Pemerintah tiada rancangan mahu meniru atau meningkatkan skim pemerkasaan keluarga yang dirintis agensi khidmat sosial AWWA yang memberikan wang tunai kepada 75 isi rumah berpendapatan rendah, antara $300 dengan $550 sebulan, selama 18 bulan.
Ini kerana tiada bukti jelas pemindahan tunai tersebut telah membawa kepada kesan positif jangka panjang, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada 6 Ogos, lapor akhbar The Straits Times.
AWWA mendapati mereka yang berada dalam skim perintis berkenaan merasakan pemindahan tunai itu membantu meningkatkan kesejahteraan kewangan dan mengurangkan tekanan mental mereka, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek, katanya.
Walaupun pemerintah juga ingin mengetahui sama ada kajian itu mencapai kesan jangka panjang yang boleh diukur dengan mudah dan objektif, misalnya, masa yang dihabiskan dalam pekerjaan, jaminan pendapatan atau masa bekerja, dapatan AWWA dalam aspek ini tidak muktamad, tambahnya.
Encik Masagos menyatakan, satu lagi kajian baru-baru ini yang dilakukan di Amerika Syarikat mendapati langkah menyediakan pemindahan tunai tanpa syarat membawa kepada pengurangan masa bekerja, dengan masa yang dijimatkan digunakan untuk kegiatan masa lapang, bukannya meningkatkan kemahiran atau mencari pekerjaan lebih baik.
Encik Masagos berkata: “Sistem sokongan sosial kami (pemerintah) akan terus berkembang apabila bukti baru muncul.
“Jika bukti sedemikian kukuh, kami akan mengambil kira perkara ini semasa kami memperhalusi program nasional kami seperti ComCare dan ComLink+.”
Beliau memberikan jawapan di Parlimen kepada soalan Encik Melvin Yong (Radin Mas) yang ingin tahu sama ada pemerintah akan melihat jika dapatan AWWA – bahawa bantuan tunai tanpa syarat boleh membantu keluarga berpendapatan rendah mendapat hasil pekerjaan dan kesihatan mental yang lebih baik – boleh digunakan untuk program bantuan sosial negara.
Encik Yong juga bertanya sama ada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan menyokong lebih banyak program percubaan sedemikian di beberapa kawasan undi terpilih untuk mengkaji keberkesanan bantuan tunai tanpa syarat.
Program perintis itu dijalankan sebagai percubaan kawalan rambang antara Mei 2022 dengan November 2023 oleh AWWA, dengan pembiayaan daripada Standard Chartered Bank.
Dapatan yang dikeluarkan pada Julai menunjukkan pemberian wang tunai itu meningkatkan kesihatan mental dan keselamatan pekerjaan peserta berbanding kumpulan kawalan sebanyak 95 isi rumah.
Encik Masagos juga menjelaskan projek itu bukanlah perintis Pendapatan Asas Universal, di mana setiap individu menerima wang tunai tanpa mengira keadaan mereka.
AWWA hanya menyediakan pemindahan wang tunai kepada klien yang pendapatan isi rumah per kapita mereka kurang $1,000 sebulan dan jumlah pendapatan isi rumah mereka tidak melebihi $3,600 sebulan, tambahnya.
Tambahan pula, wang itu tidak diberikan semata-mata atas dasar ‘tanpa syarat’, dan AWWA telah menjelaskan bahawa penerima manfaat diminta bertemu dengan pegawai kes mereka secara berkala, bagi membantu mereka mengatasi cabaran yang dihadapi, katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg