Beberapa kesilapan kecil dalam pelaporan penderaan dan pemeriksaan susulan menyumbang kepada kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Megan Khung, yang mengalami penderaan fizikal dan emosi lebih setahun.
Dalam tempoh itu, dia dipaksa memakai lampin kotor di atas kepalanya, makan makanan dari tong sampah, dan mengalami pelbagai penganiayaan lain.
Megan meninggal dunia pada 2020 selepas perutnya ditumbuk dengan kuat oleh teman lelaki ibunya. Ibu Megan dan pasangannya kemudian membakar mayat kanak-kanak itu untuk menyembunyikan jenayah mereka.
Pada Mac 2019, guru-guru di prasekolah Megan, Healthy Start Child Development Centre (HSCDC), nampak kesan kecederaan jelas pada tubuhnya.
Pusat yang dikendalikan agensi perkhidmatan sosial Beyond Social Services itu mengemukakan laporan kepada Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) pada awal April 2019.
“Namun, laporan itu tidak menggambarkan sepenuhnya keterukan kecederaan yang dialami, berbanding bukti yang dikemukakan dalam dokumen Mahkamah ketika ibu Megan dan pasangannya didakwa,” kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) kepada The Straits Times (ST) pada 8 April.
“Ini mengakibatkan campur tangan yang tidak mencukupi oleh agensi berkaitan,” tambah MSF.
Pada 3 April, ibu Megan, Foo Li Ping, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun, manakala teman lelakinya, Wong Shi Xiang, dihukum penjara 30 tahun dan sebat 17 kali.
MSF berkata Beyond tidak membawa kes itu kepada Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS), yang menguruskan kes penderaan kanak-kanak berisiko tinggi dan mempunyai kuasa mengambil kanak-kanak daripada keluarga demi menjaga keselamatannya.
MSF berkata Beyond telah merangka pelan penjagaan untuk Megan, di samping mendapatkan persetujuan ibunya supaya Megan tinggal bersama neneknya.
Laporan itu mendapati Megan gembira, tidak mengalami kecederaan, dan hadir di prasekolah setiap hari.
“Berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh HSCDC, tidak ada sebab untuk ECDA mengesyaki (kes) penderaan kanak-kanak,” kata MSF.
“Apabila ECDA membuat pemeriksaan susulan dengan HSCDC beberapa hari selepas menerima laporan, prasekolah itu mengesahkan Megan berada dalam keadaan baik dan masih hadir di prasekolah setiap hari.”
Prasekolah dan agensi perkhidmatan sosial sepatutnya menggunakan panduan saringan dan cara pelaporan berkaitan pengurusan penderaan kanak-kanak, kata MSF.
“Jika mereka melakukannya, mereka akan sedar kecederaan tersebut adalah serius, (dan kemudian) melaporkan kecederaan itu secara tepat sebagai penderaan dalam keluarga yang disyaki, dan merujuk kepada ECDA atau CPS dengan segera,” tambahnya.
Sekolah dan agensi tersebut sepatutnya membuat laporan dengan lebih tegas kepada CPS, namun mereka tidak berbuat demikian, ujar MSF.
Dalam satu kenyataan pada 8 April, Beyond Social Services berkata ia berusaha menjaga kesejahteraan Megan dengan mematuhi prosedur dan protokol pada masa itu, termasuk bekerja rapat dengan neneknya, menyuarakan kebimbangan kepada pihak berkuasa berkenaan, dan melakukan tindakan susulan lain.
Dalam rangka kerja yang diperkenalkan MSF pada 2020, agensi sosial perlu mengikuti prosedur khusus apabila mereka menghadapi kesukaran mengesan seorang kanak-kanak. Jika mereka tidak menemui atau melihat kanak-kanak itu, dan terdapat kebimbangan mengenai keselamatannya, agensi tersebut perlu membuat laporan polis dengan segera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg