasat pengendali Ilham Child Care, Ecda pantau operasi
Penangguhan bayaran gaji masih berlarutan sehingga Nov
MOM siasat pengendali Ilham Child Care, Ecda pantau operasi
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat pengendali pusat jagaan kanak-kanak, Ilham Global, berhubung kemungkinan kesalahan tidak membayar gaji di bawah Akta Pekerjaan, menyusuli aduan diterima sejak Jun lalu.
MOM memaklumkan bahawa ia telah menerima maklum balas mengenai kelewatan pembayaran gaji itu pada Jun dan September 2026.
Namun, tiga memo dalaman syarikat itu yang dilihat Berita Harian (BH) menunjukkan bahawa penangguhan pembayaran gaji masih berlarutan sehingga November ini.
Menjawab pertanyaan BH, jurucakap MOM berkata pekerja yang terjejas telah dinasihatkan supaya mengemukakan tuntutan gaji mereka kepada Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM).
“Setakat 13 November 2026, TADM belum menerima sebarang tuntutan gaji terhadap pusat berkenaan,” kata jurucakap itu, sambil mengesahkan bahawa MOM telah menerima maklum balas daripada beberapa kakitangan Ilham Child Care mengenai kelewatan pembayaran gaji pada Jun dan September 2026.
“Kami ingin mengingatkan majikan tentang kewajipan mereka membayar gaji kepada pekerja mereka tepat pada masanya.
“Pekerja di Singapura yang tidak dibayar gaji tepat pada masanya boleh memfailkan tuntutan mereka dengan TADM, yang akan membantu pekerja berkenaan mendapatkan semula gaji mereka sama ada melalui pengantaraan atau merujuk kes itu kepada Tribunal Tuntutan Pekerjaan,” kata jurucakap MOM itu lagi.
Beliau juga menambah bahawa pekerja yang memerlukan bantuan boleh menghubungi TADM di tal.sg/tadm/contact-us.
Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) turut mengesahkan pada 16 November bahawa pihaknya sedang memantau operasi dua baki cawangan Ilham Child Care.
Pengendali itu juga diarahkan memulangkan baki yuran dan wang deposit kepada ibu bapa berikutan penutupan cawangannya di Primz Bizhub di Woodlands Close pada Ogos lalu.
Ketika dihubungi BH, jurucakap Ecda berkata agensi itu baru-baru ini menerima maklum balas daripada seorang bekas kakitangan Ilham Child Care berhubung kelewatan pembayaran gaji tersebut, dan difahamkan perkara itu juga telah diajukan kepada MOM.
“ECDA sedang menilai sama ada kelewatan pembayaran gaji yang dilaporkan akan menjejaskan keupayaan pengendali itu untuk mematuhi keperluan kawal selia Ecda serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di pusat-pusat jagaannya,” kata jurucakap Ecda dalam satu kenyataan kepada BH.
Mengulas lanjut mengenai penutupan cawangan di Woodlands pada Ogos lalu, Ecda memaklumkan bahawa pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada pengendali itu di bawah Akta Pusat Pembangunan Awal Kanak-kanak 2017, bagi menyokong proses penutupan yang teratur dan melindungi kepentingan kanak-kanak serta keluarga yang terjejas.
Arahan itu merangkumi usaha memudahkan urusan penarikan pendaftaran, serta mengarahkan pengendali itu supaya memulangkan yuran dan deposit yang belum dijelaskan, kepada ibu bapa yang terjejas.
“Ecda sedang memantau pematuhan pengendali itu terhadap arahan ini, serta operasi di dua baki cawangan Ilham Child Care bagi memastikan keperluan kawal selia terus dipatuhi,” kata jurucakap itu lagi.
BH telah menghubungi pihak Ilham Global pada 16 November mengenai perkembangan tersebut.
Menurut seorang bekas kakitangan Ilham Child Care yang dihubungi BH, gaji mereka dibayar lewat sebanyak tiga kali pada 2026.
Dalam dokumen yang dilihat oleh BH, pihak pengendali itu meminta maaf atas bayaran gaji yang lewat, dalam satu notis yang dihantar kepada kakitangan pada 5 Jun.
Syarikat itu memberi jaminan bahawa baki separuh gaji akan dilunaskan selewat-lewatnya pada 25 Jun.
Bekas pekerja itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Siti (bukan nama sebenar), berkata beliau berasa marah apabila diberitahu mengenai bayaran gaji lewat itu.
Beliau berkata perbelanjaan untuk keperluan dua anak-anaknya, bil dan komitmen kewangan lain turut terjejas.
Menurutnya, kakitangan daripada ketiga-tiga pusat Ilham Child Care telah berhimpun untuk satu sesi latihan dan dimaklumkan tentang bayaran gaji lewat oleh seorang wakil sumber manusia syarikat tersebut semasa sesi latihan itu.
Pada 5 September, syarikat itu memaklumkan kakitangannya bahawa hanya separuh gaji bagi Ogos boleh dibayar pada tarikh itu.
Syarikat itu menyatakan bahawa cabaran aliran tunai yang ketara berikutan kemerosotan dalam pendaftaran, kekurangan pendaftaran baharu serta penutupan pusatnya di Woodlands secara serta-merta, merupakan antara punca situasi tersebut.
Mengulas, syarikat itu berkata penutupan pusat di Woodlands itu telah menyebabkan kehilangan hasil pendapatan secara langsung, selain menyebabkan pihaknya masih menanggung beberapa kewajipan kewangan yang belum dilunaskan.
Wang berkaitan cawangan di Woodlands itu turut belum diterima, sekali gus menambah kepada masalah aliran tunai syarikat itu.
Pada 5 November, kakitangan Ilham Child Care menerima satu lagi notis yang memaklumkan bahawa gaji bagi Oktober tidak dapat dilunaskan pada tarikh pembayaran gaji yang dijadualkan, iaitu 5 November, berikutan cabaran kewangan dan kekangan aliran tunai yang dihadapi syarikat tersebut.
Syarikat itu berkata gaji bagi Oktober akan dilunaskan selewat-lewatnya pada 25 November.
Syarikat itu berkata ia sedang menangani cabaran kewangan semasa, memastikan operasi semua pusat itu terus berjalan lancar dan tanggungjawab mereka terhadap kakitangan terus dipenuhi.
Cik Siti memberitahu BH, beliau menerima baki gajinya pada 23 Jun dan 11 September.
Beliau terpaksa mengurangkan sebahagian perbelanjaannya demi menampung keperluan anak-anaknya. Beliau juga terpaksa mengurangkan wang elaun bagi ibunya.
Cik Siti meninggalkan Ilham Child Care setelah bertugas selama enam bulan.
Kini, Ilham Child Care mengendalikan dua pusat, iaitu di TradeHub 21 di Boon Lay Way dan di Focus One di Ubi.
Sebelum ini, ia mengendalikan pusat ketiga di Primz Bizhub di Woodlands, yang telah ditutup pada 6 Ogos.
BH melaporkan bahawa 38 kanak-kanak dan lapan pekerja terjejas oleh penutupan pusat itu.
Pengendali itu mengaitkan penutupan pusat tersebut dengan pelbagai cabaran dalam aspek operasi, khususnya kos sewa yang meningkat.