Topik diikuti
Pergi ke BHkuMSF: Bayi didera hingga mati tak dirujuk kepada khidmat sosial, perlindungan kanak-kanak
MSF: Bayi didera hingga mati tak dirujuk kepada khidmat sosial, perlindungan kanak-kanak
MSF: Bayi didera hingga mati tak dirujuk kepada khidmat sosial, perlindungan kanak-kanak
Trevor Neo, bayi berumur lapan bulan yang meninggal dunia selepas didera oleh ibu bapanya, tidak pernah dirujuk kepada Khidmat Perlindungan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mahupun mana-mana agensi perkhidmatan sosial berhubung isu penderaan sebelum kematiannya.
Bayi berkenaan pernah dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dari 18 hingga 23 Januari 2024 akibat muntah-muntah, kurang minum susu serta kebimbangan mengenai tindakan ibunya yang menggoncang badannya.
Ibu bapanya telah bersetuju untuk mematuhi pelan penjagaan yang dirangka oleh pihak hospital selepas Trevor dibenarkan keluar.
Pengerusi Lembaga Perubatan KKH, Profesor Madya Eileen Lew, memberitahu The Straits Times (ST) pada 21 Oktober bahawa pihak hospital terus memantau kes Trevor selepas dia dibenarkan keluar, termasuk membantu ibu bapanya mendapatkan khidmat sokongan keibubapaan dan perkembangan kanak-kanak.
“Memandangkan tiada lagi kebimbangan yang belum selesai, kes tersebut akhirnya ditutup,” jelasnya.
Dr Lew bagaimanapun tidak memperincikan pelan penjagaan berkenaan, atau menyatakan tempoh KKH membuat pemantauan sebelum kes tersebut ditutup.
MSF dan Dr Lew memberi respons kepada pertanyaan ST berhubung kes Trevor selepas ibu bapanya dijatuhi hukuman pada 21 Oktober.
Bapa Trevor, Neo Jia Ming, 27 tahun, dijatuhi hukuman penjara 16 tahun, manakala ibu Trevor, Chloe Gan Ci Xuan, 23 tahun, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga bulan.
Hampir sepanjang hayatnya yang singkat, Trevor dipukul, digoncang, mahupun ditekap mulut dan hidungnya oleh ibu bapanya.
Dia akhirnya meninggal dunia pada September 2024 selepas ibunya menekap muka, memukul wajah, serta menelungkupkannya ke tilam bagi menghentikan tangisannya.
MSF memberitahu ST bahawa ia telah melantik panel semakan bebas bagi kes Trevor untuk mengenal pasti pengajaran serta mengesyorkan penambahbaikan lanjut kepada sistem perlindungan kanak-kanak.
“Semakan tersebut mengetengahkan keperluan bagi pakar profesional untuk mengenal pasti dan menangani kebimbangan berhubung bayi serta kanak-kanak kecil dengan lebih baik, di samping menyelaraskan sokongan apabila sesebuah keluarga berurusan dengan pelbagai perkhidmatan berbeza,” kata jurucakap MSF.
Pengajaran ini telah dikongsi merentasi sektor sosial, penjagaan kesihatan dan pendidikan awal kanak-kanak, tambahnya.
MSF melantik panel semakan bebas tersebut meskipun Trevor telah meninggal dunia pada 2024, iaitu sebelum kementerian berkenaan mengumumkan pada November 2025 bahawa kesemua kematian kanak-kanak yang diketahui perkhidmatan sosial akan disemak secara bebas.
Langkah itu diambil susulan kematian tragis Megan Khung, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang didera hingga mati oleh ibu serta bekas teman lelakinya.
Dalam kes Megan, terdapat beberapa pelanggaran prosedur merentasi pelbagai agensi, termasuk seorang pegawai Khidmat Perlindungan yang gagal merekodkan panggilan daripada prasekolah Megan untuk meminta bantuan, selain pegawai polis yang tidak mengikut proses yang ditetapkan.
Dalam kes Trevor, pihak polis memberitahu ST bahawa mereka tidak menerima sebarang laporan sebelum 2 September 2024 – iaitu hari bayi itu disahkan meninggal dunia di KKH dan kakitangan hospital membuat laporan polis.
Jurucakap MSF berkata:
“Kematian Trevor adalah satu tragedi. Tanggungjawab utama atas penderaan dan kematiannya terletak pada ibu bapanya sendiri, yang telah mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah atas kesalahan mereka.
“Pakar perlindungan kanak-kanak sering kali perlu membuat penilaian yang sukar berpandukan maklumat tidak lengkap dan sering berubah, termasuk maklumat yang diberikan oleh mereka yang menjaga kanak-kanak tersebut.”
Menurut jurucakap MSF itu lagi, tiada sistem perlindungan yang mampu membongkar setiap penyembunyian atau mengesan setiap kes tepat pada waktunya.
Namun, ini tidak mengurangkan tanggungjawab bersama untuk mengambil pengajaran daripada kes serius serta terus memperkukuh cara kebimbangan dikenal pasti, dikongsi dan tindakan lanjut diambil.