Topik diikuti
Pergi ke BHkuMPA perluas kerjasama antarabangsa lindungi siber maritim
MPA perluas kerjasama antarabangsa lindungi siber maritim
MPA perluas kerjasama antarabangsa lindungi siber maritim
Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Hamburg (HPA) serta empat institut pengajian tinggi (IHL) dari Singapura dan Jerman.
Empat IHL itu merangkumi Institut Teknologi Singapura (SIT), Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Universiti Hamburg (UHH) dan Universiti Teknologi Hamburg (TUHH).
Dalam satu kenyataan bersama pada 20 April oleh MPA, HPA dan keempat-empat IHL yang terlibat, menyatakan MOU tersebut dimeterai demi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam keselamatan siber maritim.
Kenyataan itu menambah bahawa MOU tersebut bertujuan meningkatkan kesediaan, tindak balas terhadap insiden dan keupayaan teknikal bagi operasi pelabuhan yang selamat, andal dan sedia untuk masa hadapan.
Ia merangkumi usaha membangunkan antara lain, sistem keselamatan siber pelabuhan, kapal tanpa pemandu dan sistem teknologi operasi atas kapal, di samping menyokong pertukaran amalan terbaik bagi keselamatan siber, tambah kenyataan itu.
Timbalan Ketua Eksekutif MPA, Encik David Foo, berkata: “Keselamatan siber menjadi tonggak utama dalam operasi tatkala pelabuhan hari ini semakin canggih dan terhubung.
“Kerjasama ini memperkukuh keupayaan kami untuk berkongsi maklumat berkaitan keselamatan siber secara tepat pada masanya, menjalankan latihan bersama secara realistik dan membina keupayaan teknikal yang lebih mendalam.
“Ini membantu memastikan operasi pelabuhan selamat, andal dan bersedia untuk masa hadapan.”
MOU ini adalah susulan kepada surat hasrat yang dimeterai antara HPA dengan MPA untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek digitalisasi, penyahkarbon dan keselamatan siber pada 2024.
Jalinan kerjasama ini dapat meningkatkan daya tahan pelabuhan MPA dan HPA terhadap ancaman digital yang kian berubah, kata Ketua Pegawai Kewangan HPA, Encik Tino Klemm.
Menurutnya, kerjasama itu “satu langkah strategik” bagi HPA, kerana ia memperdalam keselamatan rantaian bekalan sejagat yang telah dibina, berdasarkan jalinan kerjasama utuh antara Jerman dengan Singapura.
Sementara itu, keselamatan siber merupakan satu aspek yang dapat memacu operasi pelabuhan maritim pada masa hadapan, kata Timbalan Presiden (Akademik) dan Provos SIT, Profesor Susanna Leong.
Lantaran itu, kerjasama tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan keupayaan teknikal, malah melakar hala tuju kerjasama silang institusi di peringkat sejagat.
Beliau berkata: “Keselamatan siber adalah penting bagi memastikan operasi maritim yang selamat, berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan, dalam dunia yang semakin digital dan terhubung.
“SIT menumpukan usaha untuk mengaplikasikan hasil penyelidikan universiti ini kepada penyelesaian praktikal (dalam industri), demi memperkukuh keselamatan siber pelabuhan, kapal dan operasi kawalan jarak jauh.”
Ini sesuatu yang turut diutarakan Ketua Institut Sistem Siber-Fizikal Selamat TUHH, Profesor Dr Sibylle Froschle.
Menurut beliau, hasil penyelidikan dapat digunakan untuk meneroka penyelesaian yang mungkin belum pernah dilaksanakan, demi menangani cabaran keselamatan siber maritim masa kini.
“Kerjasama dengan rakan kongsi luar negara adalah penting untuk mencari penyelesaian di peringkat sejagat dan memanfaatkannya untuk kebaikan awam.
“Kerjasama ini membolehkan kami menyumbang, mengesahkan dan memperluaskan lagi hasil penyelidikan yang membuka jalan kepada penyelesaian asas, tetapi realistik, kepada pelbagai cabaran keselamatan siber,” ujarnya.
