Topik diikuti
Pergi ke BHkuMPA siasat perlanggaran antara kapal nelayan China, kapal bendera Panama di perairan S’pura
MPA siasat perlanggaran antara kapal nelayan China, kapal bendera Panama di perairan S’pura
MPA siasat perlanggaran antara kapal nelayan China, kapal bendera Panama di perairan S’pura
Satu kejadian perlanggaran membabitkan sebuah kapal nelayan berdaftar di China dan kapal pengangkut pukal bendera Panama di perairan Singapura sedang disiasat Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).
Dalam jawapan kepada media pada 22 September, MPA berkata kejadian itu membabitkan kapal nelayan Lu Qing Yuan Yu dan First Margaux pada 17 September di Selat Singapura.
Penerbitan maritim, The Maritime Executive, melaporkan kejadian itu berlaku sekitar 5 petang.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan anak kapal kedua-dua kapal dan tiada pencemaran berlaku akibat kejadian itu,” kata MPA.
Trafik pelayaran turut tidak terjejas, tambah MPA.
Kapal nelayan itu kemudian ditunda ke Kawasan Berlabuh Khas Raffles untuk menjalani pemeriksaan.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) membantu memindahkan anak kapal yang terjejas ke darat, manakala beberapa anak kapal penting kekal berada di atas kapal bagi membantu proses penundaan.
Pihak berkuasa itu turut mengeluarkan amaran keselamatan pelayaran agar kapal lain menjauhi kawasan tersebut, sementara sebuah kapal MPA mengiringi kapal nelayan itu ke pelabuhan.
Laporan The Straits Times (ST) menyatakan mereka difahamkan kapal berkenaan kemudian dibawa ke sebuah limbungan di Tuas untuk dibaiki dan laman penjejakan kapal menunjukkan kapal itu berada di perairan luar Tuas setakat 21 September.
The Maritime Executive turut melaporkan kapal pengangkut pukal itu bergerak dari kawasan labuh di timur Singapura sekitar 4 petang menuju ke arah barat.
Kapal nelayan pula mula bergerak sekitar waktu sama dari sebuah kawasan labuh berhampiran Sentosa dan menuju ke selatan.
Selat Melaka dan Singapura, di mana tempat kejadian itu berlaku, merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.
MPA dalam satu hantaran Facebook pada Ogos berkata sekitar satu pertiga daripada semua kontena dan satu perempat daripada perdagangan melalui laut dunia melalui Selat Melaka dan Singapura.