Ibu bapa bakal menerima tokokan wang sehingga $700 ke dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA) bagi membantu anak-anak mereka dalam pendidikan prasekolah pada Ogos ini.
Ini merupakan pakej pertama daripada empat Pakej Kemajuan ComLink+.
Ia bertujuan untuk menggalakkan keluarga daripada program itu menyediakan anak mereka dengan permulaan yang baik dalam pendidikan dengan mendaftarkan anak mereka di prasekolah menjelang usia tiga tahun dan memastikan mereka menghadiri kelas secara tetap.
Ini bagi meningkatkan mutu pendidikan mereka.
Demikian dikongsi Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, di Majlis Tamat Pengajian bagi Program Latihan Asas untuk Jurulatih Keluarga ComLink+ pada 8 Ogos, yang diadakan di Auditorium Pusat Sivik & Perundingan Common Ground.
“Pakej ini menyediakan bantuan kewangan tambahan apabila keluarga ComLink+ mengambil langkah proaktif bagi menjamin masa depan yang lebih baik bagi diri mereka sendiri dan anak mereka dan memenuhi sasaran yang mereka tetapkan bersama dengan pembimbing keluarga mereka.
“Pakej-pakej ini dihasilkan bagi mengesah dan mengukuhkan usaha keluarga dan sifat tanggungjawab melangkaui sasaran mereka dan menambah nilai hasil mereka itu,” kata Encik Chua dalam ucapannya.
Keluarga yang disenaraikan di bawah Pakej Kemajuan ComLink+ untuk prasekolah dan mendaftarkan anak-anak mereka di prasekolah sebelum 1 September 2024 bakal menerima tokokan sebanyak $500 mulai Oktober 2024 ke dalam CDA.
Seterusnya, jika anak-anak keluarga tersebut memenuhi syarat dengan kehadiran sekurang-kurangnya 75 peratus ke kelas, mereka akan menerima tokokan tetap sebanyak $200 setiap tiga bulan.
Tiga pakej lain bakal dilancarkan secara progresif mulai akhir tahun ini.
Maklumat lanjut akan dikongsi pada masa akan datang.
Pada masa yang sama, seramai 30 pembimbing keluarga telah selesai menjalani latihan selama enam minggu dalam Program Asas bagi ComLink+.
Latihan yang dijalani direka khas untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan berguna bagi menyokong keluarga yang bakal dipadankan dengan para pembimbing itu, kata Encik Chua.
Ini termasuk dalam pengurusan kes, perancangan kewangan dan kemahiran menemuramah motivasi.
Antara mereka yang selesai menjalani latihan itu ialah Encik Mohamad Ali A Wahab, 56 tahun, yang mengambil bahagian dalam Program Asas Pembimbing Keluarga ComLink+ selepas 20 tahun bekerja dalam bidang kejuruteraan.
Semasa ditemui Berita Harian, Encik Ali berkata yang beliau faham akan kepentingan keluarga ComLink+ mendapat sokongan dan bimbingan bagi menyerlahkan potensi mereka sepenuhnya.
“Saya melihat peralihan kerjaya ini sebagai satu peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat,” kata bapa tiga anak itu lagi.
Peranan Jurulatih Keluarga seperti Encik Ali memainkan peranan penting dalam meningkatkan keluarga ComLink+ agar mereka dapat mencapai kestabilan, mampu berdikari dan meraih mobiliti sosial.
Para pembimbing ini juga menggalakkan kerjasama bersama keluarga ComLink+ untuk membangunkan pelan tindakan, latihan dan dorongan ke arah mencapai matlamat keluarga tersebut.
Selain itu, pembimbing keluarga ini juga akan berkongsi sokongan skim yang pelbagai dan program bantuan yang sedia ada dalam usaha membantu keluarga sedemikian faham akan khidmat sokongan sosial yang disediakan.
Bagi Encik Ali, beliau mengimbas kembali detik semasa beliau membantu seorang kanak-kanak perempuan yang bakal menjalani Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tetapi keberatan untuk ke sekolah.
“Kanak-kanak merupakan masa depan kita.
“Saya tidak mahu melihat kanak-kanak lain keluar dari sekolah. Sebagai seorang bapa, saya faham apa yang dialami ibunya.
“Membantu orang lain memberi saya satu kepuasan yang saya tidak akan dapat dalam pekerjaan lain,” tambah beliau.
Mereka yang berminat untuk menjadi pembimbing keluarga boleh menghantar permohonan melalui lelaman Career@Gov dan wadah LinkedIn Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg