Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura dinobat Pelabuhan Laut Global Terbaik kali kelima
S’pura dinobat Pelabuhan Laut Global Terbaik kali kelima
Sektor maritim, logistik S’pura julang anugerah tertinggi di Shanghai
S’pura dinobat Pelabuhan Laut Global Terbaik kali kelima
Singapura dinobatkan sebagai Pelabuhan Laut Global Terbaik buat kali kelima di Anugerah Pengangkutan, Logistik dan Rantaian Bekalan Asia yang berlangsung di Shanghai pada 24 Jun.
Dalam satu kenyataan pada 25 Jun, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata anugerah tersebut mengiktiraf “penyedia perkhidmatan logistik dan rantaian bekalan terkemuka atas kecemerlangan dalam mutu perkhidmatan, keandalan serta inovasi”.
Anugerah itu menyusuli kejayaan Singapura pada 2025, apabila ia dinobatkan sebagai Pelabuhan Laut Global Terbaik dan Pelabuhan Laut Terbaik di Asia.
“Pengiktirafan ini mencerminkan usaha bersama seluruh masyarakat maritim dalam memperkukuh kedudukan Singapura sebagai pelabuhan hab global terkemuka,” kata Ketua Eksekutif MPA, Encik Ang Wee Keong.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat perkapalan dan logistik global atas keyakinan berterusan mereka terhadap Singapura.
Melangkah ke depan, Encik Ang berkata:
“Dengan rantaian bekalan terus berkembang dan cabaran baru mula muncul, kami akan terus melabur dalam inovasi, prasarana serta bakat bagi memastikan Singapura kekal berdaya tahan, saling terhubung dan bersedia untuk masa akan datang.”
Sementara itu, PSA International, yang mengendalikan pelabuhan PSA di peringkat global, turut merangkul kemenangan kelapannya sebagai pengendali terminal kontena terbaik di dunia.
Ia turut dianugerahkan Terminal Kontena Terbaik di Asia buat kali ke-34 bagi kategori pengendalian melebihi 4 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki), selain diiktiraf sebagai Terminal Kontena Terbaik di Eropah.
Sambil menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu penghormatan besar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PSA, Encik Ong Kim Pong, berkata pihak pengendali tetap komited untuk “memacu aliran perdagangan global”, di samping memperluas rangkaian ekosistem pelabuhannya dan memanfaatkan inovasi digital.
Sementara itu, dalam sektor penerbangan, Singapore Airlines Cargo dinamakan sebagai Syarikat Penerbangan Kargo Terbaik di Asia, manakala Lapangan Terbang Changi Singapura diiktiraf sebagai Lapangan Terbang Mampan Terbaik.
Sektor pelabuhan Singapura telah mencatat beberapa pencapaian tertinggi pada 2025.
Ia mengendalikan jumlah rekod tertinggi sebanyak 44.66 juta kontena perkapalan atau TEU.
Ketibaan kapal turut mencapai angka tertinggi baru, dengan ketibaan kapal tahunan meningkat kepada 3.22 bilion tanan atau tonnage kasar (GT), berbanding 3.11 bilion GT yang dicatatkan pada 2024.
GT ialah ukuran bagi jumlah isi padu dalaman sesebuah kapal dan bukan berat kapal tersebut.
Anugerah tahunan tersebut dianjurkan oleh penerbitan berita pengangkutan dan logistik, Asia Cargo News.
Pemenang dicalonkan dan diundi oleh syarikat pengangkutan dan logistik antarabangsa, serta lebih 15,000 pembaca penerbitan berkenaan.
