Topik diikuti
Pergi ke BHkuMSF lancar unit penyelarasan baharu bagi perkukuh perlindungan kanak-kanak
SAFER satukan maklumat pelbagai agensi bagi kenal pasti potensi kanak-kanak didera untuk tindakan lanjut lebih awal
MSF lancar unit penyelarasan baharu bagi perkukuh perlindungan kanak-kanak
Pekerja sosial bagi kes perlindungan kanak-kanak kini akan mendapat akses lebih lancar kepada maklumat penting daripada pelbagai agensi menerusi sebuah unit penyelarasan perkhidmatan yang baharu.
Dinamakan Amaran Pemahaman Situasi bagi Penglibatan dan Tindakan Barisan Hadapan (SAFER), unit ini meneliti maklumat dan perkembangan penting mengenai keselamatan kanak-kanak daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB).
Keupayaan tersebut memudahkan usaha mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan dalam sesebuah keluarga, sekali gus menyampaikan sokongan dengan lebih pantas dan berkesan.
Unit SAFER kemudian akan ketengahkan kes perlindungan kanak-kanak yang memerlukan tindakan lebih lanjut.
Sejak beroperasi pada lewat Jun 2026, algoritma penilaian risiko SAFER telah mengenal pasti kira-kira 600 kes untuk semakan lanjut oleh unit SAFER, kata MSF.
Hasilnya, 70 kes telah dirujuk kepada pihak agensi-agensi Pengurusan Kes Perlindungan Kanak-Kanak (CPCM) serta Perkhidmatan Perlindungan (PSV) di bawah naungan MSF, bagi mengukuhkan sokongan untuk keluarga yang terlibat.
PSV mengendalikan kes penderaan berisiko tinggi.
MSF mengumumkan unit baharu ini pada 22 September, menyusuli cadangan yang diusulkan oleh panel semakan yang meneliti pengendalian kes penderaan Megan Khung, sehingga kanak-kanak berusia empat tahun itu meninggal dunia pada 2020.
Pada Oktober 2025, panel semakan dan MSF mengemukakan beberapa peluang yang terlepas untuk mengesan penderaan terhadap Megan serta kelemahan dalam komunikasi antara enam agensi termasuk Ecda, SPF, Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS), Beyond Social Services dan Pusat Pakar Perlindungan Kanak-kanak HEART@Fei Yue.
Kelemahan tersebut menyebabkan kegagalan dalam mengelakkan tragedi Megan daripada berlaku.
Selama lebih setahun, ibu Megan dan pasangannya membantai Megan, menghalang hak makanan serta pakaian, selain memaksa kanak-kanak itu tidur di balkoni unit kondominium di Paya Lebar.
Penderaan fizikal dan emosi itu berakhir dengan kematian Megan selepas pasangan ibu Megan menumbuk perut kanak-kanak itu pada 21 Februari 2020.
Kemudian, pasangan itu membakar mayat Megan dalam tong logam buatan khas pada 8 Mei 2020 dengan bantuan rakan subahat.
Dalam kenyataan pada 22 September, MSF berkata usaha melindungi kanak-kanak serta menyokong keluarga “memerlukan kerjasama rapat keluarga, rakan masyarakat dan agensi pemerintah”.
Mengulas lebih lanjut, Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, berkata unit SAFER, dibentuk oleh pakar yang berpengalaman dalam perlindungan kanak-kanak.
“SAFER menyelaraskan maklumat penting daripada pelbagai agensi untuk mengukuhkan penilaian kami, sekali gus membantu pegawai di barisan hadapan membuat keputusan yang lebih berasas serta bertindak dengan lebih pantas,” kata beliau kepada media pada 15 September.
Encik Goh menekankan bahawa sistem tersebut bertujuan menyokong dan bukan menggantikan pertimbangan pegawai perlindungan dan pengamal perkhidmatan sosial.
“Walaupun SAFER tidak dapat menyekat kesemua kes penderaan kelak, ia pasti akan mengukuhkan keupayaan kami untuk mengenal pasti kes berisiko tinggi serta menghulurkan sokongan tepat pada masanya,” tegasnya.
MSF menjelaskan bahawa unit SAFER dibangunkan dengan kerjasama rapat pakar daripada sektor perlindungan kanak-kanak.
“SAFER melengkapi protokol sedia ada dengan menyelaraskan maklumat relevan yang sudah diketahui oleh agensi-agensi pemerintah.
“Langkah ini membantu karyawan perkhidmatan sosial mengesan potensi isu keselamatan kanak-kanak yang mungkin tidak ketara, sekiranya maklumat tersebut dinilai secara berasingan.”
Sebagai permulaan, unit SAFER memberi tumpuan kepada kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun, yang merupakan golongan yang paling rentan, jelas MSF.
Menjawab pertanyaan Berita Harian, MSF berkata contoh maklumat yang dinilai oleh SAFER termasuk rekod kehadiran dan menarik keluar kanak-kanak dari prasekolah, rekod diberkas, kesalahan di mana kanak-kanak merupakan mangsa serta kesalahan seksual dan dadah.
Hanya PSV dan agensi-agensi CPCM, yang meliputi 82 agensi bertauliah, boleh menerima maklumat amaran daripada unit SAFER, jelas MSF.
Dilengkapi algoritma risiko dan analisis data, unit SAFER menilai sama ada segala maklumat yang didapati boleh menjejaskan keselamatan kanak-kanak, lalu menyerahkan kes itu untuk tindakan lebih lanjut.
“Sebarang kebimbangan mengenai perlindungan kanak-kanak akan dinilai oleh pakar profesional, yang akan menyemak fakta kes sedia ada, berunding dengan pengurus kes, serta menggunakan pertimbangan profesional sebelum menyerah kes itu untuk tindakan selanjutnya,” tambah MSF.
Proses bermula apabila unit SAFER mengenal pasti kes baharu atau kes sedia ada yang memerlukan perhatian.
Unit SAFER memberi amaran kepada PSV, yang menilai segala maklumat yang dikedepankan serta memutuskan tindakan selanjutnya yang sesuai bagi kes berkenaan.
Jika terdapat kebimbangan keselamatan yang serius, kes itu akan dirujuk kepada Pasukan Tindak Balas Kecemasan Keganasan Rumah Tangga (Dvert) dengan segera, kata MSF.
MSF menegaskan bahawa proses tersebut perlu diselesaikan dalam tempoh tiga hari bekerja.
Kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak baharu yang dikenal pasti akan dirujuk kepada agensi CPCM untuk campur tangan.
Bagi kes yang sudah dikenal pasti pula, tindakan lebih tegas juga akan diambil sekiranya tahap risiko didapati meningkat.
Sementara itu, keluarga yang didapati menghadapi masalah juga boleh dirujuk kepada perkhidmatan sokongan pada lebih awal, meskipun tiada isu perlindungan kanak-kanak yang nyata.
Satu kes baharu telah dikenal pasti menerusi unit SAFER, di mana kanak-kanak yang didera dan diabai telah dirujuk kepada sebuah Pusat Khidmat Keluarga (FSC) yang sesuai.
Dalam satu lagi kes yang sudah diketahui, amaran oleh SAFER membantu pegawai mengenal pasti peningkatan risiko perlindungan secara lebih awal, sekali gus membawa kepada campur tangan lebih menyeluruh.
Sementara itu, pelan keselamatan bagi 68 lagi kes telah dipertingkatkan menerusi maklumat baharu yang didedahkan menerusi SAFER.
MSF menegaskan bahawa unit SAFER hanya mendedahkan maklumat yang relevan, sekali gus menjaminkan bahawa akses kepada maklumat itu akan diurus dengan ketat berdasarkan undang-undang dan dasar sedia ada.
Keupayaan MSF akan terus diperhalusi untuk merangkumi lebih banyak agensi serta memperluaskan jaringan bantuan melangkau kanak-kanak berusia sehingga tujuh tahun.
Berikut adalah beberapa langkah lain yang telah diambil oleh MSF setakat ini:
- Mei 2026 - MSF lantik 82 agensi bertauliah Pengurusan Kes Perlindungan Kanak-Kanak (CPCM) untuk mengendalikan kes perlindungan kanak-kanak.
- Mei 2026 - MSF tubuh Panel Penilaian Triaj (TAP), yang berfungsi sebagai sebuah badan bebas untuk menyemak semula sama ada sesebuah kes dirujuk kepada agensi yang sesuai.
- Februari 2026 - MSF lancar proses baharu di mana prasekolah akan melaporkan kemungkinan kes penderaan kanak-kanak langsung kepada Talian Bantuan Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH).