Jiwa Encik Muhammad Rahmat resah setiap kali tibanya musim peperiksaan.
Bapa lapan anak berusia antara empat hingga 14 tahun itu berkata lima anaknya yang yang bersekolah selalunya terpaksa mengulangkaji pelajaran di kolong blok.
Flat sewa dua bilik di Yishun yang didiami keluarganya sejak lima tahun lalu terlalu sempit dan tidak mempunyai perabot seperti meja tulis.
Buku-buku latihan, perkakas dan alat sekolah lain selalunya berselerak, kata Encik Muhammad, 37 tahun.
Bercakap kepada Berita Harian, Encik Muhammad berkata beliau kini risau memikirkan tentang masa depan anak lelakinya, Iris Isham Muhammad, 12 tahun, yang bakal menjalani Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini.
“Iris akan berada di kolong blok berdekatan sehingga menjelang waktu maghrib. Selepas itu baru dia pulang. Hati saya tidak tenteram. Sebagai seorang ayah, saya bimbangkan keselamatannya.”
Berpindah ke rumah yang lebih besar untuk menampung keluarga 10 beranak itu bukan satu pilihan yang ada buat beliau pada masa ini.
Beliau telah lebih setahun tidak bekerja tetap selepas mengalami serangan jantung pada April 2023, dan kini keluarganya bergantung pada gaji yang diperolehinya dengan bekerja sambilan sebagai pemandu kereta sewa privet.
Sebelum ini, beliau bekerja sepenuh masa dalam sektor penerbangan, tetapi sejak dibelenggu penyakit, gagal mendapat pekerjaan dalam sektor sama kerana terpaksa ulang-alik ke hospital.
Isteri beliau, Cik Normahani Rohani, 34 tahun, seorang suri rumah, menjaga lapan anak mereka.
Justeru, Encik Muhammad berkata beliau bak tidak terkata apabila keluarganya dipilih menyertai 1,700 keluarga di Ang Mo Kio dan Yishun untuk menjalani program pemerintah yang membantu keluarga berpendapatan rendah mempertingkat tempat tinggal masing-masing.
Program itu yang dilancarkan bersama oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dengan gedung perabot dan perkakas rumah Ikea pada 13 Ogos, memperuntuk lebih $150,000 dalam bentuk tajaan selama tiga tahun untuk menyokong keluarga berpendapatan rendah dengan kanak-kanak di bawah ComLink+
ComLink+ adalah usaha pemerintah membantu keluarga yang tinggal di rumah sewa dan mempunyai anak berusia bawah 21 tahun, yang bertujuan memperkasa mereka supaya menjadi lebih berdikari.
Antara lain, ia memberi bantuan yang terikat dengan syarat tertentu, termasuk mencari pekerjaan stabil, mendaftar anak-anak ke prasekolah dan menabung untuk membeli rumah sendiri.
Di bawah kerjasama MSF dengan Ikea, setiap keluarga ComLink yang terlibat dalam usaha ini akan dibantu membaik pulih rumah masing-masing, menjalani kegiatan yang bertujuan mempererat hubungan dalam keluarga dan ditawar peluang latihan dan pekerjaan.
Sebagai contoh, rumah Encik Muhammad bukan sahaja diubah elok dan dilengkapkan dengan perabot baru dari Ikea, malah beliau dan keluarga boleh menyertai kegiatan yang dianjurkan bersama Ikea dan Pejabat Khidmat Sosial (SSO) demi mempererat hubungan.
Encik Muhammad juga berpeluang menjalani latihan dan cuba mendapatkan pekerjaan di bawah usaha ini.
Bercakap di majlis pelancaran kerjasama antara MSF dengan Ikea untuk membantu keluarga ComLink+, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee berkata kerjasama antara pemerintah dengan Ikea ini menunjukkan perjanjian sosial atau kompak sosial kukuh di Singapura, di mana individu, masyarakat dan korporat berganding bahu untuk membina Singapura yang penyayang dan inklusif.
Sambil tersenyum, Encik Muhammad berkata anak-anaknya kini mempunyai meja tulis dan boleh menggunakan kabinet yang baru di ruang tamu untuk menyimpan peralatan sekolah.
Anak-anaknya kini juga tidak perlu pergi ke kolong blok untuk mengulangkaji pelajaran.
“Saya tidak perlu bimbang lagi,” kata Encik Muhammad.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg